Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Membangun menurut Islam

Oleh Engku Ahmad Zaki

Islam merupakan anugerah nikmat tiada ternilai yang dikurniakan Allah kepada umat manusia. Islam diutus Allah melalui pesuruh-Nya baginda Rasulullah s.a.w. untuk menyelamatkan warga alam ini dari terjelumus ke kancah kesesatan dan sebagai gantinya Islam mengambil tempat untuk menaungi alam semesta. Yang paling pentingnya, Islam diiktiraf Allah Taala sebagai ad-Din yang diredhai-Nya sebagaimana firman Allah dalam surah Al’Imran, ayat 19 yang bermaksud: Sesungguhnya ad Din (yang benar dan diredhai) di sisi Allah Taala ialah Islam. Kebangkitan Rasulullah s.a.w. membawa sama agenda perutusan Islam adalah sebagai rahmat kepada sekalian alam sebagaimana termaktub firman Allah talaa yang bermaksud :

"Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat."Pada mulanya, Islam datang ke alam semesta ini dalam keadaan tidak dikenali atau dalam keadaan dagang di mana Islam dipulau,dihina dan ditentang hebat oleh orang-orang kafir musyrikin. Situasi inilah yang telah dihadapi oleh baginda Rasulullah s.a.w. pada detik-detik permulaan menyebarkan dakwah silam kepada masyarakat Arab ketika itu Oleh sebab itulah, baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bermaksud: Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang,maka beruntunglah dan berbahagialah golongan ghuraba’ iaitu pedagang-pedagang.

Para sahabat r.a. bertanya : "Wahai Rasulullah! Siapakah itu golongan pedagang tersebut?". Lantas baginda s.a.w. menjawab : "Mereka itulah golongan manusia yang melakukan islah atau reformasi di saat berleluasanya kerosakan, kezaliman dan penindasan di kalangan manusia." (Riwayat Muslim). Setelah Islam bertapak kukuh di bumi Madinah, Islam telah diangkat sebagai teras yang mendasari segala aspek kehidupan ummah. Ini bermakna bahawa Islam telah dipraktikan secara menyeluruh oleh generasi baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. selepasnya sehingga mereka muncul sebagai generasi contoh dan mithali kepada umat-umat terkemudian.

Pengiktirafan mereka sebagai umat contoh dan terbaik yang dilahirkan Islam telah diperakui sendiri oleh Allah Taala melalui firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhamad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Bertitik tolak dari sini, generasi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. telah mengorak langkah melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi yang terbentang luas ini hingga mampu menumpaskan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu empayar Rom dan Parsi. Akhirnya, empayar Islam mengambil tempat gah dipersada dunia memantulkan nilai-nilai Islam ke seluruh warga alam semesta. Ringkasnya,kedatangan Islam ke alam ini telah memberikan kerahmatan,kemuliaan dan kesejahteran kepada umat Islam sehingga mereka dikurniakan Allah memegang tampuk pemerintahan dunia pada satu ketika dahulu.

Perlu ditegaskan bahawa kesemuanya ini adalah janji dan jaminan Allah kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya sebagaimana firman-Nya yang termaktub dalam surah An Nur, ayat 55-56 yang bermaksud:"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhamad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan(dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Dan dirikanlah kamu akan solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat."

Mafhum daripada ayat suci tersebut jelas menegaskan bahawa apa yang dijanjikan Allah telah berlaku dan pasti akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai contohnya, umat Islam terutamanya di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda s.a.w. yang pada mulanya kecil bilangannya,ditindas dan diancam oleh musuh-musuh Islam telah berjaya mencapai kuasa pemerintahan, menghancurkan musuh-musuh yang menceroboh dan mengembangkan Islam di merata-rata dunia.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian dalam hal ini ialah usaha umat Islam untuk menuju ke arah kemuncak kejayaan itu bukan lah satu perkara yang mudah dicapai atau yang boleh dipandang enteng. Sebaliknya ianya mempunyai syarat-syarat tertentu yang sewajibnya dipenuhi terlebih dahulu sejajar dengan apa yang telah digariskan Allah dalam ayat 55 dan 56, surah An Nur tersebut. Syarat-syarat tersebut adalah antara formula dan rahsia yang telah menonjolkan generasi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. sebagai generasi terbaik dan contoh kepada warga alam sejagat.

Antara formula tersebut ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar iman yang tidak terselit sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungan seorang muslim dengan Allah. Dalam masa yang sama, setiap muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Begitu juga, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah mengatasi segala-galanya daripada kecintaan kepada dunia, anak isteri, harta, pangkat, kedudukan dan sebagainya. Justeru, apabila ada kesepaduan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, natijahnya seorang muslim akan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman di dalam sudut hatinya.

Seterusnya, konsep ibadat dalam Islam sewajarnya dihayati dan diterjemahkan secara keseluruhannya di alam realiti kehidupan semasa. Ini amat penting kerana ibadat membawa maksud ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus terhadap apa yang diperintah Allah sama ada dalam bab ibadat, muamalat, jenayah, politik, kemasyarakatan, kekeluargaan dan lain-lain lagi sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah dalam Surah An An’am ayat 162-163 Yang bermaksud:

"Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan demikian sahaja aku diperintahkan akan aku (antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)."

Ringkasnya, seluruh detik kehidupan yang dilalui oleh setiap insan merupakan satu bentuk ibadat atau pengabdian diri kepada Allah. Selain daripada itu, semangat jihad dan gagasan amar makruf, nahi mungkar wajib dijulang sebagai agenda masyarakat Islam dalam usaha untuk memartabatkan kembali Islam sebagai teras utama yang mendasari setiap aspek kehidupan manusia sejagat.

Umat Islam selama ini terpinggir jauh dari landasan Islam yang sebenarnya.Oleh sebab itulah, umat Islam kini begitu sinonim dilabelkan sebagai umat mundur, berpecah belah, jahil dan lain-lain lagi jolokan yang mencalar maruah dan imej Islam. Ditambah lagi, umat Islam dewasa ini begitu tohor tahap keimanan kepada Allah, jahil terhadap penghayatan Islam yang sebenarnya di samping penampilan akhlak mereka pula mencacatkan pandangan.

Inilah antara senario terkini yang telah menghimpit umat Islam sekian lamanya semenjak kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Apa yang berlaku kini, umat Islam begitu asyik menayangkan dan memandang kembali nostalgia silam yang gemilang tanpa mengambil iktibar terhadap yang telah berlaku satu ketika dulu. Sepatutnya, apa yang telah berlaku dijadikan sebagai bahan pengajaran dan peringatan kepada umat Islam kini sebagaimana bak kata orang-orang tua-tua." yang baik dijadikan teladan dan buruk dijadikan sempadan."

Ditambah lagi, sistem-sistem atau ideologi barat kini seperti sosialisme, kapitalisme, komunisme, sekularisme dan sebagainya telah gagal dalam menangani dan menyediakan penawar bagi setiap krisis dan kemelut yang dibangkit dalam kehidupan mereka. Akibatnya, mereka terus berdepan dengan krisis dan kemelut yang meruncing tanpa menemui titik nokhtah penghujungnya.

Justeru, Islam sewajibnya diletakkan ditempatnya yang sewajarnya sebagai teras yang menunjangi setiap lapangan hidup manusia. Ini adalah kerana tidak ada satu masalah pun di dalam kehidupan ini melainkan Islam mempunyai penawarnya dan jalan penyelesaiannya yang ampuh. Di sini terletaknya ciri-ciri keunikan dan keistimewaan yang menghiasi Islam hingga diiktiraf sebagaimana Ad-din yang paling sempurna dan lengkap dengan sistem atau cara hidupnya yang menyeluruh.

Oleh yang demikian, Islam yang bersumberkan kepada Al Quran dan Al Sunnah bukan lagi sekadar relevan untuk masa kini, bahkan sewajibnya dikembalikan kedudukannya yang asal sebagai tonggak sumber perundangan dan cara hidup sejagat. Islam sewajibnya dihayati secara menyeluruh, bukannya diambil sebahagiannya dan ditolak sebahagian yang lain kerana turutkan kehendak nafsu yang menyeleweng.

Allah Taala telah menegaskan dalam surah Al Baqarah, ayat 208 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ad-Din Islam (dengan mematuhi) segala hukum hakamnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu yang terang nyata."

Maka sudah menjadi tanggungjawab bagi setiap individu muslim terutama kepada pemimpin dan rakyat jelata yang berjuang menegakkan syariat Allah di muka bumi Allah ini. Dalam masa yang sama, agenda pembangunan insan yang menjurus kepada pemantapan aqidah, pengisian pelbagai disiplin ilmu, ketrampilan akhlak terpuji dan penghayatan konsep ibadat dalam Islam seharusnya dirancakkan bagi melengkapkan cita-cita mendaulatkan Islam.

Akhirnya, umat Islam sewajarnya berpegang teguh dengan Islam dan jangan menyimpang dari landasan yang benar kerana baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya tidak akan sesat buat selama-lamanya:iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul -Nya." (Riwayat Abu Daud)

..................................................
Petikan Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 23 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com