Oleh : Ku Rohman
MASJID atau kuil, memilih orang bukan Islam hukumnya haram, dan Sekolah
Wawasan akan menghapuskan identiti Sekolah Cina dan bahasa ibunda orang
Cina. Begitulah antara isu-isu yang pilihan raya kecil Lunas yang bermain
dalam fikiran para pengundi sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN
Lunas yang baru selesai pada 29 November lalu.
Calon parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail berjaya memperoleh
10,511 undi berbanding calon BN S. Anthonysamy yang memperoleh 9,981.
Ini bermakna calon Keadilan menang dengan majoriti 530 undi.
Keputusan ini memang mengejutkan banyak pihak, termasuk Barisan Alternatif sendiri.
Ramai di kalangan kem parti BN meramalkan kemenangan calon BN sungguhpun
dengan majoriti yang lebih kecil berbanding dengan pilihan raya umum
1999 termasuk Dr Mahathir sendiri.
Malah selepas proses pengundian selesai pun pihak BN masih begitu yakin
memenangi pilihan raya kecil ini berdasarkan kepada 14,600 pengundi yang
mengunjungi pondok-pondok panas BN berpura-pura kononnya menyokong BN
tetapi sebenarnya memangkah Barisan Alternatif.
Pengundi-pengundi Cina nampaknya mengubah selera kali ini. Kita tidak
fikir mereka berbuat demikian kerana disebabkan perubahan pada dasar
kerajaan seperti mana yang cuba diketengahkan oleh sesetengah pemimpin
MCA. Isu Sekolah Wawasan sudah wujud semasa pilihan raya umum 1999 lagi.
Begitu juga dengan isu 17 perkara yang dibawa oleh Kumpulan Suqiu.
Bagi pengundi-pengundi Melayu memang dari awal lagi dijangka akan lebih
memihak kepada parti Keadilan kerana calonnya orang Melayu berbanding
dengan BN yang terdiri dari orang India. BN memang menaruh harapan
tinggi dan menjangka pengundi Cina akan memihak kepadanya, terutama
sekali kerana calon parti pembangkang bukan orang Cina.
Beberapa kemungkinan-kemungkinan dapat kita ketengahkan terhadap tujuan
atau motif yang menjadi penggerak kepada pendirian pengundi-pengundi
Cina di Lunas kali ini.
Pertamanya, mereka mahu menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan
kumpulan pelampau Cina berhubung dengan isu tuntutan 17 perkara dan
sekolah wawasan.
Kedua, mereka mahu pilihan raya DUN Lunas menjadi testing ground untuk
menyampaikan mesej tertentu, dan ketiga, mereka mahu menunjukkan
kekuatan sebagai kumpulan penentu keputusan pilihan raya.
Mereka sahaja yang tahu tentang objektif undi protes di Lunas kali ini.
Yang lebih penting lagi ialah mereka mahu membuktikan bahawa calon BN
tidak mampu menang tanpa sokongan orang Cina seperti mana yang
digembar-gemburkan selepas pilihan raya umum yang lalu.
Kesungguhan sesetengah orang Cina dalam menyokong parti Keadilan
di DUN Lunas dapat dilihat daripada air muka mereka yang berkempen dan
merayu di tepi-tepi jalan bersama dengan rakan-rakan Melayu.
Sama ada mereka menyokong Keadilan kerana yakin dan percaya dengan
kemampuan parti tersebut atau disebabkan kemungkinan di atas
sama-samalah kita fikirkan. Orang Cina lebih cerdik dan lebih halus
pendekatan politik mereka berbanding dengan orang Melayu.
Kecenderungan orang Cina menyokong parti Keadilan pada pilihan raya
kecil DUN Lunas dapat dilihat berdasarkan kepada taburan undi mengikut
daerah-daerah mengundi. Jika dijumlahkan kesemua peti undi yang mana
pengundi-pengundi Cina adalah dominan.
Kita mendapati 62 peratus daripada mereka mengundi parti Keadilan dan 37
peratus sahaja mengundi BN. Manakala bagi peti undi yang majoritinya
Melayu didapati 44 peratus menyokong BN dan 56 peratus menyokong
Keadilan.
Aliran ini berbeza sekali dengan kawasan-kawasan yang penduduknya tiada
kaum dominan. Bagi kawasan campuran ini 58 peratus pengundi didapati
menyokong BN.
Seperti yang dijangkakan pengundi India memberikan sokongan besar kepada
BN (76 peratus) kerana calon BN adalah terdiri dari kem mereka.
Dari awal lagi kita memang sudah menjangkakan bahawa BN akan menghadapi
halangan yang lebih besar dalam pilihan raya kecil DUN Lunas kali ini
jika Barisan Alternatif meletakkan calon Melayu kerana orang Melayu
merupakan jumlah pengundi yang teramai berbanding dengan orang Cina atau
India. Adalah lebih mudah bagi BN jika BA meletakkan calon
India atau Cina seperti pilihan raya umum 1999 lalu.
Sama ada kita mahu menerima atau tidak, kenyataannya ialah sebahagian
rakyat Malaysia akan memberi undi berdasarkan kepada kaum. Biar apa pun
yang dikatakan tentang integrasi kaum, hakikatnya rakyat Malaysia secara
umumnya masih cenderung memberi undi kepada kaumnya sendiri.
Walau bagaimanapun bagi calon BN, memperolehi antara 35 hingga 55
peratus di kawasan-kawasan yang majoritinya orang Melayu adalah satu
kejayaan (40 hingga 64 peratus bagi pilihan raya 1999). Bagi kawasan
majoriti orang Cina pula S. Anthonysamy hanya memperoleh 26 peratus
hingga 51 peratus sahaja sungguhpun calon parti Keadilan bukan terdiri
dari orang Cina (47 hingga 66 peratus bagi pilihan raya 1999).
Harapan BN untuk memperolehi majoriti undi dari orang Cina nampaknya
tidak berhasil.
Demi untuk memenangi sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri BN sanggup mengandai maruah dan masa
depan bangsa. Mereka bergerak ke hulu ke hilir
bersama lempar pelbagai sogokan demi untuk memastikan BN menang.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin Dong Jiong Zhong
bersama-sama pada setiap ceramah di kawasan orang Cina.
Presiden Pas sendiri turun ke padang untuk memastikan calon BA menang
dan membuat kenyataan menyokong kumpulan penentang
perlaksanaan sekolah wawasan, kerana sekolah wawasan akan menghapuskan
bahasa ibunda seperti yang berlaku kepada orang Melayu di Selatan
Thailand.
Kenyataan Perdana Menteri yang ditujukan khusus kepada pelampau Cina amat menyedihkan.
PM masih mengganggap orang Cina pelampau.
Walaupun demokrasi telah di'robek' oleh Barisan Nasional namum masih ada celah yang membolehkan rakyat
menunjukkan sikap bahawa Barisan Nasional sudah sampai masanya untuk tumbang. Jangan sampai
bangsa akan tumbang kerana keangkuhan seorang diktator tua.