Oleh : Lee Ban Chen
Jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad terhadap soalan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock di Dewan Rakyat pada 11 Disember 2000 mengenai Suqiu merupakan satu lagi pukulan hebat kepada demokrasi negara.
Sikap dan pendirian PM yang menjadikan Suqiu sebagai 'kambing hitam' itu sangat mengecewakan rakyat pelbagai kaum yang antipolitik perkauman.
Sungguh di luar dugaan, rayuan (pihak Suqiu enggan menggunakan perkataan “tuntutan” kerana takut disalah faham) yang dikemukakan oleh 2095 persatuan Cina menjelang pilihan raya itu boleh dipandang sebagai 'ugutan' .
Bukankah membuat rayuan atau melobi melalui saluran demokratik seperti menghantar memorandum merupakan suatu amalan yang wajar dan lumrah dibuat bagi sistem demokrasi kita?
Bukankah terpulang kepada Barisan Nasional, Barisan Alternatif, dan badan-badan bukan kerajaan yang berkenaan untuk membuat keputusan sama ada hendak menimbang, menerima atau menolak rayuan tersebut.
Andainya Suqiu tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lepas kerana tidak berpuas hati terhadap reaksi pakatan kerajaan itu terhadap rayuan dan lobi mereka, bukankah itu juga hak mereka sebagai pengundi?
Ironis sekali, masyarakat Cina pada keseluruhannya telah menyokong BN dan mengakibatkan kemenangan pakatan itu dalam pilihan raya umum yang lepas.
Rupa-rupanya penerimaan kabinet secara prinsip rayuan Suqiu hanya suatu tipu-helah untuk memperbodohkan masyarakat Cina amnya dan 2095 persatuan etnik itu dalam gabungan tersebut.
Adakah MCA, MIC, Gerakan dan SUPP yang ditugaskan untuk menyampaikan “berita baik” tentang 'persetujuan kabinet’ tahun lalu itu bersekongkol dalam komplot tersebut? Atau parti-parti tersebut juga secara tidak sedar telah berjaya diperalatkan oleh Perdana Menteri?
Di samping itu, menurut Dr Mahathir lagi, BN terpaksa berpura-pura menyetujui Suqiu kerana takut kalah dalam pillihan raya umum yang lepas tetapi setelah mendapat sokongan dan menang, beliau sebaliknya menyamakan jawatankuasa rayuan itu dengan komunis dan Al-Ma'unah. Adakah perbuatan beliau itu bermoral?
Lima perkara ‘melampau’
Menyamakan Suqiu dengan komunis dan Al-Ma'unah memang melampau, dan tidak dapat dipertahankan oleh sesiapa berfikiran yang rasional.
Dr Mahathir kata “tegurannya” hanya ditujukan terhadap beberapa orang pemimpin dalam Suqiu, bukan terhadap masyarakat Cina pada keseluruhannya.
Beliau telah lupa, pendirian pemimpin-pemimpin Suqiu mewakili 2095 persatuan Cina yang sebenarnya merupakan pendapat umum masyarakat kaum itu, dan rayuan-rayuan yang berkenaan juga disokong oleh parti-parti komponen BA dan beberapa NGO lain, mereka bukan beberapa kerat manusia individu.
Tambah PM: "Jika orang Cina berasa tersinggung kerana salah faham yang disengajakan oleh Suqiu dan akhbar tertentu, saya mohon maaf."
Jika tidak bersalah, apa perlu memohon maaf? Lagipun masyarakat Cina, terutamanya Suqiu yang menjadi sasaran tekanan Dr Mahathir, tidak pernah meminta sesiapa menghulurkan maaf.
Lebih-lebih lagi Dr Mahathir berulang-kali menyebut tentang huru-hara, rusuhan kaum, pembunuhan dan sebagainya. Seolah-olah dengan sengaja hendak menegangkan hubungan kaum negara kita demi sesuatu agenda politik yang kotor.
Dan disebut pula bagaimana beliau telah melarang Pemuda Umno dan kumpulan-kumpulan Melayu lain daripada 'memprotes secara keras' -- berdemonstrasi secara besar-besaran dan membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor seperti pernah diugut Pemuda Umno? Atau mencetuskan huru-hara dan rusuhan kaum?
Setakat ini, bukankah pemimpin-pemimpin Suqiu yang dituduh oleh Dr Mahathir sebagai komunis dan Al-Ma'unah itu yang terancam oleh ISA? Dan bukankah masyarakat Cina dan rakyat Malaysia juga terancam oleh 'protes yang keras' yang mungkin mencetuskan huru-hara dan sebagainya?
Antara 83 rayuan di bawah 17 perkara Utusan Malaysia telah menurunkan lima perkara yang dianggap 'melampau', iaitu:
1) Meminta dimansuhkan perbezaan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam semua bidang;
2) Meminta dipinda Akta Kesatuan Sekerja, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;
3) Meminta dihapuskan sistem kuota yang berasaskan kaum dan digantikan dengan sistem pengagihan yang berasaskan kebolehan;
4) Meminta dibatalkan rancangan Sekolah Wawasan dan dihapuskan kuota untuk kemasukan universiti;
5) Meminta kerajaan turut mengindahkan kawasan-kawasan perkuburan dan memastikan kawasan tersebut tidak dipindah untuk tujuan pembangunan.
Perkara-perkara di atas, hanya perkara 1, 3 dan 4 mungkin kontroversi sedikit, sementara perkara 2 dan 5 itu sebenarnya untuk kebaikan rakyat berbilang kaum.
Bukan hapus hak Melayu
Rayuan-rayuan Suqiu padahal tidak bertujuan mencabar hak istimewa Melayu (Malay special privileges) yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, meliputi empat perkara seperti berikut:
1) Tanah;
2) Penerimaan masuk ke perkhidmatan awam;
3) Pengeluaran permit dan lesen untuk sesetengah perniagaan; dan
4) Biasiswa dan dermasiswa (bursary) dan bentuk-bentuk bantuan yang lain demi tujuan pendidikan.
Saya rasa tiada sesiapa dalam jawatankuasa Suqiu yang ingin merampas hak-hak istimewa Melayu tersebut untuk diberikan kepada Cina atau kaum-kaum bukan Melayu. Dan sudah barang tentu kerajaan juga tidak membenarkan hal seperti itu berlaku.
Suqiu juga tidak menafikan perlunya pelaksanaan “affirmative action” yang disebutkan oleh Dr Mahathir. Mereka meminta tindakan itu (selain daripada dilaksanakan terhadap orang Melayu yang memerlukan bantuan) diperluaskan untuk membantu golongan bawahan bukan Melayu yang juga memerlukan bantuan.
Kemiskinan merupakan gejala sosio-ekonomi yang membabitkan semua kaum.
Cara ini merupakan keadaan sama-sama menang (“win-win situation”) dan lebih adil. Bukankah rakyat berbilang kaum di negara kita sedang menuntut reformasi politik untuk mewujudkan suatu negara yang lebih adil?
Tentang kontrak sosial semasa kemerdekaan, mengikut tafsiran Dr Mahathir, seolah-olah hak istimewa Melayu sebagai bayaran kaum bukan Melayu untuk mendapatkan hak kerakyatannya. Oleh itu, ia harus dikekalkan .
Adakah Dr Mahathir menyedari, sekiranya sesuatu kontrak sosial tidak boleh dikaji semula mengikut perubahan zaman, ini bermakna kaum Melayu akan bertongkatkan “affirmative action” buat selama-lamanya dan rakyat pelbagai kaum di negara ini juga tidak akan mencapai kesamarataan hak buat selama-lamanya. Di manakah mana depan kita?
Adakah ini wawasan Dr Mahathir? Nampaknya beliau telah ketandusan wawasan. Pendirian perkauman sempit beliau itu sebenarnya memalukan rakyat Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya.
Petikan Malaysiakini
--------------------------------------------------------------------------------
LEE BAN CHEN merupakan aktivis sosial dan penulis yang terkenal di kalangan masyarakat Cina negara ini dan pernah ditahan oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).