Oleh DINSMAN
Realiti pilihan raya kecil DUN Lunas 29 Nov lalu adalah alamat jelas saat pengunduran Dr Mahathir sudahpun tiba. Demikianlah tanggapan ramai pihak yang mengikuti perjalanan kempen termasuk pimpinan parti, NGO dan pemerhati politik. Tanggapan itu bertambah kukuh apabila keputusan rasmi pilihan raya diumumkan jam 9.00 malam itu, di Dewan Serbaguna Kilang Lama, Lunas. Calon BA (keADILan), Saifuddin Nasution Ismail, 37, menang dengan majoriti 530 undi. Beliau mendapat 10,511 undi, manakala calon BN (MIC), S Anthonysamy, 59, mendapat 9,981 undi. Calon Bebas, L Letchumanan, 46, hanya mendapat 50 undi. (Majoriti calon BN dalam pilihan raya umum 1999, Dr Joe Fernandez, ialah 4,700 undi). Pengumuman tersebut mengesahkan pandangan pemerhati, khasnya sejak DAP mengumumkan perubahan pendirian terhadap pakatan BA, berikutan krisis pemilihan calon.
DAP mengubah pendiriannya pada 27 Nov, dua hari sebelum mengundi, dan Pengerusinya Lim Kit Siang sendiri hadir menyatakan sokongan DAP kepada Saifuddin, dalam ceramah terbesar yang dihadiri 20,000 orang, di Taman Selasih - kawasan pengundi terbesar di Lunas.
Turut berceramah, ketiga-tiga presiden tiga lagi komponen BA - Ustaz Fadzil Noor (PAS), Dr Wan Azizah Ismail (keADILan) dan Dr Syed Husin Ali (PRM). Ramai penduduk tempatan hairan melihat perubahan suasana yang merupakan fenomena mendadak itu, terutama masyarakat Cina. Mereka menyaksikan satu gelombang kebangkitan rakyat yang luar biasa berlaku.
Belum pernah masyarakat Cina di Malaysia keluar dalam jumlah sedemikian ramai menghadiri ceramah politik yang disampaikan pemimpin pembangkang yang kebanyakannya Melayu, khasnya PAS.
Tetapi itulah yang berlaku dua malam berturut-turut sebelum mengundi, di Taman Selasih dan Kilang Lama (di kawasan majoriti Cina). Orang Cina dan Melayu duduk atau berdiri rapat dikelilingi satu sama lain, dalam suasana penuh semangat kemesraan. (Saya pun turut berada dalam situasi sama di situ). Masing-masing seperti mengakui, mereka mempunyai perjuangan sama, atau bersetuju dengan tuntutan hak rakyat yang melibatkan mereka, tanpa dihalang perbezaan kaum dan agama.
Tuduhan BN khasnya Dr Mahathir, bahawa BA sebagai parti-parti berasaskan perkauman dan mengeksploitasi isu-isu perkauman dan agama, dengan sendirinya menjadi bahan jenaka sahaja kepada puluhan ribu rakyat Cina dan Melayu itu. Demikian juga tuduhan pakatan pembangkang bersengketa satu sama lain. Menjelang petang 29 Nov itu orang ramai sudah dapat menjangka siapa yang akan menang. Jalanraya masih sesak dengan kenderaan, tetapi kebanyakannya membawa sticker dan bendera BA. Kenderaan yang membawa sticker dan bendera BN mula tidak kelihatan. Demikian juga orang ramai yang berdiri di tepi jalan, di depan kedai dan di depan rumah. Hampir semua mereka memberi isyarat kemenangan kepada BA.
Rakyat sudah muak dengan kepimpinan Dr Mahathir. Baik Melayu mahupun Cina, sedar yang selama ini berusaha menimbulkan permusuhan perkauman ialah BN, bukannya PAS atau DAP. Realiti dan keputusan di Lunas menunjukkan rakyat, Melayu mahupun Cina sudah menolak politik perkauman. Sesiapa yang menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat di Lunas, khasnya pada 27 - 29 Nov, pasti bersetuju bahawa masa Dr Mahathir berundur sudahpun tiba, dan tidak dapat ditunda lagi, sama ada dia mahu menerimanya ataupun tidak.
Yang menentukan politik Malaysia ialah rakyat, bukannya pemimpin mana-mana parti politik. Rakyat benar-benar bangkit. Pemimpin yang tidak peka dengan gelombang kebangkitan 'kuasa rakyat' ini pasti akan tersingkir.
Gelombang ini bahkan hampir-hampir saja akan menyingkirkan DAP, sekiranya para pemimpinnya tidak cepat membuat perubahan pada pendirian mereka terhadap calon BA. Ada pihak dalam DAP, khususnya masyarakat India, cuba mempertahankan apa yang mereka anggap satu 'tradisi' bahawa kerusi DUN Lunas adalah hak calon DAP berketurunan India. Lalu naiklah nama S Neelamekan sebagai calon. Tetapi ia tidak disetujui keADILan dan pemimpin BA tempatan, termasuk DAP sendiri. Ada pihak dalam DAP cuba mendesak supaya DAP bertegas mempertahankan 'hak' tersebut, hingga ke peringkat untuk keluar pakatan BA. Krisis ini mendapat perhatian istimewa BN. BN sudah pasti dengan kemenangan di pihaknya jika BA meletakkan S Neelamekan.
(Samy Vellu yang mengetuai kempen BN dan berkampung di Lunas sepanjang kempen itu dengan berani mengumumkan yang beliau tidak akan pulang ke Kuala Lumpur tanpa kemenangan BN.)
Dalam mempertahankan 'hak' tersebut, DAP tidak sedar mereka masih menggunakan pola pemikiran lama yang berasaskan perkauman. Mereka menuduh keADILan cuba bertindak secara perkauman, padahal merekalah yang masih terikat pada pola pemikiran perkauman yang bertahun-tahun dipupuk BN itu. Sedangkan pimpinan keADILan yang didominasi pemikiran generasi baru, bebas dari ikatan tradisi pola pemikiran perkauman tersebut.
KeADILan mahukan Saifuddin Nasution dipilih menjadi calon, bukan kerana dia Melayu, tetapi kerana mereka tahu kehendak rakyat di Lunas. Mereka percaya Saifuddinlah calon yang paling layak, dan dialah yang dikehendaki oleh majoriti rakyat di Lunas, termasuk keturunan Cina.
Persatuan Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) tidak akan turun berkempen di atas pentas BA di Lunas, jika mereka tidak percaya kepada calon pilihan BA tersebut, walaupun calon itu seorang Melayu.
Sokongan Dong Jiao Zong adalah faktor penting membangkitkan kesedaran masyarakat Cina di Lunas untuk memberikan undi kepada BA. Ia NGO yang cukup berpengaruh di kalangan masyarakat Cina di seluruh Malaysia.
Apabila Timbalan Presidennya, Loh Teng Yek hadir bersama Presiden keADILan dalam majlis makan malam yang dihadiri 4,000 orang Cina (1,500 orang sahaja dapat membeli tempat duduk, yang lainnya berdiri), yang diadakan di kuil Hock Teik Soo, Lunas pada 23 Nov; ia memberi satu tamparan hebat kepada BN. Mahathir sendiri melenting. Satu faktor utama yang membawa Dong Jiao Zong bergabung tenaga dengan BA (khasnya keADILan, di peringkat awal) ialah kerana memprotes pelaksanaan konsep Sekolah Wawasan.
Apabila protes itu mulai disalurkan sendiri oleh badan yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Cina seperti Dong Jiao Zong melalui pentas-pentas politik BA, Dr Mahathir tidak dapat lagi membendung rasa marah dan kecewanya. Lalu dituduhnya orang Cina tidak tahu berterima kasih dan ekstrimis. Turut diungkitnya usaha kerajaan BN membantu (bail-out) peniaga Cina di zaman gawat 1997-1998, yang kalau tanpa bantuan kerajaan, katanya, peniaga Cina itu pasti muflis. Barangkali itulah satu penghinaan yang pernah diterima masyarakat Cina dari Dr Mahathir. "Sepatutnya Dr Mahathir yang berterima kasih kepada masyarakat Cina, kerana sokongan masyarakat Cina kepada BN-lah yang menyebabkan BN masih dapat terus berkuasa hingga hari ini, " kata Ustaz Fadzil, di Taman Selasih, yang turut disertai Loh Teng Yek.
emikianlah satu senario baru sedang berkembang dalam arena politik tanahair. 'Kuasa rakyat' mulai memperlihatkan gelombangnya di Lunas. Gelombang ini, mengikut Ustaz Fadzil yang turut berada bersama-sama rakyat menyambut pengumuman kemenangan di Kilang Lama malam itu, akan terus melanda ke seluruh pelusuk tanahair, dan akan mencapai kemuncaknya pada tahun 2004 dengan menumbangkan BN dan Mahathir.
Petikan Detikdaily