Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Ada yang belum dilunaskan

Oleh : Hishamuddin Rais

Lupakan ribuan angka manusia yang di nyatakan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai penyokong Barisan Alternatif yang membuat 'karenah' di Lunas. Atau pun tentang taktik BA yang menang di Lunas kerana menggunakan undi hantu.

Kita, rakyat yang berkemampuan menggunakan fikiran tidak perlu lagi mendengar atau menerima apa saja yang di keluarkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai kebenaran.

Penolakan terhadap presiden Umno ini bukan hanya datang dari Barisan Alternatif, badan-badan NGO dan gerakan reformasi sahaja, kini orang Umno sendiri telah mula berani bersuara secara terbuka untuk menyatakan kemeluatan dan kemuakan mereka terhadap presiden mereka sendiri.

Ledakan dari dalam telah dimulakan oleh Datuk Shahrir Samad, seorang anggota Majlis Tertinggi Umno. Sehari selepas kekalahan BN di pilihanraya kecil Lunas, Datuk Shahrir telah mengeluarkan kenyataan dan kritikan terhadap presiden Umno yang telah dianggap nyanyok dan tidak lagi disukai rakyat.

Tanpa berselindung Datuk Shahrir telah menunjukkan dengan tepat bahawa presiden Umno itu adalah punca kekalahan BN. Mengikut pandangan Shahrir; tindak tanduk dan ucapan dari mulut Mahathir telah meloyakan rakyat.

Imej Mahathir yang digunakan sebagai poster di Lunas telah dilihat dan dibaca oleh pengundi sebagai tanda rasuah, kezaliman, nepotisme dan kronisme.

Tiga panggung

Seantero dunia telah membaca berita ini, tetapi sayangnya akhbar arus perdana di dalam negara telah mengambil jalan burung kasawari yang menyurukkan kepala nya ke dalam tanah - jika tidak dilihat maka ianya tidak berlaku.

Apakah yang sebenarnya terjadi di Lunas sehingga menggoncangkan Barisan Nasional ke akar umbinya? Apakah kerana BN kalah maka Datuk Shahrir besuara?

Jawabnya tidak. Pilihanraya kecil ini wajib dibaca dari pelbagai sudut. Harus diakui bahawa Lunas telah membuka tiga panggung pertempuran.

Pertempuran pertama diantara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, pertempuran kedua diantara Saifuddin Nasution dengan S Anthonysamy dan pertempuran ketiga diantara Tian Chua dengan Lim Kit Siang.

Hanya satu pertempuran - diantara Saifuddin Nasution dengan S Anthonysamy yang telah dilunaskan.

Dua pertempuran masih lagi berjalan, mungkin secara senyap atau mungkin secara terbuka. Medan tempur ini akan merebak dan meluas. Pertempuran ini pasti akan mengubah lanskap politik negara ini.

Kenyataan Shahrir Samad wajib dibaca sebagai peluru dari dalam yang membantu Anwar Ibrahim. Tembakan Datuk Shahrir walau bukan bertujuan untuk membantu Anwar Ibrahim tetapi pasti menggelisah dan memporak perandakan kubu presiden Umno sendiri.

Sama seperti presidennya, Datuk Shahrir Samad juga telah mengambil sikap denial syndrome bila berhadapan dengan insan Sungai Buluh.

Dua garis politik

Faktor Sungai Buluh cuba dinafikan sebagai memainkan peranan penting di Lunas, walhal umum sedar faktor inilah yang lebih penting dari kehadiran Chandra Muzaffar atau pun Anwar Tahir.

Satu lagi medan yang telah dibuka di Lunas ialah pertempuran dua garis politik yang diwakili oleh Tian Chua dan Lim Kit Siang.

Memang, secara terbuka umum membaca bahawa perbalahan yang berlaku hanyalah perebutan kerusi diantara Keadilan dengan DAP. Ini pertempuran yang zahir dilihat.

Tersirat dibawah perebutan inilah dua garis politik yang sedang bergolak. Lim Kit Siang adalah pemimpin politik masyarakat Tionghua yang mewakili garis lama. Garis ini mewakili kelompok-kelompok yang masih terkurung didalam kerangka politik perkauman.

Kelompok yang terdidik didalam kerangka lama ini bukan hanya bersarang didalam DAP malah ianya wujud di dalam Umno, Keadilan, Pas dan disemua komponen Barisan Nasional.

Kerangka lama ini memberi tafsiran bahawa satu bangsa atau satu-satu agama hanya boleh diwakili oleh individu dari bangsa atau agama yang sama.

Bangsa Melayu hanya boleh diwakili oleh orang Melayu, bangsa Cina oleh orang Tionghua dan sebagainya. Semua ini adalah manifestasi garis politik lama.

Lunas telah membuktikan bahawa garis lama ini boleh diubah. Laungan ‘kebangsaan' mungkin ada masinnya semasa di zaman penjajah dahulu.

Birokrat Melayu

Tetapi semuanya berubah kerana perjalanan tamadun manusia, perkembangan masyarakat, peningkatan taraf hidup, keterbukaan kepada pengaruh luar; semua ini memangkin kemunculan garis politik yang baru dan bebas dari kerangka politik lama.

Justeru, definisi garis politik lama telah dan sedang ditolak. Ini kerana kerangka bangsa dan kaum tidak lagi dapat diterima keseluruhanya. Umno parti Melayu telah terbukti tidak dapat mewakili kepentingan seluruh orang Melayu.

Parti ini hanya mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangasa, pemodal Melayu, kapitalis birokrat Melayu dan cukong dari bangsa Cina dan India. Bagitu juga MIC atau MCA tidak pernah diterima sebagai mewakili semua masyarakat Cina dan India.

Selama 43 tahun ini jelas terbukti bahawa setiap parti-parti politik ini mewakili kepentingan kelas masing-masing. Kepentingan bangsa, kaum dan agama itu hanya retorik politik untuk memancing sokongan.

Ini terjadi kerana setiap bangsa atau kaum atau agama itu akan terkumpul ke dalam kelas ekonomi yang berkepentingan.

Selama 43 tahun ini kelas yang memerintah dari semua bangsa tidak pernah menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan baik untuk meluaskan modal dan meningkatkan keuntungan mereka bersama.

Contohnya Umno menghalau setinggan Melayu agar pemaju Cina dapat mendirikan rumah. Umno yang Islam merampas tanah orang Islam di Kerpan, untuk diambil oleh syarikat asing - yang juga beragama Islam.

Anak-anak muda

Jadi pemilihan calon di Lunas wajib dibaca sebagai permulaan untuk membawa garis baru dan meninggalkan kerangka lama - Cina diwakili Cina, Melayu oleh Melayu dan India oleh Samy Vellu.

Manifestasi dua garis politik tersirat melalui Tian Chua dari Keadilan dan Lim Kit Siang dari DAP.

Telah sampai masa nya untuk menerima hakikat bahawa di era pascamoden ini manusia menilai diri mereka bukan hanya dari bangsa atau agama sahaja.

Wajib dinobatkan: fesyen, cara hidup, seksualiti dan gender sebagai bentuk baru menilai diri yang sama pentingnya didalam politik harian. Unsur-unsur inilah yang mentapaikan garis politik baru.

Anak-anak muda yang di Lunas dua minggu dahulu telah menggengam tangan mereka untuk membawa kemenangan. Mereka adalah wakil pembawa garis baru didalam politik tanah air.

Mereka ingin membebaskan diri dari kerangka lama yang telah kotai dan diwakili oleh pemimpin-pemimpin tua yang masih belum dilunaskan.


Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 7 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com