Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PENAHANAN TIAN, RUSLAN DAN LAIN-LAIN

Parti Rakyat Malaysia (PRM) membantah sekeras-kerasnya tindakan polis menangkap Tian Chua serta Ruslan Kassim semalam, dan empat orang lain sehari sebelum itu. Mereka telah ditangkap di tempat-tempat berlainan di antara jam 1.00 hingga 4.30 pagi. Mereka semua dibawa ke balai polis Kulim. Selepas itu Gopalakrishnan pula ditangkap, ketika melaporkan diri kepada polis di sana.

Jelas bahawa empat orang yang ditahan lebih awal adalah berhubung dengan pilihanraya kecil Lunas. Tetapi sehingga kini tuduhan terhadap tiga orang pemimpin keADILan itu masih belum jelas. Mereka hendaklah dibebaskan ataupun dihadapkan ke mahkamah dengan segera, untuk meredakan berita angin bahawa mereka telah ditahan di bawah ISA.

Kami tidak faham mengapa mereka yang berenam itu perlu ditangkap pada waktu yang ganjil selepas dinihari, tanpa waran. Cara menangkap mereka adalah sama dengan cara yang selalu digunakan dalam penangkapan di bawah ISA. Adakah ini sengaja dirancang demikian untuk menimbulkan suasana ugutan dan takut?

Kami memandang berat terhadap kenyataan TPM merangkap Menteri Dalam Negeri dalam media, di mana ia dilaporkan sebagai berkata, antara lain, “Kalau salah, memang salah, kita tangkap.” Nampaknya menteri ini telah mendapati mereka bersalah, sebelum mereka dibicarakan dalam mahkamah terbuka. Apakah jenis keadilan ini?

Kelihatan kesemua tujuh orang ini telah ditangkap berhubung pilihanraya kecil Lunas. Kami mengesyaki beberapa orang lagi akan ditangkap juga. Mengapakah pemimpin Barisan Nasional mengambil kekalahan mereka di Lunas itu secara teruk sekali? Kami percaya mereka mungkin tidak akan bertindak sebegitu rupa sekiranya mereka menang. Atau adakah pemerintah memang cuba hendak menghukum mereka yang ditangkap ini dengan sebegitu cara supaya mereka boleh membuktikan bahawa BN tidak pernah menggunakan undi hantu?

PRM menggesa pihak polis supaya segera membebaskan semua yang ditahan dan menggugurkan tuduhan ke atas mereka yang telah dituduh. Tindakan polis ini, yang sudah tentu didorongkan oleh pihak atasan politik mereka, tidak akan membantu memulihkan imej polis sendiri ataupun imej Kerajaan BN.

Sangat tidak masuk akal untuk menuduh mereka yang ditangkap itu terlibat dengan perhimpunan haram, kerana semua yang berhimpun di Lunas untuk pilihanraya kecil itu boleh ditangkap atas tuduhan yang serupa. Seterusnya, sangat pelik untuk menuduh mereka terlibat dengan rusuhan, kerana tidak ada satu media pun telah melaporkan ada rusuhan berlaku.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
23hb Disember 2000


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 25 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com