Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


UMNO HILANG SOKONGAN

UMNO HILANG SOKONGAN
Jika Terus Pinggirkan Melayu

Pemilihan pucuk pimpinan Umno baru saja berlalu. Dalam pemilihan tersebut telah berlaku perubahan yang agak drastik dan mengejutkan ramai pemerhati politik apalagi aktivisnya. Perubahan itu sebenarnya melambangkan citarasa anggota Umno di peringkat akar umbi. Perubahan ini juga membuktikan bahawa perwakilan Umno kini sudah tidak terpengaruh dengan jawatan yang dilantik oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

Kalau dulu sesiapa saja yang dilantik oleh Perdana Menteri memegang jawatan sebagai Menteri, Menteri Besar, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen tidak mempunyai masalah untuk menempatkan diri sebagai anggota MT Umno. Jika budaya ini diteruskan nescaya 26 calon yang berjawatan dan telah menawarkan diri bertanding hampir pasti tidak menghadapi sebarang masalah untuk menang. Tapi dalam pemilihan kali ini budaya politik Umno telah mula berubah, para perwakilan tidak lagi mengesahkan perlantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

Apa maknanya semua itu? Adakah para perwakilan tidak lagi menghormati pemilihan Presidennya? Senario pemilihan kali ini membuktikan para perwakilan Umno tidak lagi akur membabi-buta terhadap pemilihan Presiden Umno walaupun mulut mereka tidak berani menyatakan protes. Besar kemungkinan para perwakilan Umno beranggapan, kalau Presiden Umno boleh bertindak sesuka hati memilih calon pilihan raya, calon Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri tanpa mengambil kita kedudukan dalam parti yang dipilih oleh anggota parti di peringkat akar umbi.

Kini tiba pula giliran perwakilan tidak mengesahkan perlantikan yang dibuat oleh Presiden parti dan bertindak memilih anggota MT Umno mengikut citarasa mereka. Sebagai contoh beberapa orang anggota MT Umno seperti Dr Affifudin Omar yang dipilih oleh para perwakilan telah disisihkan sebagai calon pilihan raya.

Dan diyakinkan terdapat juga Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua Bahagian tersisih daripada senarai calon pilihan raya. Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah menggunakan kuasanya dalam memilih calon. Misalnya di Parlimen Sungai Petani Ketua Bahagian Umno tersebut telah tersisih begitu saja dan Perdana Menteri telah meletak Datuk Mahathir Md Khir.

Begitu juga dalam perlantikan anggota kabinet, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri Besar serta anggota EXCO Kerajaan Negeri, Perdana Menteri telah menggunakan kuasanya untuk membuat perlantikan tanpa mengambil kira pemilihan anggota Umno di peringkat akar umbi serta rakyat. Lihat bagaimana Perdana Menteri telah melantik Dr Abdul Hamid Othman sebagai Menteri Kabinet walaupun dengan jelas beliau telah ditolak oleh rakyat.

Lihat bagaimana Perdana Menteri telah melantik Musa Mohamad dan Aziz Shamsudin sebagai anggota kabinet, sedangkan mereka ini tidak payah bertanding dan berkempen dalam pilihan raya. Tegasnya tindakan Perdana Menteri ini jelas telah menolak pemilihan rakyat serta pemilihan anggota Umno di peringkat akar umbi.

Berdasarkan hakikat ini para perwakilan Umno juga telah bertindak menolak sebahagian besar 26 calon yang berjawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri. Mereka hanya memilih 15 daripada 26 calon tersebut dan baki 10 lagi tempat dalam MT Umno mereka telah memilih calon yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Dan calon yang menjawat jawatan kerajaan yang mengalami kekalahan yang cukup memalukan ialah Shahidan Kasim, Menteri Besar Perlis hanya menduduki tempat ke-38 daripada 63 orang calon dengan undian sebanyak 665 undi.

Mungkin beliau telah berjaya mencatat rekod tersendiri, satu-satunya calon yang bergelar YAB tumpas dalam pemilihan parti. Para perwakilan kali ini telah membuat keputusan yang berani dan lari daripada budaya perwakilan Umno sebelum ini hanya melantik mereka yang berjawatan dalam kerajaan sebagai anggota MT Umno. Dalam pemilihan yang lepas 10 calon MT Umno yang menang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan malah kejayaan besar Ahmad Zahid Hamidi menduduki tempat ke-4 dengan memperolehi undi sebanyak 1,370 amat memeranjatkan.

Begitu juga kemenangan Muhamad Muhd Taib untuk kerusi Naib Presiden Umno dengan menduduki tempat kelima dengan undian sebanyak 859 undi juga mengejutkan ramai pemerhati dan aktivis politik. Beliau tidak menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan hatta tidak menjadi wakil rakyat. Beliau juga tidak memegang sebarang jawatan politik baik di peringkat bahagian apalagi negeri kecuali menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno yang baru beberapa minggu sebelum bahagian mengadakan mesyuarat agung.

Apa maknanya perubahan yang tidak pernah diduga ini berlaku? Arus perubahan kelihatan begitu kuat dan tak mungkin dapat dihalang oleh Presiden Umno sendiri jika berlaku pertandingan untuk semua jawatan tertinggi dalam Umno. Dan keputusan yang menghalang kedua-dua jawatan tertinggi parti daripada ditandingi hanya dibuat oleh 45 orang anggota MT Umno. Jika tidak sudah tentu lebih 2 juta anggota Umno di peringkat akar umbi akan bergerak melakukan perubahan yang lebih drastik untuk semua jawatan dalam Umno.

Pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini jelas memberikan signal kepada Presiden Umno bahawa anggota Umno di peringkat akar umbi sebenarnya mahukan perubahan yang total bagi memulihkan imej dan kredibiliti Umno yang telah banyak tercemar berikutan pemecatan Anwar Ibrahim. Malah Presiden Umno sendiri seolah-olah masih dibayangi dengan peristiwa pemecatan. Ini terbukti apabila Presiden Umno masih tetap memperkatakan isu tersebut dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno yang lalu, biarpun telah berlalu hampir 1 tahun 8 bulan.

Mengapa Presiden Umno masih terus membangkitkan isu yang telah lama berlalu hasil daripada tindakan tangan beliau sendiri? Adakah beliau masih merasakan bahawa rata-rata masyarakat di bawah malah sebahagian besar anggota Umno diperingkat akar umbi masih tidak mempercayai segala dakwaan yang dibuat terhadap Anwar? Dan mungkin juga beliau merasa bersalah dan cuba menutup kelemahan diri dan parti akibat daripada tindakan itu? Mungkin juga persoalan ini ditimbulkan bagi mengalihkan perhatian jurucakap Umno negeri agar tidak membicarakan kelemahan dan kemerosotan parti dalam pilihan raya umum yang lalu.

Beliau bimbang tindakan yang beliau mengkritik hebat Tunku Abdul Rahman akibat kemerosotan teruk Perikatan/ Umno dalam pilihan raya umum tahun 1969. Beliau bimbang jika perkara ini dibiarkan berlaku besar kemungkinan beliau juga terpaksa melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri seperti apa yang berlaku terhadap Tunku Abdul Rahman. Inilah kebijaksanaan Mahathir yang begitu pintar mengalihkan pandangan orang ramai khususnya anggota Umno daripada memperkatakan kelemahan pentadbirannya.

Akhir-akhir ini timbul pula persoalan mengapa majoriti orang Melayu tidak lagi memberikan sokongan yang padu terhadap BN/Umno? Pelbagai andaian dan telahan telah dibuat oleh pelbagai pihak hatta Presiden Umno itu sendiri. Rata-rata pemimpin Umno seolah-olah telah mengikut telunjuk Presiden Umno yang cuba menyalahkan parti pembangkang yang dikatakan memutarkan fakta, menggunakan agama dan menyebarkan fitnah. Tapi hakikatnya para pemimpin tertinggi Umno sebenar telah mula lupa diri, lupa asas perjuangan asal Umno dan bertindak membelakangkan kepentingan bangsa dan agama. Perkara ini dapat dilihat oleh rakyat kebanyakan malah menjadi buah mulut para penceramah PAS terutama sekali ayam sabung PAS, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu pernah berkata, Umno di zaman Tun Razak memberi biasiswa dan tanah kepada orang Melayu sementara Umno pada zaman Mahathir menarik balik biasiswa dan merampas tanah daripada orang Melayu atas nama pembangunan. Apa yang diperkatakan oleh pemimpin PAS ini ada kebenarannya dan sekiranya para pemimpin Umno hendak mendapat sokongan orang Melayu harus memperbetulkan keadaan ini.

Umno tidak perlu mencari salah orang sebaliknya perlu bermuhasabah diri dan memperbetulkan landasan perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanahair. Umno akhir-akhir ini dilihat banyak mengutamakan golongan korporat sehinggakan soal asas kehidupan seperti bekalan elektrik, air, hospital dan universiti hendak dan telah diserahkan kepada pihak swasta untuk diurus.

Penswastaan keperluan asas ini tidak perlu dibuat kerana dikhuatiri pihak yang terbabit tidak akan mementingkan soal kebajikan rakyat malah yang difikirkan hanya soal keuntungan. Jika ini dibiarkan berlaku bermakna rakyat khususnya orang Melayu yang rata-ratanya berada di tahap kemiskinan akan menghadapi masalah mendapatkan keperluan tersebut. Nampaknya rata-rata pemimpin Umno tidak memikirkan soal ini, keadaan ini amat mengecewakan ramai orang Melayu. Dan sekiranya orang Melayu merasa kecewa dan masa depan mereka tidak terjamin di bawah pemerintahan Umno/BN maka sudah tentu orang Melayu mencari alternatif lain untuk membela nasib dan masa depan mereka.

Orang Melayu juga masih berpegang kuat dan amat sensitif jika ada orang mempertikaikan soal agama. Bagi orang Melayu soal agama tidak boleh dipermainkan. Dan soal agama juga bukan boleh mengikut logikal akal. Orang Melayu telah dididik dan diasuh untuk mempertahankan agama dan mereka cukup arif akan soal haram, halal dan Sunnah nabi. Walaupun seseorang itu begitu jahil dalam agama tetapi apabila terdapat orang mempertikaikan soal agama yang dianutinya dia sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan agama.

Dan akhir-akhir ini juga masyarakat Melayu begitu bimbang akan gejala murtad yang begitu berleluasa tanpa sebarang kawalan daripada pihak pemerintah. Mereka begitu bimbang takut-takut gejala terus bermaharajalela yang boleh mengakibatkan lebih ramai lagi orang Melayu yang akan murtad. Dan jika dibiarkan ini terus berlaku diyakini bahawa suatu hari nanti orang Melayu di negara ini tidak semestinya Islam seperti apa yang berlaku di Indonesia.

Kenapakah kerajaan langsung tidak bertindak untuk mengatasi masalah yang menimbulkan keresahan orang Melayu? Dan orang Melayu juga begitu sensitif akan soal keadilan, kebenaran dan fitnah. Mereka akan mudah simpati kepada sesiapa juga yang menghadapi masalah ini bukan sahaja Anwar malah sesiapa juga pasti dapat meraih simpati.

Ini adalah sebahagian sifat orang Melayu yang begitu kuat berpegang kepada anjuran agama. Nampaknya akhir-akhir ini prinsip keadilan dan kebenaran seolah-olah telah hancur di tangan BN/ Umno. Di negara ini seolah-olah terdapat dua perundangan, satu undang-undang untuk pemimpin Umno tertinggi yang disukai dan satu lagi undang-undang untuk rakyat biasa dan juga para pemimpin Umno yang tidak disukai.

Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas apabila terdapat laporan polis yang mengatakan anak Tok Guru Nik Aziz telah memukul anak muridnya hingga berdarah maka pihak polis begitu pantas bertindak menangkap dan menggari anak Tok Guru Nik Aziz untuk dibawa ke balai bagi mengambil keterangan dan menahan untuk siasatan. Tapi apabila dua orang kakitangan KLIA membuat laporan polis terhadap bekas seorang Menteri Besar yang didakwa memukul mereka ketika mereka sedang menjalankan tugas tidak ada apa-apa tindakan drastik yag dibuat malah sehingga rencana ini ditulis tidak ada apa-apa tindakan yang dibuat oleh pihak polis.

Nampaknya para pemimpin Umno hari ini beranggapan seolah-olah pemikiran rakyat negara ini masih lagi seperti di tahun-tahun 1960 dan 1970-an, sedangkan rakyat di era ledakan informasi adalah lebih cerdik dan pintar hasil daripada dasar pendidikan negara. Tegasnya para pemimpin Umno sendiri seolah-olah cuba menafikan kejayaan mereka memberikan pendidikan sehingga rakyat negara ini begitu cerdik dan pintar berfikir, dan mereka masih beranggapan pemikiran rakyat masih lemah.

Sekiranya Umno ingin mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, Umno perlu membetulkan kembali landasan perjuangan yang kini telah jauh terpesong daripada prinsip asal perjuangan. Dan apa juga tindakan yang dibuat harus dirujuk terhadap soal prinsip asas perjuangan, adakah perkara yang akan dilaksanakan ini memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Dan sebelum membetulkan landasan perjuangan yang telah jauh terpesong, para pemimpin Umno yang bertanggungjawab memesongkan landasan perjuangan ini perlu mengundurkan diri secara terhormat kerana rakyat khususnya orang Melayu sudah hilang keyakinan kepada mereka. Jika tidak jangan salahkan orang Melayu terutama sekali generasi muda akan terus meminggirkan diri daripada Umno dan memberikan sokongan kepada alternatif Umno iaitu PAS atau KeADILan

Oleh : Arzaman Sulaiman

.......................................................................
Petikan Majalah Editor oleh Suria Janid


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com