Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Aziz adalah pelawak Pemuda UMNO terbaik. Tahniah!

Oleh: Kuntakinte Malaysia

Membaca wawancara Naib Ketua Pemuda UMNO dengan Mingguan Malaysia minggu lepas, saya semakin yakin Pemuda UMNO tidak akan berubah dan tidak mampu berubah. Sehari sebelumnya, seorang wartawan telah pun memberi isyarat kepada saya bahawa Pemuda tidak mungkin berubah berdasarkan cara mereka mengendalikan sidang akhbar selepas mesyuarat mereka Sabtu lalu. Wallahualam apa yang menjadi ukuran wartawan tersebut.

Tetapi saya percaya kepada andaian wartawan tersebut kerana Pemuda UMNO selamanya tidak mungkin berubah dengan barisan kepimpinan yang ada.

Selebihnya, dalam wawancara semalam, Datuk Aziz Sheikh Fadzir dengan jelas dan tegas menggariskan beberapa masalah Pemuda UMNO, kenapa mereka gagal menarik golongan muda.

Antaranya ialah imej UMNO, kesalahan Dr. Mahathir kerana tidak mencalonkan lebih ramai golongan Pemuda UMNO dalam pilihan raya yang lalu dan arahan supaya Gerak Gempur dihentikan. Semuanya menunding kepada pihak lain.

Bagi saya, wawancara tersebut secara jelas memperlihatkan bahawa Pemuda UMNO tidak memahami isi hati golongan muda.

Pertamanya, apabila Aziz mendakwa bahawa kegagalan Pemuda UMNO mendekati golongan muda adalah kerana imej UMNO, ternyata Pemuda UMNO gagal menyedari bahawa, terdapat ramai golongan profesional muda yang meluat dengan Pemuda UMNO. Ini adalah hakikat terpenting yang gagal mereka sedari dari awal hingga sekarang.

Saya mempunyai ramai rakan-rakan yang sedia berdebat secara terbuka dengan Pemuda UMNO untuk menunjukkan kenapa mereka tidak lagi relevan kepada golongan muda yang menyokong UMNO.

Imej mereka, pemikiran mereka dan tindak tanduk mereka ternyata songsang dan tidak sesuai dengan arus pemikiran generasi muda hari ini.

Kalau hendak didedahkan sikap dan perilaku mereka baik sama ada cara mereka mengendalikan program-program, kegilaan mereka terhadap publisiti, sikap ingin menonjolkan diri bahawa ‘akulah yang bekerja’, merosakkan program-program untuk menarik golongan muda kepada UMNO apabila tidak membabitkan mereka, berebut-rebut kekayaan, pangkat dan darjat serta bercakap ‘nonsense’ dalam isu semasa; belum tentu cukup ruang walaupun satu akhbar memberi ruang untuk keluarannya.

Sebab itu apabila Aziz mendakwa UMNO harus berubah maka kita melihat Aziz dan Pemuda UMNO tidak memahami UMNO sendiri. Kita bersetuju kalau terdapat individu-individu dalam UMNO perlu berubah.

Tapi bila mendesak UMNO berubah, apakah UMNO hari ini telah terpesong? Apakah dasar yang kami pertahankan hari ini salah atau Pemuda UMNO yang kurang bijaksana?

Mungkin benarlah seperti dakwaan saya bahawa Pemuda UMNO kalau ditanya isu semasa pastinya menggeletar lutut hendak menjawabnya. Mereka memegang jawatan hanya sekadar platform menonjolkan diri dan mengaut kekayaan. Mereka muncul bukan kerana kebijaksanaan mereka tetapi kerana politiking mereka.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Pemuda UMNO mahu menarik golongan muda yang menyokong pembangkang kalau di kalangan pemuda yang bersimpati dengan UMNO sendiri pun telah jijik melihat mereka.

Pemuda telah hilang fokus. Mereka bukan sahaja gagal menarik golongan anti-estabalishment tetapi juga gagal menarik golongan yang bersimpati dengan UMNO.

Seterusnya bila Aziz menyalahkan Presiden UMNO kerana jumlah wakil Pemuda UMNO yang sedikit dalam pilihan raya lepas maka sekaligus membuktikan hipotesis saya bahawa pemuda gila pangkat, kedudukan dan harta adalah tepat.

Ini belum lagi diceritakan bagaimana jarak antara mereka dengan golongan muda bila masing-masing berebut gelaran Datuk. Sikit-sikit nak panggil Datuk. Jasa belum seberapa, gelaran dah berderet.

Apabila Aziz mendakwa Presiden UMNO mengkesampingkan wakil mereka maka beliau lupa berterima kasih bila ketuanya dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, wakil mereka dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional. Ini membuktikan lagi hipotesis saya tadi bahawa Pemuda suka bercakap tidak tentu hala.

Pemuda tidak pernah bersyukur, sebagaimana Mahathir suruh beryukur (he he). Kalau hendak dibandingkan pengorbanan mereka.

Seluruh wawancara Aziz dengan Utusan membuktikan teori saya selama ini bahawa Pemuda UMNO tidak memahami situasi dan tidak menghayati dasar UMNO.

Beliau bukan sahaja tidak mempunyai fakta bila bercakap malah tidak mempunyai kekuatan berhujah. Bila kita berkata Pemuda lembut maka bukan kita mengukur dari segi membelasah atau memaki hamun orang.

Sebaliknya kita mempersoalkan ketegasan dan intergriti Pemuda bila keadaan memerlukan mereka tampil ke depan menjawab hujah-hujah pembangkang. Mereka sepatutnya menjuarai kempen menjawab hujah pembangkang bukan mengumpul 30 orang untuk memanjat pagar suqiu.

Sebaliknya bila kita berkata mereka tidak berkesan maka yang ingin dihidupkan kembali ialah program Gerak Gempur. Baguslah kalau nak menggempur tapi bukan ala samseng, yang memekik dan memekak ketika pilihan raya.

Kalau benar nak gempur yang perlu digempurkan ialah pemikiran dan ideologi orang muda hari ini. Berani dan mampukah Exco Pemuda UMNO hari ini?

Tapi kenapa program ini diheboh-hebohkan hingga menunjukkan seolah-olah kita ingin bergaduh dan bukannya berpilihan raya. Bukankah ia sekadar menunjukkan Pemuda terlebih publisiti daripada bekerja dan bertindak tanpa hikmah.

Saya tidak menafikan melihat dengan mata kepala saya sendiri, Aziz bertungkus lumus di Lunas. Tapi sebelumnya bagaimana? Kalau benarlah Pemuda UMNO telah bekerja keras tetapi kurang publisiti seperti yang didakwa oleh Aziz, tolonglah beritahu saya bagaimana bahagian beliau sendiri (Padang Serai) hanya terdapat sepuluh sahaja cawangan Pemuda UMNO?

Itu pun belum diperiksa apakah kesepuluh cawangan itu aktif atau sekadar ‘hidup segan mati tak mahu’?

Keseluruhan wawancara tersebut hanya membuang masa, ruang dan wang sahaja. Tidak ada apa-apa yang bagus dan berkesan selain rentetan retorikal Pemuda UMNO yang telah mangli di telinga kita.

Mereka lupa betapa muaknya generasi hari ini bila membaca retorikal Pemuda UMNO untuk mendekati golongan muda. Kalau hendak mendekati, dekati sahajalah, apa perlu kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar yang memualkan? Ini sekadar makin menjauhkan diri golongan muda dengan Pemuda UMNO.

Seterusnya, saya terkeliru sama ada untuk ketawa berdekah-dekah atau mengalirkan rasa hiba bila membaca tulisan Awang Selamat bahawa, Aziz berpendapat kalau Presiden UMNO menerima perletakkan jawatan beliau bermakna UMNO tidak mahu berubah. Aziz adalah pelawak Pemuda UMNO terbaik. Tahniah!


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 27 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com