Oleh Hassan Karim
Larian untuk hidup. Masih kuingat pada lewat petang itu. Aku berlari
pulang dari Jalan Bangsar ke Jalan Pantai Baru dekat Lembah Pantai.
Kembali segera aku ke Asrama Intan. Kuala Lumpur senja itu telah
terbakar. Api perkauman menjilat tanpa belas ihsan. Manusia sudah hilang
kemanusiaan.
Empat hari lalu, aku baru sahaja sampai dari kampung. Aku sebenarnya
datang ke sebuah ibukota yang bahaya dengan rasa curiga. Sesama manusia.
Sedangkan aku tidak tahu apa-apa. Dalam usia baru selesai tingkatan lima
dan kemudian mengaji di pra-U, banyak perkara aku tidak tahu. Aku tidak
faham sekelilingku. Suasana politik waktu itu haru biru. Kesan
pilihanraya yang baru berlalu.
Aku berlari pulang. Aku melihat orang menjerit. Aku disuruh pulang. Di
Kuala Lumpur sana orang sedang berperang. Pada senja itu aku sedang
menunggu bas yang tidak tiba-tiba. Aku berhajat ke Petaling Street untuk
membeli sehelai tali leher bagi acara orientasi di kolej kami.
Entah apa jadi kalau aku sudah ada di sana. Anak Melayu yang baru datang
dari kampung sesat di tengah-tengah lorong Cina pada malam 13 Mei yang
gila itu. Malam di mana ramai manusia hilang kemanusiaannya.
Sempat aku diselamatkan. Dengan menaiki bas kolej yang sarat, kami
berkumpul di kolej induk di Seksyen 16 Petaling Jaya. Tetapi beberapa
temanku tertinggal di Asrama Intan di Jalan Pantai Baru. Mereka kemudian
menceritakan sekumpulan gangster datang menyerang.
Pada malam 13 Mei itu, di tanahair sendiri, buat pertama kali aku tidak
rasa selamat. Kami pelajar-pelajar terpaksa berkawal. Aku bersenjata
dengan batang cangkul. Sebab ada khabar angin, entah dari mana datangnya
ia, dikhabarkan orang-orang Cina dari Sungai Way akan datang menyerang
kolej kami, Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya. Jadi dikehendaki
berjaga-jaga.
Benar-benar sudah gila, Mengapa tiba-tiba aku perlu memegang batang
cangkul ini? Kepala siapa yang hendak aku belasah? Sedangkan aku tidak
pernah bermusuh selama hidupku, kecuali bergaduh ketika zaman
kanak-kanak dulu. Tetapi tiba-tiba kini aku berdepan satu keadaan yang
aku tidak faham. Dikatakan ada orang yang tidak kenal siapa aku, tidak
aku bersalah padanya, harus datang dan mahu membunuh aku begitu sahaja?
Aku tidak dapat terima ini. Tetapi kupegang juga batang cangkul itu.
Dengan duduk bercangkung di dalam gelap, di belakang bangunan kolej
kami, aku menunggu kedatangan “musuh” yang tak kukenal siapa mereka.
Tetapi tiada musuh yang tiba. Malam keesokannya, keadaan tidak begitu
tegang dan aku mendapat tugas baru. Aku diminta mengendalikan lampu
spot-light menyuluh sekitar kolej, kalau-kalau ada orang mahu menyerang
dari arah belakang. Mungkin mereka akan datang dari arah, rumah-rumah
orang kelas berada, kebanyakannya orang-orang Cina di Seksyen 16 itu.
Ini benar-benar kerja gila. Aku tidak dapat terima. Pada malam-malam
genting itu, aku teringatkan Mr Wong. Dia guru yang mengajar kami
General Paper. Apa akan nasib guruku itu? Aku berdoa akan keselamatan
dirinya.
Selepas perintah berkurung tamat, kami pulang ke asrama kami di Jalan
Pantai Baru. Asrama pelajar Tingkatan Enam Rendah di tempatkan di luar
kampus induk kolej. Apabila sampai di sana, aku tidak dapat terima apa
yang aku pandang dengan mata. Kedai lelaki India, tempat aku membeli
sabun dan penyangkut baju, ketika hari-hari pertama aku tiba di asrama
itu, telah terbakar hangus. Aku dikhabarkan lelaki India itu yang aku
tidak tahu Islam atau Kristian atau Hindu agamanya, tetapi apa bezanya?
Sedangkan dia adalah manusia, telah terkorban bersama kedainya yang
rentung.
Ini benar-benar gila. Aku tidak dapat terima. Apa salahnya lelaki India
itu?
Memang benar-benar satu kegilaan apabila aku melihat beberapa rumah
keluarga Cina, tidak jauh dari asrama kami itu turut musnah terbakar
sama. Aku tidak pasti apakah mereka juga terbunuh pada malam 13 Mei itu,
malam di mana manusia hilang kemanusiaannya.
Aku tidak dapat terima semuanya ini. Aku terlalu muda. Mengapa aku mesti
berdepan dengan kezaliman ke atas sesama manusia ini? Aku melihat dengan
mataku sendiri. Kesan terbakar di sana sini, termasuk kesan terbakar di
hati.
Lalu pada satu hari, aku berada di pekan Seksyen 17 Petaling Jaya. Aku
ditegur oleh satu keluarga Cina dalam bahasa ibunda mereka. Mereka
menyangka aku ini anak Cina. Lalu apabila aku pulang ke asrama petang
itu, ke cermin aku tatap wajahku. Kulihat sedikit sepet di mataku.
Adakah diriku ini, darah Cina mengalir dalam tubuhku?
Pengalaman serupa itu, sekali lagi berlaku. Ketika itu di Jalan Pantai
Baru. Sebuah kereta tiba-tiba berhenti. Kereta itu rosak, lalu keluar
pemandunya, seorang lelaki Cina separuh umur usianya. Dia menyapa aku
meminta tolong, juga dengan bahasa ibundanya. Tetapi apabila melihat aku
tidak memahami, lalu lelaki Cina itu berasa cemas dan takut sekali.
Kerana aku ini anak Melayu agaknya yang boleh membahayakannya.
Tetapi aku memanggil kawan-kawanku. Bersama-sama kami membantu lelaki
Cina itu. Dia berasa lega dan mulai percaya, keselamatan dirinya dan
anak isterinya dalam kereta, sebenarnya tidak dalam bahaya. Dan dia
mulai percaya, tidak semua Melayu itu harus jadi musuh baginya.
Ini semua berlaku, sewaktu ketegangan kaum masih tinggi, di mana semua
orang tidak pasti, hati budi kawan sendiri yang bukan dari bangsanya
sendiri. Gila semuanya ini. Aku tidak boleh terima. Mengapa sudah jadi
rosak sekali masyarakatku ini? Lalu aku kembali melihat ke cermin,
memeriksa wajahku, memeriksa diri. Aku melihat kembali sepet di mataku.
Satu pengalaman krisis identiti.
Sejak itu aku sudah timbul kebimbangan baru. Tidak berani lagi aku ke
Chow Kit dan ke Kampung Baru jika tidak bersama-sama kawan-kawanku yang
betul-betul Melayu. Melayu pada kulit, mata dan wajahnya. Tidakkah ini
benar-benar gila?
Kemudian tiba waktu cuti penggal pertama, selepas 13 Mei itu. Lalu aku
pulang ke kampung. Aku disambut dengan tangisan. Keluarga sangkakan aku
sudah terkorban pada malam 13 Mei itu, malam di mana manusia hilang
kemanusiaannya. Nenekku terlalu terharu. Dia bersyukur tidak terkira.
Cucunya tidak apa-apa. Dia berasa ngeri sekali untuk memikirkan, satu
lagi tragedi kematian keluarga kami, kali ini aku sendiri jadi korbannya
atas nama kebencian perkauman.
Nenekku, suaminya mati dibunuh Cina, di bandar Muar sana, sebelum Tanah
Melayu merdeka. Ketika itu suaminya menjadi pegawai tinggi polis di
zaman kolonial. Kesan darah pakaian datukku yang terkorban itu, disimpan
nenekku untuk ditunjukkan kepada cucu-cucunya.
Tetapi sejak dua kali selepas 13 Mei aku ditegur sapa dengan bahasa
Cina, lalu aku mulai menjejak bakaku. Siapa sebenarnya aku ini? Mengapa
sepet pada mataku? Lalu ibuku memberitahu. Moyangku di sebelah bapa,
Maimunah namanya, dia anak angkat seorang Sultan Singapura, sebenarnya
seorang anak Cina. Aku berasa bangga dan bersyukur kepada Allah dapat
mengenal akar umbiku sendiri dan mujurlah, aku tidak membenci orang Cina
selama ini. Jika tidak, samalah seperti aku, membenci diriku sendiri.
Lalu lebih tiga puluh tahun kemudian, aku berasa sedih dan kecewa
sekali. Isu kebencian kaum itu muncul kembali. Dan kali ini, paling
memilukan, kerana ada pada suatu ketika, iaitu ketika lidah dan penaku
tidak cermat dijaga, aku kelihatan terlibat sama. Sehingga kerana itu,
sampai ke hari ini, aku berasa khuatir sendiri. Aku bimbang jika aku
juga dianggap seorang lagi ekstremis Melayu, kerana pernah aku berdiri,
satu ketika dulu, secara terbuka, mempertahankan saki baki hak
bangsaku.
21 Disember 2000