Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PM: Kerajaan tidak bermoral kongkong media

Oleh : 'Ein Azmi

7:30pm, ISN: Perdana Menteri hari ini menegaskan kembali kenyataannya dalam satu seminar bahawa kerajaan yang mengongkong media wajar dianggap tidak bermoral

"Saya masih berpegang dengan kenyataan (saya) bahawa 'kerajaan yang menguasai media adalah kerajaan yang tidak bermoral'," kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengimbas ucapannya di Persidangan Antarabangsa Peranan Media di Negara-negara Membangun pada 18 September lalu di Shah Alam.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mendakwa kerajaan pimpinan tidak mengongkong media di negara ini walau Kementerian Dalam Negeri menutup tiga penerbitan bebas sepanjang tahun ini.

"Terdapat banyak akhbar-akhbar di negara ini yang bebas melempar fitnah terhadap kerajaan adalah bukti kerajaan (negara) ini tidak menguasai media. (Oleh itu) kerajaan ini bermoral dan bukan sebaliknya," katanya lagi.

"Lebih tidak bermoral lagi ialah apabila media di bawah kuasa pihak-pihak tertentu melemparkan fitnah, pembohongan dan laporan-laporan tidak berasas."

Dr Mahathir juga berhujah kerajaan tidak pernah mengawal internet walau kemudahan teknologi maklumat itu dimanfaatkan parti-parti pembangkang untuk menyebarkan "fitnah, pembohongan dan hasutan."

"Rencana dari website (tapak web) ini di-download (menyalin) dan disebar dengan meluas. Namun kerajaan tidak mengawal internet," katanya di Dewan Rakyat pagi ini, menjawab soalan Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Ismail.

Dalam soalannya, wakil Permatang Pauh itu mempertikaikan kenyataan Dr Mahathir dalam seminar itu yang disifatkan "bercanggah dengan tindakan kerajaan yang selama ini menguasai media perdana dan menghalang penerbitan bukan prokerajaan."

Apabila disaran oleh Mohamad Sabu (PAS-Kuada Kedah) agar media memberikan liputan yang adil seperti perhimpunan pembangkang di Lebuhraya Kesas 5 November lalu, Dr Mahathir menjelaskan parti masing-masing perlu menjaga kepentingan negara.

"Kalau (media) tunjuk rusuhan kaum, rakyat asing tidak akan melawat Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata media asing gemar menyiarkan rusuhan yang berlaku di negara ini kerana mempunyai agenda tertentu dan dengan nada sinis berkata, "sila sokong orang asing kalau hendak agenda mereka (negara dan media asing) tercapai".

Tanpa diskriminasi

Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan hasutan untuk merusuh dan mengganas serta melaga-lagakan rakyat berbilang kaum dilakukan hanya kerana kebebasan media.

"Apabila mana-mana pihak tidak bermoral, maka tanpa diskriminasi, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan," jelas Dr Mahathir lagi.

Sementara itu di luar Dewan Rakyat tengahari ini Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar berkata beliau akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan (Suhakam) esok berhubung arahan Pengarah Penjara Kajang, Shamsuddin Tan Sri Morad yang tidak membenarkan pemimpin pembangkang itu berada di Kajang sejurus selepas beliau dibebaskan.

Mahfuz dibawa dalam sebuah kenderaan polis sebaik sahaja dibebaskan sehingga di plaza tol Rawang, Selangor. Beliau dibebaskan Jumaat lalu setelah sebulan menjalani hukuman penjara berhubung kesalahan terlibat dalam demonstrasi menentang kehadiran pasukan kriket Israel April 1997.

"Arahan itu menidakkan hak kebebasan saya selaku rakyat untuk bergerak bebas," jelasnya, sambil merujuk jaminan kebebasan bergerak yang diperuntukkan dalam Fasal 9 Perlembagaan Persekutuan.

Mahfuz mendakwa Shamsuddin berjanji menghantarnya ke sebuah hotel berdekatan di pekan Kajang tetapi mengarahkan pegawai penjara membawa keluar dari kawasan itu.

Dua lagi rakannya yang turut dibebaskan, Naib Ketua Pemuda PAS Sahuddin Ayub dan seorang aktivis parti itu Jalaluddin Abdul Manan bagaimanapun dibawa ke Pantai Dalam, berdekatan Universiti Malaya.

Tambahnya, beliau akan turut membawa usul berhubung kebajikan banduan, termasuk program pemulihan, dalam sidang dewan itu akan datang.

.....................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 12 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com