Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perutusan Hari Raya oleh MB Terengganu

PERUTUSAN YAB. TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
(MENTERI BESAR TERENGGANU)
BERSEMPENA
HARI RAYA AIDILFITRI 1421 H / 2000 M

Assalamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh…

Segala pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Muslimin dan Muslimat, saudara dan saudari sekelian,

Pertama-tamanya, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri minal aidil wal faizin mudah-mudahan kita mendapat berkat daripada Allah SWT bersempena dengan hari yang mulia ini, setelah kita mengambil pengajaran yang banyak daripada ibadah puasa, dan mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan untuk membentuk peribadi muslim dan manusia yag bermoral, seterusnya mencapai kejayaan dalam membina masyarakat dan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, Tuhan Yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana.

Mudah-mudahan kita mempunyai keimanan yang lebih kuat dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam perjuangan, untuk menegakkan cita-cita mendaulatkan syariat Allah yang terkandung di dalam Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadhan.

Setelah sebulan kita menunaikan ibadah puasa, sanggup berlapar dan dahaga kerana taat kepada Allah SWT, marilah kita di masa kenyang dan bergembira, kita tidak lalai dan leka untuk terus taat kepada Allah SWT, sehingga menjadi hamba-hambaNya yang bersyukur kepada nikmat yang tidak terhingga, kurnia Allah SWT.

Marilah pada hari yang baik pemberian daripada Tuhan ini, kita menambahkan lagi hubungan yang akrab di antara satu sama lain, berlandaskan kepada kesedaran Islam dan persaudaraan kemanusiaan, yang pernah ditunjukkan oleh Nabi kita Muhammad SAW, yang merealisasikan Al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadhan melalui pembinaan masyarakat Madani yang tulin di Madinah Al-Munawarrah, di mana kejayaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah satu hakikat yang diakui oleh pengkaji-pengkaji Islam di kalangan orang Islam sendiri dan orang-orang yang bukan Islam yang mengkaji dengan jujur dan adil.

Kewujudan masyararakat Madani hanya menjadi kenyataan dalam sejarah Islam. Sehingga hari ini, ideologi-ideologi dan teori-teori masih gagal dan tidak berpijak di alam kenyataan, mereka terpaksa meminda dari satu masa ke satu masa.

Kejayaan umat Islam, apabila mereka beramal dengan ajaran Islam. Kelemahan yang dihadapi, apabila mereka meninggalkan ajaran Islam, sangat berbeza dengan golongan yang lain, di mana masalah yang dihadapi adalah berpunca dari kelemahan ajaran yang dianuti oleh mereka sendiri.

Marilah bersempena dengan hari raya yang diberkati ini, dalam kita membesarkan Allah SWT, memuji dan memujaNya, kita berasa 'izzah, merasa mulia dan kagum kerana menjadi seorang Islam, menganut agama yag diiktiraf oleh Allah SWT dan menganut agama yang memberi kejayaan kepada kita di dunia dan akhirat.

Pada kesempatan ini juga, marilah kita membina kekuatan peribadi Muslim dengan kesyukuran kepada Allah SWT, apabila kita tidak lalai dan leka di hari kita bergembira.

Di hari-hari yang lain, kita lebih beringat-ingat dan berhati-hati dengan sifat taqwa yang menjadi natijah daripada ibadah puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT :

"… supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa".

Akhirnya saya berdoa kepada Allah SWT supaya sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita semua, meneguhkan keimanan kita, memberi kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan menjadikan hari yang paling bahagia pada kita semua ialah hari pertemuan dengan Allah SWT.

WabiLlahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 27 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com