Oleh TAJUL ARIFIN ABDUL KADIR
Mendidik akal bukan hanya bererti menjadikan seseorang itu cerdik semata-mata tetapi ia juga berkait dengan bagaimana membentuk akal supaya berfikir ke arah kebaikan. Akal yang terdidik tidak semestinya cerdik. Yang penting akal itu sudah baik. Tidak lagi berfikir untuk melakukan kejahatan. Namun, jika dapat digabungkan kecerdikan dan kebaikan, maka itulah yang terbaik. Sebelum kita mendidik akal, terlebih dahulu kita mesti mengenalinya. Hakikat akal bukanlah otak yang ada di kepala seperti yang dikaji dalam ilmu biologi. Yakni bukan otak yang boleh dibedah dan dinamakan bahagian-bahagiannya dengan istilah-istilah sains. Itu hanya otak yang lahiriah. Tetapi yang mesti dikenal ialah akal maknawi (akal hakiki) yang sangat besar peranannya dalam kehidupan. Peranan akal terbahagi kepada tiga iaitu pertama: mengkaji, menyelidik, menerima maklumat atau ilmu; kedua: setelah diterima barulah maklumat itu dikumpul, diingat dan disimpan. Pada tahap ini akal berfungsi sebagai khazanah.
Akal
Hasil penyelidikan dikumpul sebagai harta. Tetapi akal tidak terasa berat kerana ilmu bukan bersifat benda. Ketiga: mengeluarkan ilmu atau maklumat melalui komunikasi rasmi atau tidak. Pada ketika itu ilmu meluncur keluar dari tempat simpanannya (akal). Perlu diingat, ketepatan akal tidak terjamin seratus-peratus. Hasil kajian, pengumpulan dan pengeluaran akal tidak semestinya betul semuanya. Ia mungkin tepat, separuh tepat atau palsu walaupun telah dirasakan tepat oleh akal. Umpamanya, bukan semua barang yang disimpan dalam khazanah terdiri daripada barang-barang berguna. Ada yang disangka intan lalu disimpan tetapi hakikatnya hanya kaca atau batu. Justeru itu banyak perkara disangka ilmu oleh akal tetapi hakikatnya bukan ilmu. Teori Evolusi rekaan Darwin misalnya, bukanlah ilmu kerana ia tidak menepati hakikat sebenar. Mustahil manusia berasal daripada beruk. Malah ada saintis sendiri yang menyangkalnya.
Hakikatnya teori evolusi itu bukan ilmu, walaupun telah dijadikan bahan tesis atau kajian oleh saintis-saintis dunia. Justeru itu kesalahan akal boleh berlaku pada dua bidang ilmu yakni yang ada kaitannya dengan perkara-perkara yang maddiyyah dan yang ada kaitannya dengan perkara-perkara ghaib. Dalam perkara ghaib misalnya, ada kajian akal yang hanya bersifat dogmatik. Ia dianggap tepat dan wujud, tetapi hakikatnya tidak kerana ia hanya bersifat khurafat atau tahyul. Bagaimana mendidik akal supaya tidak liar dan terbabas? Untuk mendidik seterusnya membetulkan kesalahan, akal mestilah dibekalkan ilmu yang tepat. Ilmu yang tepat adalah ilmu yang bersumberkan wahyu dari Allah.
Kebathilan
Hendaklah akal mendapat ilmu wahyu. Ilmu wahyulah akan menyuluh dan bertindak sebagai “scanner” (pengimbas) kepada maklumat-maklumat yang diterimanya. Lebih banyak “input” ilmu yang diterima oleh akal, lebih terdedah ia kepada “virus” kepalsuan dan kebathilan. Maka seharusnya lebih banyak ilmu wahyu yang diperlukan untuk menyaringnya. Jika tidak akal akan rosak dan terpesong daripada kebenaran. Ilmu wahyu pada akal umpama tiang pada kipas. Kipas boleh berpusing-pusing selaju-lajunya, jika masih terlekat pada tiangnya.
Tetapi jika tiangnya goyah, kipas akan binasa kerana pusingannya. Begitulah keadaannya mereka yang mempelajari bermacam-macam ilmu hingga ke taraf doktor atau profesor tetapi tidak mempelajari ilmu wahyu. Ilmu-ilmu mereka ibarat duri mengkuang, paku-paku buruk, racun atau sampah sarap di dalam gudang (akal). Akibatnya, hidup mereka berserabut. Makin tua makin tidak bahagia, makin kosong jiwanya, tidak ceria dan kusut wajahnya. Akal memerlukan ilmu wahyu secukupnya. Jika ilmu wahyu sedikit berbanding dengan ilmu-ilmu lain, maka cahaya dalam diri sangat malap. Cahaya itu tidak cukup untuk menyuluh kebenaran dengan sejelas-jelasnya.
Beramal
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa pengetahuan Islam tidak sama dengan pendidikan Islam. Pengetahuan Islam hanya ilmu-ilmu Islam dalam berbagai subjek atau bidang yang boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja. Tetapi pendidikan Islam adalah proses memberi ilmu, mendidik dan membentuk peribadi manusia berpandukan kaedah-kaedah yang digariskan oleh ajaran Islam. Ia hanya akan berjaya kalau dilaksanakan oleh guru-guru yang beramal, bukan sekadar tenaga pengajar. Dengan adanya proses didikan oleh guru yang beramal ini barulah ilmu Islam tidak menjadi umpama “rubber stamp” sahaja pada sistem pendidikan yang ada. Untuk itu, guru-guru yang terlibat perlulah belajar tentang ilmu wahyu dengan lebih mendalam dan mendapat huraiannya daripada guru-guru yang beramal. Islam tidak boleh diakal-akalkan kerana hakikat ilmu itu ialah mengetahui segala sesuatu secara tepat dengan hakikatnya. Hanya ilmu wahyu sahaja yang tepat dan mesti diyakin ketepatannya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 60 yang bermaksud: “Kebenaran adalah dari Tuhanmu, jangan kamu jadi orang yang ragu-ragu”.
Setiap yang salah dan tidak mengikut ilmu wahyu tidak boleh dijadikan keyakinan dan pegangan. Walaupun kadang kala akal merasakan ianya logik. Wahyu mesti memimpin akal, bukan sebaliknya. Kajian akal yang selaras dengan wahyu sahaja yang boleh dijadikan keyakinan. Dengan pimpinan wahyu barulah akal berfikir dengan landasan iman dan taqwa, maka barulah akal tidak terbabas. Allah dahulukan tentang iman, kemudian barulah disuruh berfikir. Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud: “Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi”. Bukankah sudah banyak teori, hipotesis dan kajian yang disangka benar pada satu jangka masa, kemudiannya dibatalkan pada satu jangkamasa yang lain? Ini menunjukkan kemampuan akal terbatas.
Terdorong
Kerja-kerja akal juga kadangkala tersasar ke arah kebinasaan dan keburukan. Contohnya, dengan akal yang tidak berpandukan syariat, seseorang pengusaha kilang arak telah memajukan industri arak, yang mana arak itu hakikatnya akan membinasakan akal itu sendiri. Syariatlah yang mengawal akal. Jika akal terdorong berfikir ke arah yang haram, syariat akan menahannya dengan cepat. Tidak ada jalan lain untuk memahami dan mematuhi syariat kecuali dengan ilmu wahyu. Hanya dengan itu jika terjadi pertembungan antara akal dan wahyu, maka wahyulah yang menang. Untuk mendapat ilmu wahyu, seseorang tidak boleh bergantung kepada metodologi ilmu akal. Ertinya, jalan mendapatkan ilmu wahyu berbeza dengan jalan mendapatkan ilmu akal. Ilmu wahyu ada kaedahnya tersendiri. Ia tidak boleh dipelajari secara mentelaah atau membaca sendiri-sendiri tetapi ia mesti dipelajari daripada guru.
Berguru adalah jalan mendapatkan ilmu wahyu. Namun bukan semua guru layak atau boleh menyampaikan ilmu wahyu. Guru yang beramal dengan ilmunya, berwibawa (taqwa dan berilmu) dan berakhlak sahaja yang mampu dan berperanan sebagai penyampai ilmu wahyu yang baik. Guru yang mampu mengajar ilmu wahyu mesti sekurang-kurangnya mempunyai dua syarat: Pertama, “rasik” ilmunya. Maksudnya, ilmunya telah berdarah daging atau sudah sebati dan menjadi amalan dalam dirinya. Ilmu itu telah meresap dalam hatinya bukan sekadar bertapak pada akalnya.
Wahyu
Kedua, boleh memimpin anak-anak muridnya, bukan semata-mata boleh menyampaikan ilmu kepada mereka. Guru yang cukup syarat, ilmunya sangat tepat dan tujuannya mengajar bukan hanya untuk “mental exercise”. Mereka mengajar dengan penuh taqwa dan tawadhu’ tanpa unsur-unsur bangga, ria’ atau terselit kehendak-kehendak nafsu. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud: “Bertaqwalah nescaya Allah akan mengajar kamu”. Maksudnya jika bertaqwa, Allah akan salurkan ilmu kepada seseorang hingga dengan memudahkan ia memahami serta memahamkan kepada orang lain. Ini menunjukkan bahawa ada ilmu yang lebih tersirat, yang tidak tercapai oleh akal melainkan dengan bantuan ilmu wahyu.
Kalau akal sahaja, walau setajam mana pun, tanpa berlandaskan ilmu wahyu, seseorang itu tidak akan dapat menemui kebenaran. Akal ada batasnya. Nabi Ibrahim a.s. tidak berjaya mencari Tuhan dengan akalnya. Tetapi baginda mengenal Allah setelah diberikan wahyu kepadanya. Sedangkan perkara-perkara yang ada dalam hubungan dengan soal ghaib, sangat besar pengaruhnya kepada pembentukan peribadi. Keyakinan seseorang kepada Allah, boleh mengawal dirinya daripada melakukan kejahatan atau kezaliman. Inilah kunci kejayaan sesuatu pendidikan. Dan ini bergantung kepada sejauh mana dapat dimasukkan ilmu wahyu dalam proses pembelajaran dan juga pendidikannya.
Tauhid
Tidak kira semasa belajar ilmu sains, geografi, matematik atau lainnya, sama ada di dalam kelas atau di luar kelas, usaha menanamkan ilmu wahyu terutama soal tauhid mesti dibuat. Hanya dengan mengenal Allah, manusia boleh “dikawal” tanpa undang-undang dan disiplin. Dengan akal semata-mata, manusia tidak dapat menahan dirinya daripada melakukan kejahatan. Bahkan kejahatan seorang yang bijak, selalunya lebih buruk akibatnya kepada masyarakat dan negara daripada kejahatan yang dilakukan oleh orang yang bodoh. Harapan kita semoga perkara seperti ini akan mula difikirkan oleh pakar-pakar pendidikan kita.