Oleh : Aman Rais
Kelantangan ahli Majlis Tertinggi, Datuk Shahrir Abdul Samad menuduh Presiden Umno sebagai punca kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Lunas tidak mengejutkan.
Bagi mereka yang mengenali politik parti itu, keberanian Shahrir hanya perkara biasa kerana ketua Umno bahagian Johor Bahru itu sudah dikenali sebagai pengkritik tradisi Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sejak dari dulu lagi.
Mereka menyingkap penglibatan Shahrir sebagai penyokong kuat bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Musa Hitam yang mempunyai sejarah hitam dalam hubungannya dengan Dr. Mahathir.
Sewaktu berketuakan Musa dulu, Shahrir bukan sahaja penyokong kuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu, malah pernah menjadi orang kanan dan pengurus kempen Musa dalam pertandingan melawan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut kerusi Timbalan Presiden Umno.
Malah semasa Musa mengepalai Team B bersama Ku Li menentang Team A yang diketuai oleh Dr Mahathir pada pemilihan Umno tahun 1987, Shahrir merupakan penggerak utama kempen kumpulan penentang.
Bila Musa meninggalkan parti dan kerajaan, Shahrir juga "diturunkan" pangkat - daripada menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi Menteri Kebajikan.
Benih yang baik
Bagaimanapun bak kata pepatah, benih yang baik, tercampak ke manapun akan menjadi pulau, begitulah Sharir. Dia berjaya menghidupkan Kementerian Kebajikan yang sebelum itu dianggap tidak lebih daripada sebuah rumah anak yatim.
Kementerian itu menjadi aktif, banyak perubahan berlaku dan mula dianggap penting. Tempat yang dianggap sebagai "pelupusan sampah " ini tidak mematikan semangat, idealisme dan kelantangan perjuangan beliau.
Itulah Shahrir yang kita kenal. Dia spesis yang menentang arus tetapi lazimnya pemimpin yang begini tidak lama usianya dalam Umno. Siapa lagi daripada spesis yang sebegini sikapnya dalam Umno? Mungkin Shahrir yang terakhir. Jenis lain yang masih ada dalam parti Melayu terbesar itu ialah kaki ampu dan pak turut.
Shahrir bernasib baik, setelah terpinggir daripada saf kepimpinan perdana parti, pada Mei lalu beliau terpilih sebagai ahli MT. Bagaikan mati hidup semula, arus reformasi yang melanda Umno menguntungkan Shahrir.
Kini beliau menjadi pengkritik nombor satu Dr Mahathir. Apa yang belum disuarakannya hanyalah meminta secara terus-terang Presiden Umno, merangkap Perdana Menteri, itu berundur.
Langkah Shahrir mengkritik wira Dunia Ketiga itu mendapat bantahan kuat daripada beberapa pemimpin Umno. Mereka mendakwa Shahrir tidak patut mendedahkan hal-ehwal rumah tangga parti kepada umum.
Shahrir dituduh tidak mengikut saluran yang betul. Khabarnya Shahrir dihentam teruk dalam mesyuarat MT pada 1 Disember lalu. Tindak-tanduk para pemimpin Umno yang mempertahankan Presiden mereka itu telah dijangkakan.
Tidur lena
Bagaimanapun pemimpin Umno yang menggunakan kesempatan ini untuk menghentam Shahrir sepatutnya berasa malu kerana Dr Mahathir sendiri mengakui salah satu sebab kekalahan di Lunas berpunca daripadanya. Empunya badan tidak marah, tetapi orang lain yang melenting? Mahu membodek, agaknya!
Apa yang disuarakan oleh Shahrir dikongsi majoriti rakyat dan ahli Umno. Malangnya rakyat dan ahli biasa tidak punya saluran untuk bersuara. Media arus perdana tidak mahu mengumpulkan pendapat mereka kerana pada pandangan pengamal-pengamal media berkenaan, orang bawahan tidak penting, oleh itu suara mereka tidak perlu didengar.
Apatah lagi kalau pendapat itu menghentam pemimpin nombor satu negara ini, pastinya ia akan dihumbankan ke bakul sampah.
Oleh itu Shahrir mengambil alih peranan itu. Sebagai ahli MT, pendapat dan pendiriannya dihormati dan didengari. Beliau bijak memilih media yang berani menyiarkan pendapat kontroversinya.
Shahrir menyampaikan suara akar umbi untuk didengari oleh semua ahli Umno, bukan eksklusif untuk Presiden dan ahli MT sahaja. Oleh itu memang wajar beliau menyuarakannya melalui media.
Sebelum ini sudah banyak hal-ehwal rumah tangga Umno didedahkan kepada umum. Daripada skandal seks, politik wang, gejala cantas-mencantas dan pelbagai lagi didedahkan kepada umum, mengapa pula pandangan peribadi yang menghentam Presiden parti hendak dirahsiakan?
Sudah tiba masanya bagi para pemimpin Umno berubah sikap.
Bebaskanlah minda anda daripada kongkongan. Mengkritik ketua tidak bermakna seseorang itu membenci ketuanya. Orang yang sayangkan ketua dan parti lazimnya akan bersikap telus dan berterus-terang untuk membetulkan kelemahan atau kesilapan rakan atau ketuanya.
Shahrir tentu dapat tidur lena kerana telah menjalankan tanggungjawabnya terhadap Umno dan ahli-ahlinya.