Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bas, penumpang 'hilang begitu sahaja'

Oleh : Ng Boon Hooi

Sementara itu, penyokong Barisan Alternatif juga melalui pembesar suara berkali-kali menyeru petugas-petugas pembangkang itu segera kembali ke kawasan kawalan peti undi masing-masing.

Semakin ramai orang berundur, Pasukan Gerak Am (PGA) berdiri di sekeliling balai polis itu tanpa tindakan lanjut.

Pada pukul 9.30 pagi, di plaza tol lebuhraya Butterworth-Kulim, pasukan khas pembangkang menahan lagi sebuah bas yang datang dari Bagan Serai, Perak - penuh dengan penumpang Melayu.

"Kami tanya mereka: (hendak) pergi ke mana? Kata mereka, 'pergi ke Lunas.' Dia (pemandu) tidak mahu benarkan kami periksa (bas), kita ikut (cakap) dia," cerita Abdul Razak Halidi, ketua bahagian keselamatan BA.

"Bas itu terus bergerak, dan kami ekori, menuju ke Taman Kancil. Bas itu berhenti untuk berpusing balik ke Bagan Serai. Tetapi ramai penyokong BA menahan bas itu dan kami membawa mereka ke balai polis," katanya.

Pada masa yang sama, satu demi satu bas dibawa masuk ke balai polis Lunas. Menjelang jam 9 pagi, sembilan buah bas berjaya dibawa masuk ke situ. Menjelang 11 pagi, 18 buah bas ditahan di balai itu.

"Kami percaya penumpang-penumpang itu datang dari Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak dan Kedah," kata Mohd Azmin Ali, pengarah pilihanraya BA dan juga ADUN Hulu Klang.

Bas kilang, bas sekolah dan bas persiaran yang mengangkut lebih kurang 700 penumpang itu memakai nombor pendaftaran yang bermula dengan huruf B (yang menunjukkan Selangor), W (Wilayah Persekutuan), J (Johor), P (Pulau Pinang), A (Perak), M (Melaka) dan K (Kedah).

Saiful Izham Ramli, penasihat guaman kepada calon Keadilan Saifuddin Nasution, yang pernah berbincang dengan seorang wanita Melayu (dipercayai menjangkau umur 60 tahun) di balai polis itu berkata kepada malaysiakini, penumpang itu sendiri mengakui mereka datang untuk mengundi.

"Dia kata dia datang sini untuk mengundi," cerita Saiful Izham, sambil menambah wanita itu mengakui bas mereka datang dari Padang Sera, Baling.

Pada jam 9.30 pagi, dalam rundingan antara pemimpin-pemimpin BA, Barisan Nasional dan polis, mereka bersetuju mengutip lima nama daripada setiap buah (enam buah bas waktu itu). Sebanyak 30 nama itu akan dipilih secara rawak untuk semakan dengan daftar pemilih.

Khalil Yaacob malu

Kemudian wakil BN dan BA terus menaiki kereta polis ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Lunas untuk menyemak nama-nama tersebut. Tetapi pegawai SPR tidak membenarkan wakil BN dan BA menyaksikan semakan itu.

"Ini menimbulkan keraguan kita, dan kita dukacita bahawa SPR tidak telus untuk memberi keterangan yang terbuka," kata Azmin (foto, kiri di luar balai) lagi. Akibatnya, wakil BN dan BA balik ke balai polis Lunas tanpa semakan.

Lepas itu, wakil BA meminta semakan dibuat melalui komputer kecil (laptop) yang menggunakan cakera padat daftar pemilih yang disediakan SPR, tetapi polis pula tidak bersetuju.

Bagaimanapun, menurut Azmin, pada pukul 10.30 pagi, seorang pegawai polis telah mendapat arahan Ketua Polis Kedah supaya membebaskan bas-bas itu.

"Tetapi saya membantah kerana rakan-rakan saya sedang dalam proses membuat laporan polis. Bagaimana suspect (orang yang disyaki) dibebaskan sedangkan laporan belum selesai. Ini tidak adil! Saya percaya wujud tekanan politik daripada BN terhadap polis," cerita Azmin lagi.

"Ketika itu, Timbalan Ketua Polis Kedah datang dan saya memberitahunya bahawa bas ini tidak boleh dibebaskan, saya minta polis mengikut peraturan dan tidak tunduk kepada arahan politik," katanya.

Pada 10.30 pagi, Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaacob tiba, pemimpin-pemimpin BN mengiringi beliau.

Selepas Khalil masuk ke kawasan balai polis, penyokong BA dan Azmin Ali mengiringinya dan menyeru beliau agar membiarkan polis menyiasat.

"YB tahu undang-undang Malaysia. Jangan masuk campur," kata penyokong BA kepada Khalil.

"Khalil memberitahu (kami) bahawa di dalam bas-bas itu bukan pengundi hantu, tetapi penyokong BN," kata Azmin.

"Tetapi saya tanya dia, kalau betul itu penyokong BN, mengapa datang begitu ramai? Kenapa datang pada hari mengundi? Dia sendiri tidak dapat menafikan mereka itu pengundi hantu.

"Saya beritahu dia, saya datang daripada Umno dan BN, strategi (ini) yang kita (pernah) sama-sama buat dulu.

"You can cheat the people, but you cannot cheat me (anda boleh menipu orang ramai, tetapi anda tidak boleh menipu saya)," Azmin berkata kepada Khalil, imbas pemimpin Keadilan itu kepada malaysiakini.

"Dia agak terkejut dan malu kerana saya berkata begitu di depan khalayak ramai," cerita Azmin lagi.

Di mana hilang penumpang?

Kemudian, Khalil dilihat masuk ke dalam sebuah bilik di balai polis itu dan Azmin mendesak agar wakil BA harus juga dibawa berbincang dengan polis.

Dalam perundingan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, BA mendesak semua nama penumpang bas itu disenaraikan. Polis bersetuju mengambil nama dengan dipantau oleh kedua-dua pihak.

"Khalil akhirnya bersetuju menyerahkan (hal itu) kepada polis dengan syarat bas-bas dilepaskan selepas laporan polis siap," kata Azmin.

"Saya serahkan perkara ini kepada polis. Tidak cukup tempat tinggal di sini (Lunas). (Sebab itu) mereka kena datang awal pagi. Saya percaya mereka (penumpang bas) hanya penyokong BN. Kebanyakan mereka tidak membawa makanan dan minuman. Jadi kita tidak boleh tahan mereka begitu lama," kata Khalil kepada wartawan selepas itu.

"Adakah mereka perayu undi?" tanya seorang wartawan.
"Tidak,' jawab seorang ahli MIC.

Kemudian, pada jam 11.10 pagi, Azmin dan Ezam menaiki ke atas sebuah bas. Tiba-tiba seorang pegawai polis yang berpakaian seragam bergegas naik bas itu dan berteriak, "Tak boleh, tak boleh!"

Azmin pun turun dari bas dan hanya polis yang mengambil nama-nama penumpang.

Walau pada awalnya polis dikatakan akan memberikan satu salinan senarai nama penumpang kepada wakil BA, tetapi akhirnya pihak berwajib itu tidak bersetuju dengan alasan kes itu masih dalam siasatan, menurut ADUN Hulu Klang itu lagi.

Atas persetujuan BN dan BA, pada pukul 11.30 pagi, sebuah demi sebuah bas yang berada di kawasan balai polis dan di tepi jalan berhampirannya bergerak keluar dari Lunas diiringi oleh lori PGA dan kereta polis. Penyokong-penyokong BA juga mengekori bas-bas tersebut.

Tiba-tiba kelihatan beberapa buah bas yang melalui depan balai polis itu tiada penumpang langsung.

Menurut Naib Presiden Keadilan Tian Chua, dua orang pemandu India dari Melaka dan seorang pemandu Melayu dari Perak mengaku bahawa mereka telah menurunkan penumpang mereka di Lunas.

"Mereka kata (kepada wakil BA), mereka hanya cari makan sahaja. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa," kata Tian kepada malaysiakini.

Polis ugut penyokong BA

Menurut Saiful Izham, polis didapati hanya mengambil maklumat bagi 12 buah bas yang berada di dalam kawasan balai polis. Beliau percaya polis tidak mengambil maklumat bas-bas yang berada di luar kawasan balai.

Menurut Abdul Razak pula, ramai penyokong BA yang mengiringi bas keluar dari Lunas dengan kereta dan motosikal. Tetapi sebilangan daripada mereka telah diugut oleh polis. Penyokong BA takut dan tidak mengekori bas-bas itu lagi.

Bagaimanapun, menurut Razak, ada di antara penyokong BA nampak dua bas sahaja yang melepasi plaza tol Juru, sementara bas-bas lain "hilang begitu sahaja."

Sementara seorang penyokong BA Azizan Ismail berjaya mengiringi sebuah bas hingga ke plaza tol Sungai Dua. Bas itu mungkin datang dari Kedah.

Seorang yang ingin dikenali sebagai Hack memberitahu wartawan, ramai lagi penduduk kampung dan penyokong BA berada di luar balai polis kerana mereka tidak mempercaya polis.

"Pemimpin sudah balik, dan orang kampung marah kerana mereka takut polis akan melepaskan pengundi hantu," kata Hack kepada malaysiakini. Pada waktu itu, masih ada lagi sebuah bas yang datang dari Kedah berada di luar balai polis Lunas kerana tayarnya bocor.

Pada pukul 2 petang, seorang aktivis Pemuda Keadilan Lokman Noor Adam mengumumkan di bilik gerakan BA bahawa mereka mendapati enam buah bas yang tiada penumpang berada di sebuah hotel di Seberang Jaya.

Kemudian pada 4.30 petang, Saiful Izham yang berada di luar balai polis masih menunggu kedatangan enam buah bas. Pada masa itu, orang ramai masih berkumpul di luar balai polis.

Tiba-tiba, Saiful Izham kelihatan naik marah kepada seorang pegawai polis.

"We want to help the police, but what've you done? (Kami hanya ingin membantu polis, tetapi apa yang anda (polis) telah lakukan?)" tanya Saiful Izham kepada pegawai itu.

"Kita tak perlu bantuan kamu," balas seorang lagi pegawai polis yang berada di tepi Saiful. Beliau kemudian ditarik ke tepi oleh seorang pegawai polis.

Menurut Saiful, seorang pegawai tinggi polis telah mengarahkan ditangkap sesiapa yang membuat laporan polis terhadap isu pengundi hantu.

Kemudian, sekumpulan penumpang yang kebanyakannya orang tua-tua keluar dari balai polis dan menaiki bas yang bertayar bocor itu.

Menurut maklumat yang diterima oleh Azmin, penyokong BA telah mendapati penumpang bas-bas yang diletakkan di sebuah hotel di Seberang Jaya itu telah dibawa untuk mengundi ke Lunas dengan kereta dan motosikal.

"Saya yakin (ramai) pengundi hantu yang terlepas," kata Azmin.


Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 10 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com