Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bagaimana seorang PM boleh terus berbohong dan rakyat terus menerimanya

Oleh Ahmad Lutfi Othman.

Meskipun sudah ada ura-ura bahawa Kerajaan Pusat pimpinan Umno akan mengkaji semula bentuk bayaran royalti minyak Terengganu, pertengahan tahun 2000, selepas akhbar Utusan Malaysia mendedahkan bahawa jumlahnya hampir RM1 bilion, namun ramai tidak menduga Mahathir akan mengambil keputusan sedrastik itu.

"Walaupun kita tahu perangai buruk Mahathir, tapi mengenangkan dia juga manusia biasa, tidaklah kita sangka ia bertindak sezalim ini, disebabkan segala dokumen perjanjian cukup jelas dan terang," kata Exco Kanan Kerajaan Terengganu, Mustafa Ali, semasa persidangan "Royalti Minyak: Politik Khianat dan Balas Dendam BN", anjuran BA, 23 September lalu.

Namun begitu, secara gurauan, juga dalam majlis yang sama, Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, menyanggah: "Iblis pun terkejut dengan kejahatan manusia, yang ada kalanya melebihi kejahatannya sendiri. Jadi, jangan kita terlalu bersangka baik dengan seseorang yang mempunyai rekod buruk menganiaya dan menzalimi orang lain."

Mengenali perwatakan Mahathir Mohamad, khususnya selepas beliau dicabar Tengku Razaleigh Hamzah ketika mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno, pendekatan politiknya ternyata keras, licik dan kental dengan unsur dendam kesumat.

Untuk menyelamatkan kedudukannya yang menang tipis, hanya dengan majoriti 43 undi, itupun melalui perhimpunan 24 April 1987 yang mengandungi perwakilan tidak sah, Mahathir membuktikan bahawa beliau sanggup melakukan apa saja, termasuk mengharamkan parti yang dipimpinnya sendiri.

Malah peguam bagi pihaknya mengusulkan kepada Hakim Harun Hashim bahawa tiada keputusan lain boleh dibuat melainkan mengisytiharkan Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah. Dengan itu, peluang Ku Li dan teman-temannya dalam Team B untuk menyaingi Mahathir berakhir kerana mereka secara automatik akan tersingkir daripada menjadi pimpinan, malah juga sebagai ahli, dalam parti baru yang dibentuknya selepas itu. Sememangnya keputusan pilihan raya November 1999 cukup menggerunkan Mahathir. Memang majoriti dua pertiga BN di Parlimen dipertahankan, namun penguasaan PAS secara mutlak di Kelantan dan Terengganu, serta prestasi Umno yang cukup buruk di semua negeri, khususnya Kedah, Perlis dan Pahang, menjadi igauan ngerinya. Di Lembah Klang, undi calon-calon BA meningkat dengan begitu ketara. Biarpun masih belum menang, majoriti BN, misalnya di Shah Alam, Lembah Pantai, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Batu, Wangsa Maju, Gombak, dikurangkan ke paras minimum.

"Swing pengundi Melayu kepada BA, berbanding pilihan raya sebelumnya pada 1995, yang paling menonjol sekali ialah di Selangor," kata AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Secara jelas golongan menengah Melayu di bandar-bandar besar, yang selama ini mendokong BN, buat pertama kali bebas membuat pilihan untuk berkata "tidak" kepada Umno. Isu-isu yang selama ini dianggap kabur dan tidak membumi, seperti isu-isu korupsi, penyalahgunaan kuasa, kronisme, pembaziran, kediktatoran dan menghina Islam dapat diserapkan ke dalam pemikiran politik masyarakat Malaysia dengan jayanya.

Merujuk analisis pola pengundian kerusi Parlimen, daripada 25 kerusi yang mana pengundi Melayu antara 90-100%, 21 darinya dimenangi calon BA. Ini membuktikan bahawa kekuatan Umno yang sekian lama berasaskan sokongan pengundi Melayu telah berakhir. Umno tidak lagi boleh mendakwa ia sebuah parti yang mewakili kepentingan Melayu di negara ini.

Rata-rata penganalisis politik menyifatkan Umno dalam keadaan sakit tenat. Tanpa melakukan tindakan menyelamat dalam kadar segera, Umno mungkin dianggap tidak relevan lagi dalam percaturan politik masa depan, mengharungi alaf baru. Maka pelbagai langkah diambil khususnya di peringkat negeri, berdasarkan realiti kemaraan BA dan juga perwatakan ketua perhubungan Umno negeri. Hampir semuanya bersifat mendera pengundi Melayu.

Majlis-majlis ceramah sukar mendapat permit, mimbar masjid dikongkong manakala jawatankuasanya dirombak sesuka hati tanpa mengambil kira pandangan ahli kariah. Guru-guru yang tidak menyokong BN ditukar, kontraktor tertentu disenaraihitamkan, malah bank yang pegawainya dekat dengan BA turut dihukum, doktor panel di Melaka dilucutkan. Umno seperti kehilangan arah demi memulihkan kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya. Media massa Melayu yang cenderung membuat liputan lebih adil, misalnya Eksklusif, Detik dan Wasilah diharamkan, selepas Harakah dikurangkan kekerapannya. Menteri Dalam Negeri, Abdullah Badawi jelas mencabul sisa-sisa kebebasan akhbar dan meniru langkah angkuh ketuanya.

Namun, sentuhan Mahathir untuk memulihkan Umno jelas tidak menjadi, tersasar dan nampak kehilangan arah, malah semakin memburukkan imej partinya yang sedia hodoh itu. Amarah rakyat sukar ditahan lagi. Larangan untuk berceramah, khususnya di Lembah Klang tidak mengendurkan semangat mereka. Perhimpunan 100,000 rakyat yang dijadualkan di Jalan Kebun, Shah Alam, 5 November lalu, dalam menjayakan kempen mengembalikan hak rakyat dan "Nyah Mahathir" membuktikan api tetap marak walaupun dalam sekam. Rakyat sudah tidak gentar berdepan keganasan polis, pukulan cota, tembakan gas pemedih mata ataupun pancutan air kimia. Malah sikap Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar dan naibnya, Salehudin Ayub memilih penjara daripada membayar denda ekoran demonstrasi menentang Israel juga membuka lembaran baru penentangan rakyat terhadap kezaliman.

Di samping isu tuntutan pembebasan bekas TPM, Anwar Ibrahim terus bergejolak, kebangkitan rakyat ini lebih terkesan dengan kezaliman Kerajaan Pusat terhadap Terengganu. Benar telahan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman: "Isu royalti ini saya istilahkan sebagai gelombang kedua yang akan memangkinkan perubahan lebih besar dan menyeluruh di Malaysia ini." "Tapi ingat," pesannya, " harimau yang cedera boleh melakukan apa saja untuk menentukan survivalnya." Awal sebelum itu, Mahfuz Omar mengingatkan: "Tindakan tidak demokratik BN ini adalah perisytiharan terbuka terhadap kebebasan rakyat dan sistem demokrasi yang diamalkan. Inilah kegilaan BN dalam menghadapi realiti bahawa mereka sedang ditolak rakyat. Ternyata BN adalah sebuah parti yang tidak pernah berpegang kepada janji."

Seorang saintis politik UKM melihat Umno tidak mempunyai banyak pilihan untuk merentasi politik masa depan. Bagaimanapun pemimpinnya perlu bertindak segera agar tidak terlewat membuat perencanaan. Baginya, langkah menyekat royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu adalah semata-mata tindakan politik, tapi bukannya untuk menawan semula Terengganu. Ia lebih bermaksud untuk menghadkan empayar pengaruh PAS hanya di Kelantan dan Terengganu.

"Umno akur bahawa keputusannya tentang royalti mungkin membawa padah ke atas masa depan parti itu di Pantai Timur. Namun, yang penting, mereka dapat menyekat kemaraan PAS untuk menguasai negeri-negeri berjiran. Pemimpin Umno tidak dapat bayangkan, jika Kerajaan Terengganu diberikan royalti RM1 bilion setahun, secara tunai, apa persepsi rakyat, khususnya di luar Terengganu, terhadap kewibawaan pengurusan Parti Islam itu untuk membangunkan negeri. "Selama ini, PAS dimomokkan dengan kejahilannya untuk membangunkan negeri. Kelantan diakui mempunyai pemimpin bertaraf Tok Guru tetapi negerinya tetap miskin. Mungkin kerajaannya lebih telus dan bertanggungjawab tetapi sumber khazanah memakmurkan daulah terbatas. Tapi berbekalkan RM1 bilion, belum dicampur pendapatan lain, Terengganu akan menjadi role-model yang pasti membingungkan Mahathir," tambahnya. "Umno hanya takutkan bayang-bayang sendiri," sanggah seorang aktivis NGO. "Mereka fikir pemimpin PAS akan menggunakan wang royalti itu, seperti yang pernah mereka lakukan, untuk kepentingan peribadi dan untuk membeli undi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman sewaktu Wacana Pemikir di Universiti Malaya mengakui bahawa sekatan royalti minyak itu adalah satu strategi politik Umno untuk menawan semula Terengganu. Malangnya, pendekatan itu sedang menikam balik Umno apabila rakyat dapat menerima penjelasan PAS, malah mereka mula mempersoalkan bagaimana kerajaan terdahulu membelanjakan wang royalti yang terkumpul sebanyak RM7 bilion, memandangkan Terengganu terus diasak kemiskinan.

Dengan wang sebanyak itu Terengganu sepatutnya keluar dari lingkaran ganas kemiskinan. Malangnya royalti hanya memperkayakan pemimpin Umno Terengganu, tetapi rakyatnya terus miskin dan papa kedana. Malah pendedahan Tuan Guru Menteri Besar, Abdul Hadi Awang bahawa ada bukti nyata pemimpin kerajaan terdahulu menggunakan wang kerajaan negeri untuk kegiatan tidak memoral cukup mengejutkan.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar sendiri membangkitkan hal ini semasa Ketua Pembangkang, Ustaz Fadzil Mohd Noor membahaskan Belanjawan 2001. Beliau mengutip laporan muka depan Islah, bilamana Haji Hadi menegaskan: "Kita mempunyai bukti bil-bil tuntutan perbelanjaan di bawah anak-anak syarikat kerajaan negeri semasa Umno berkuasa dulu, yang digunakan bukan untuk membela kepentingan rakyat, tetapi untuk melakukan maksiat. Kerja mereka cukup memalukan. Wang royalti minyak itu digunakan untuk perempuan, minum arak dan melakukan maksiat."

Noh Omar mempersoalkan kesahihan kenyataan MB Terengganu itu. Ahli Parlimen Dungun, Mustafa Ali, yang juga Exco Kanan Kerajaan Terengganu bangun menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai bukti. Ustaz Fadzil menasihati Noh supaya bersabar menunggu saat yang sesuai sebelum bukti itu ditunjukkan.

Dalam ucapannya pada 30 Oktober itu, Ustaz Fadzil melihat tindakan kerajaan pusat mengganggu hak royalti minyak sebanyak 5% itu sebagai amalan buruk berdasarkan lima sebab. Pertama, ia melanggar dan mencabul sistem federalisme yang menjadi tonggak sistem pemerintaha. Kedua, ia tidak menghormati hubungan bilateral kerajaan pusat - kerajaan negeri. Ketiga, ia tindakan zalim kerana melanggar perjanjian, menyerupai perangai orang Yahudi yang sentiasa mencabuli perjanjian demi perjanjian. Keempat, ia merupakan penganiayaan ekonomi dan rakyat Terengganu. Dan kelima, ia satu tindakan yang boleh disifatkan sebagai silent kudeta ke atas Kerajaan PAS Terengganu.

Pada persidangan royalti minyak BA, Ustaz Fadzil mengimbas sistem federalisme, yang baginya telah membahagikan tugas dan fungsi kerajaan pusat dan negeri mengikut konvensyen dan dan undang-undang. "Sikap saling menghormati batas dan sempadan masing-masing merupakan intipati sistem ini. Setiap negeri dalam sistem federalisme yang mempunyai maruah yang dinaungi Sultan dan pemimpin negeri. Setiap hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dibuat atas semangat kerjasama dua hala dan disahkan melalui prosedur dan tatacara telus. Sikap inilah yang mengekalkan keharmonian dan kelicinan hubungan negeri - persekutuan. Namun segala keharmonian ini dihancurkan tindakan kerajaan pusat," kata Ustaz Fadzil.

Manakala bagi Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, tindakan pusat memansuhkan bayaran royalti dan menggantikannya dengan ehsan adalah bertujuan untuk memburuk-burukkan kerajaan PAS Terengganu, sekali gus menyekat sumber kewangannya. "Apabila sesuatu projek dilaksanakan, misalnya sekolah atau hospital, maka akan dicanangkan, inilah ehsan daripada kerajaan pusat. Oleh itu, kerajaan PAS Terengganu dilihat tidak mampu mentadbir negeri tanpa ehsan pusat," tambahnya.

Aneh sekali, walaupun zaman sudah beredar, kesedaran politik makin menyerlah, tapi Umno tetap menggunaka taktik usang dan kuno. Pimpinan tertingginya menganggap rakyat boleh diperbodohkan dan tidak mahu membuat analisis sendiri. Lebih malang lagi, kenyataan-kenyataan 'lawak bodoh' ini datang dari mulut Presiden Umno sendiri, Mahathir Mohamad. Dengan wajah selama, Mahathir, yang dapat didengar dan dilihat melalui kaca TV, tanpa segan silu berbohong dan memutarbelitkan fakta. Misalnya, istilah royalti sudah dipakai sekian lama dan Mahathir sendiri, berdasarkan handsard Parlimen, juga menggunakan istilah sama, tidak timbul sama sekali soal ehsan. Tapi, demi memuaskan dendam politiknya, Mahathir tanpa segan silu terus berdusta.

"Mahathir pembohong! Mana ada Perdana Menteri yang pembohong macam ini? Rakyat Malaysia sepatutnya malu mempunyai pemimpin yang pembohong macam ini!" tegas Ustaz Fadzil.

"Beraninya Mahathir dan menteri-menteri berbohong menunjukkan kelemahan rakyat sendiri," kata seorang penganalisis. "Soalnya, bagaimana rakyat boleh membiarkan Mahathir terus berbohong dan berbohong sedangkan semua tahu, berbohong adalah perkara keji yang mesti dielak, walaupun oleh orang biasa, apatah lagi bagi seorang Perdana Menteri."

.....................................................
Petikan Detikdaily


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 24 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com