Marang punyai Draf Rancangan Tempatan sendiri
MARANG: Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberi tahu penduduk kawasan itu bahawa Daerah Marang sekarang ada draf Rancangan Tempatannya sendiri sebagai panduan merancang, memaju dan memakmurkan bumi kawasan itu. Draf Rancangan Tempatan daerah itu yang dilancarkan oleh beliau pada 12 Oktober lalu meliputi rancangan gunatanah seperti perumahan, perniagaan, perindustrian, pelancongan, pertanian dan sebagainya menuntut tanggungjawab dan penyertaan gigih penduduk kawasan itu sendiri. Beliau menyeru penduduk tempatan memberi perhatian kepada Rancangan Tempatan itu, menyemak dan memberi pandangan. Tuan Guru percaya rancangan itu bukan sahaja boleh memakmurkan Marang, malah boleh memajukan Terengganu keseluruhannya. Beliau mengira peristiwa ini satu sejarah kerana julung kali rancangan tempatan mengambil kira pandangan umum.
Sebelumnya dan biasanya rancangan seperti itu ditentukan oleh pihak yang berkuasa sahaja. Sekarang rakyat diberi peluang untuk sama-sama merangka dan merumuskan apa yang baik untuk mereka sehingga tahun 2010. Pendekatan ini ada hubung kaitnya dengan reformasi tanah yang menurut Menteri Besar akan dilaksanakan segera. Katanya, di majlis itu, progrem reformasi tanah akan dimulakan. Rakyat akan diberi peluang untuk memiliki tanah untuk kediaman dan pembangunan yang lain. Remormasi tanah ini adalah satu langkah mengurangkan kemiskinan dan bank tanah akan ditubuhkan bagi mengatasi tanah yang bermasalah. Kerajaan juga akan menyusun semula penempatan penduduk dalam konsep pembangunan yang tersusun dan lengkap dengan kemudahan asas. Lain-lain rancangan yang beliau sentuh ialah:
* Menerus dan melengkapkan produk industri pelancongan;
* Menggalakkan pembinaan pusat rekreasi secara bersepadu;
* Memperindah lanskap jaluran/kawasan hijau di sepanjang tebing untuk riadah.
......................................................................
Usaha terus baiki pentadbiran pihak berkuasa tempatan
MARANG: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Alam Sekitar Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata, Kerajaan sedang berusaha memperbaiki dan melengkapkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini. Beliau yang menyedari ada beberapa kekurangan PBT berharap akan disokong oleh penyertaan dan kerjasama rakyat.
Katanya, kekurangan sumber tenaga, kewangan dan tenaga kerja yang berpengalaman dan profesional boleh mengakibatkan kelemahan pentadbiran pada sesuatu PBT. “Oleh itu, PBT perlulah menghadapi cabaran sedia ada dan dalam masa yang sama cuba memberikan khidmat yang terbaik kepada penghuni-penghuni di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Seranta Dan Pameran Draf Rancangan Tempatan Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, Kerajaan juga sedang berusaha untuk menyediakan beberapa kaedah dan langkah-langkah untuk menghapuskan karenah birokrasi, prosedur dan saluran yang sering menjadi rungutan serta aduan orang ramai berkaitan memajukan tanah seperti urusan pecah sempadan, kelulusan pelan bangunan dan sijil layak menduduki.
Bagaimanapun beliau menyeru kepada semua pihak supaya permasalahan itu tidak hanya dibebankan dan dipertanggungjawabkan kepada PBT sahaja. Katanya, pihak-pihak yang terlibat seperti arkitek, pelukis pelan, dan mereka yang berkaitan perlu lebih peka dan sama-sama bertanggungjawab dalam usaha untuk memaju dan mengindahkan kawasan PBT. “Salah satu cara yang saya fikirkan sesuai ialah dengan meneliti dan seterusnya menggunapakai rancangan tempatan yang disediakan,” ujarnya.
......................................................................
Draf Rancangan Tempatan pandangan penduduk penting
MARANG: Proses seranta yang bermula pada hari perasmian mencerminkan pandangan penduduk setempat penting dalam merancang pembangunan masa depan daerah itu. Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia, Dato’ Prof. Zainuddin Muhammad berkata, penduduk setempat diberi peluang untuk membuat cadangan seterusnya bantahan kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Draf Rancangan Tempatan Marang itu. Beliau menyatakan demikian di Majlis Perasmian Seranta Dan Pameran Draf Rancangan Tempatan Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, baru-baru ini. Teks ucapan dibacakan oleh Timbalannya, Encik Mutalib Jelani. Beliau berkata, orang awam boleh merujuk kepada Jadual Kelas Kegunaan Tanah bagi setiap blok perancangan yang telah ditetapkan dan garis panduan perancangan yang disediakan. “Jadual Kelas Kegunaan Tanah ini akan memudahkan orang awam untuk menyemak jenis-jenis guna tanah yang dibenarkan dengan syarat atau tidak dibenarkan,” katanya.
Dengan demikian, tambahnya orang awam boleh mengetahui akan ketetapan jenis-jenis pembangunan yang dibenarkan bagi sesuatu tapak atau kawasan cadangan itu. “Ini seterusnya akan menjimatkan masa dan memudahkan proses kelulusan sesuatu permohonan kebenaran merancang,” ujarnya. Jelasnya, rancangan tempatan Marang itu adalah susulan kepada penerimaan Rancangan Struktur Majlis Daerah Marang dan pihak berkuasa perancang tempatan Marang yang telah diwarta pada 28 Oktober 1993 melalui Warta Negeri Bil. 983. “Kajian ini telah dimulakan pada pertengahan 1999 dan dijangka akan dapat disiapkan setelah mendapat pandangan atau bantahan orang awam yang boleh membuat semakan atau pemeriksaan bermula hari ini,” ujarnya.