Saudara Pengarang,
PADA 22 November lalu, Dewan Cancelor Tun Razak UKM (Dectar) bergema dengan laungan Allahu Akhbar.
Bukan pada malam itu sahaja, seminggu sebelum itu pun laungan itu telah bergema.
Tetapi sayangnya ia bukan dimanifestasikan untuk meraikan kejayaan pelajar mendapat gred pertama dalam hadiah pendidikan, tetapi kerana meraikan kejayaan golongan pelajar yang digelar Islam Penyelamat Ummah (IPU) menguasai Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM).
Kini bukan sahaja di UKM, golongan yang sinonim dengan parti pembangkang ini telah menguasai UM dan UPM.
Senario ini turut melanda UUM yang dahulunya dikuasai oleh pemimpin yang prokerajaan, kini jelas dan nyata Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dikuasai oleh golongan pelajar yang mirip pembangkang.
Kita turut merasa pelik adakah Timbalan Naib Canselor (TNC) dan dekan-dekan dan Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) tidak menyedari atau sengaja melelapkan mata melihat perkara tersebut?
Tentu pelik, dalam saat pentadbiran UKM menekankan supaya jangan wujud pertandingan berkumpulan, pelajar-pelajar yang taksub ini membuat provokasi yang keterlaluan, menggantungkan sepanduk dan bendera yang jelas tertera nama parti salah satu kumpulan yang bertanding.
Bahkan, pada satu ketika, mahasiswi golongan ini begitu berani mendekati kelompok pelajar yang prokerajaan yang menggelarkan diri mereka Tindakan Siswa Bersatu (TSB) dan mengibarkan bendera mereka sehingga hampir-hampir mencetuskan pergaduhan. Syukurlah pihak keselamatan begitu cepat bertindak.
Berbalik kepada soal pilihan raya yang baru berlalu itu, kita berasa cukup takut kerana golongan IPU ini telah memenangi kesemua 57 kerusi MPP yang dipertandingkan.
Meskipun jumlah pelajar yang keluar mengundi hanya kira-kira 55 peratus sahaja, ia menunjukkan satu fenomena yang menggerunkan jika sesuatu tidak diambil kira oleh kerajaan.
Lebih malang lagi pelajar-pelajar yang menjadi ROTU (Royal Officer Training Unit) secara terang-terang menyokong puak ini. Golongan yang bakal menjadi Pegawai Muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini begitu berani memakai pakaian celoreng dan seragam askar semasa di Dectar.
Saya percaya gejala tidak sihat ini bukan hanya berlaku di UKM, malahan di IPTA lain juga.
Saya memberi pandangan ini kerana UKM yang dilahirkan dari semangat kebangsaan orang-orang Melayu yang mahukan ada universiti sendiri yang mendaulatkan bahasa kebangsaan/Melayu, akhirnya diisi oleh pelajar-pelajar yang pro-pembangkang. Di manakah silapnya pentadbiran UKM hari ini?
Saya sendiri selaku bekas pelajar UKM, berasa begitu cukup terhina dan meluat dengan gelagat golongan pelajar yang berimej sedemikan.
Saya percaya mahasiswa ini telah tidak dapat berfikiran secara waras seperti yang dikehendaki oleh ajaran Islam sebenar. Adakah anak-anak Melayu kita telah lupa dengan sejarah penubuhan UKM?
Saya juga turut terharu kerana masih ada lagi pelajar yang menyokong kerajaan di UKM. Tetapi cukup malang, mereka gagal menarik jumlah undi yang menyakinkan untuk membolehkan mereka membentuk Kerajaan PMUKM. Lebih malang lagi pentadbiran UKM gagal mengerah para pelajar keluar mengundi. Daripada kira-kira 16,900 orang pelajar, hanya kira-kira 9,000 pelajar sahaja keluar mengundi. Adakah pelajar terlalu sibuk sehingga lupa tangung jawab mereka memilih wakil untuk mewakili mereka?
Kini hanya UiTM sahajalah yang berjaya membentuk pemimpin pelajar yang mendukung kerajaan. Kita harus memberikan tahniah kerana UiTM masih mampu mempertahankan institusi mereka daripada dikuasai oleh pembangkang.
Oleh itu Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan harus membuat pendedahan menyeluruh terhadap semua IPTA, dari Naib Canselor, Timbalan Naib-Naib Canselor, pegawai-pegawai terutamanya HEP sehinggalah pengetua asrama dan fellow-fellow.
Pastikan mereka di IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) mendukung dasar kerajaan atau diberhentikan. - BEKAS MPP, UKM, Bangi.