Oleh TAJUL ARIFIN ABD KADIR
Jalanraya yang sesak, sempit serta kurang selesa dijadikan alasan para saudagar tidak melabur di Terengganu. Pada awalnya, terdapat ura-ura Kerajaan Pusat untuk membina lebuhraya dari Chendering ke Pahang, malahan upacara pecah tanah telahpun dilakukan oleh Perdana Menteri pada tahun 1999, yakni sebelum pilihanraya. Apabila Kerajaan Negeri Terengganu bertukar tangan, maka banyak tanda-tanda untuk Kerajaan Pusat melambatkan projek tersebut. Dibimbangi ia ditangguhkan.
Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat Terengganu melalui sistem demokrasi, Kerajaan Terengganu telah mengambil inisiatif sendiri untuk membina sebatang lebuhraya memandangkan ianya sangat diperlukan demi kepentingan rakyat, pengguna jalanraya serta pelabur-pelabur yang ingin melabur di negara ini disamping curahan pelancong yang semakin meningkat dari hari ke hari.
Beberapa syarikat yang telah menunjukkan minat serta persetujuan untuk membina lebuhraya tersebut dengan pembiayaan mereka sendiri. Cadangan tersebut telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan kajian terperinci sedang dijalankan dan dijangka siap sedikit masa lagi.
Lebuhraya yang akan dibina oleh syarikat swasta ini nanti akan menghubungkan tiga buah negeri yang bersempadanan iaitu Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia akan bermula dari Hulu Jabor- Air Puteh -Kuala Jengai-Hulu Berang-Kuala Berang-Hulu Telemong-Tasik Kenyir (sebelah Timur & Utara)-Hulu Besut -Pasir Akar dan Air Lanas di Daerah Pasir Puteh, Kelantan. Lebuhraya sepanjang lebih kurang 240 kilometer ini dijangka akan memakan belanja sebanyak lebih kurang RM1.8 bilion melibatkan sembilan persimpangan.
Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah memberi amaran agar lebuhraya yang akan dibina ini tidak disambung atau merentangi jalanraya Persekutuan yang sedia ada, jika berlaku maka laluan menggunakan jambatan (jalan bertingkat) terpaksa dibina di atas jalanraya persekutuan itu nanti. Lebuhraya ini juga tidak melibatkan laluan asal yang dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Sekiranya Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk meneruskan cadangan mereka untuk membina lebuhraya dari Kuantan hinggalah ke Chendering, Kuala Terengganu, Kerajaan Negeri tidak ada kena mengena dengan projek itu. Dan hasrat Kerajaan Negeri akan tetap diteruskan jika cocok dan terpulanglah kepada pengguna jalanraya nanti untuk memilih jalan alternatif sendiri. Memandangkan lebuhraya Kerajaan Negeri ini akan dibiayai oleh pihak swasta, maka tol akan tetap dikenakan, tetapi jumlahnya dijangka agak murah dari yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Syarikat swasta yang akan membina lebuhraya ini juga telah bersetuju untuk menanggung segala kos pengambilan tanah milik, namun begitu adalah dijangkakan ianya agak kecil bilangannya kerana hampir 90 peratus darinya adalah melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri.
Apabila lebuhraya ini menjadi kenyataan nanti, maka sudah tentulah banyak tanah-tanah baru akan dibuka untuk diteroka oleh rakyat, terutamanya di kawasan Tasik Kenyir, yang mana sebuah bandar baru boleh dibuka, gerai makanan serta buah-buahan di sepanjang lebuhraya iu nanti, dan ini akan membolehkan rakyat di kawasan tersebut meningkatkan ekonomi masing-masing.
Tasik Kenyir akan menjadi tumpuan utama bagi pelancong-pelancong sama ada dari dalam atau luar negara dan ini sudah pasti akan memberi durian runtuh kepada rakyat Negeri Terengganu khususnya bagi penduduk di sekitar kawasan berkenaan. Agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti FELCRA atau RISDA boleh memainkan peranan penting dalam urusan membuka tanah baru untuk rakyat Terengganu.
Lebuhraya ini nanti diharapkan akan membuka pintu kepada pelabur-pelabur asing untuk datang melabur ke Negeri Terengganu dan Kelantan. Rakyat amat memahami bahawa setiap pelabur yang hendak datang perlu mendapat kebenaran dari Kerajaan Pusat terlebih dahulu. Inilah fenomena yang dialami oleh Negeri Terengganu dan Kelantan. Sebelum ini telah banyak sungutan dari pelabur-pelabur yang ingin melabur di Negeri Kelantan tetapi tidak digalakkan oleh pihak tertentu kecuali pelabur-pelabur kecil ataupun yang sedia ada. Keadaan ini dijangka akan dihadapi oleh Kerajaan Terengganu dan dijangka akan berterusan.
Apabila siapnya lebuhraya ini nanti, pihak Kerajaan Pusat diharap tidak akan membuat pelbagai helah atau alasan lagi untuk tidak membenarkan pelabur asing masuk ke Negeri Terengganu dan Kelantan. Apabila lebuhraya ini beroperasi kelak, sudah tentulah di sepanjang laluan tersebut akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri. Rakyat di sekitar laluan tersebut akan berpeluang membuat apa-apa saja aktiviti yang bersesuaian untuk meningkatkan ekonomi mereka. Dan tidak mustahil, akan terdapat kilang-kilang baru dibina di kawasan-kawasan tertentu di sepanjang laluan ini dan yang pastinya anak-anak watan akan dipanggil untuk mengisi segala kekosongan kerja di dalam kilang itu nanti.
Pekerja-pekerja di kawasan KETENGAH yang sering berulang-alik setiap hari dari Kuala Terengganu akan merasa lebih selesa dan selamat. Sepatutnya lebuhraya Pantai Timur ini terutamanya yang melibatkan Negeri Terengganu yang diberi jolokan "Kuwait Malaysia" dibina lebih awal atau serentak dengan lebuhraya lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia ini.