Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Namakan pintu gerbang tol dengan nama MB lama

Saudara Pengarang,

Saya ucap syabas kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak meroboh plaza tol di Jambatan Sultan Mahmud dan sebaliknya mengubah suai menjadi sebuah pintu gerbang seperti yang saya syorkan di ruangan ini dalam keluaran sulung WARTA bulan Jun lalu. Pintu gerbang ini menjadi satu mercu tanda mengalukan kedatangan tetamu dari Kelantan dan dari luar yang datang ke Kuala Terengganu dengan penerbangan. Ia tentunya mengindahkan lagi ibu negeri Terengganu.

Walaupun kerja mengubah suai plaza tol itu memakan belanja dari cukai rakyat, tetapi kerja merobohkannya juga akan memerlukan perbelanjaan, bahkan kita tidak melihat apa-apa dari wang yang dikeluarkan. Sebaliknya dengan belanja menjadikannya pintu gerbang, rakyat dapat melihat hasilnya. Lagi pun bila ia jadi pintu gerbang, maka boleh digunakan setiap kali ada kegiatan. Tidak perlu membina pintu gerbang baru. Malah jika satu masa nanti ada Kerajaan hendak mengadakan sistem tol semula, maka Kerajaan tidak payah membina plaza tol baru.

Cuma saya suka mengesyorkan supaya pintu gerbang itu diberi nama. Saya cadangkan supaya ia dinamakan sempena Menteri Besar yang lalu kerana khidmatnya sebagai Menteri Besar paling lama di negara ini sejak merdeka dan di zamannya minyak ditemui di Terengganu. Syor ini bukan untuk menidakkan prestasi pentadbiran atau untuk mengempen kerajaan lama berkuasa semula, membuang yang keruh mengambil yang jernih sebagai kaedah merapatkan perpaduan rakyat. – Pengguna Jambatan, Kuala Terengganu.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 23 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com