Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kolam Air Panas destinasi baru pelancongan

BESUT: Kolam Air Panas La yang bersempadan kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu dan FELDA Tenang, Hulu Besut di sini akan berubah wajah dengan projek pembangunan yang sedang berjalan sekarang. Tapak yang sedang dibangunkan merang­kumi keluasan 5.79 Hektar dan terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandar Jerteh. Projek pembangunan ini yang dijangka akan mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dipersetujui untuk dilaksanakan bermula tahun 1997. Justeru itu Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan pembinaan kemudahan di kawasan tersebut. Jurutera Daerah JKR Besut, Haji Ghazali Hashim berkata, kawasan Kolam Air Panas La merupakan kawasan hutan asli yang terdiri dari perbagai spesis pokok.

Perkara ini telah dinyatakan oleh beliau semasa lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Infrastruktur Kemudahan Awam dan Komunikasi, Encik Yahaya Ali ke Projek Pembangunan Kolam Air Panas La (La Hot Spring) baru-baru ini. Katanya, penemuan mata air panas sulfur, menjadikan kawasan ini terkenal dan merupakan satu kawasan rekreasi di sini. Pengunjung yang datang ke sini adalah untuk berehat bersama keluarga malah ada yang datang untuk berubat dengan menggunakan air panas itu. Ia ditambah dengan keindahan semula jadi termasuk sebatang sungai dinamakan Sungai Peng yang mengalir jernih dan airnya sejuk menambah tarikan pengunjung ke tempat ini. Menurut Haji Ghazali, air panas sulfur dipercayai dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh terutama yang menghadapi masalah kulit dan saraf.

Pembangunan kawasan Kolam Air Panas La adalah berdasarkan kepada pembangunan dengan keutamaan diberikan kepada pembaikan kemudahan rekreasi kolam air panas sulfur sedia ada. "Alam semulajadi ini perlu dipelihara dan dikekalkan supaya ianya terus dapat dinik­mati generasi akan datang," katanya. Rancangan Pembangunan yang telah dan akan dirancang melibatkan aktiviti , kemudahan rekreasi, kemudahan penginapan dan landskap. Satu pelan rekabentuk telah disediakan hasil lawatan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Daerah Besut ke Kolam Air Panas Poring (Poring Hot Spring), Ranau, Sabah, pada 26 Oktober 1998. Beberapa aktiviti telah dikenalpasti untuk meningkatkan tarikan pengunjung ke Kolam Air Panas La. Antaranya pembinaan kolam atau kolah mandi air panas yang lebih selesa lengkap dengan kemudahan lain, mewujudkan Tapak Kawasan Perkhemahan yang lebih luas dan sempurna, mengadakan Taman Rama-rama dan Taman Orkid, aktiviti meredah hutan (jungle tracking) serta Pondok Rehat.

Sebagai permulaan, dua buah Kolam Mandi Air Panas (Hot Sulphur Bath) terbuka telah direkabentuk dan dibina bagi menggantikan kolam sedia ada. Rekabentuk kolah adalah sebagaimana yang terdapat di Kolam Air Panas Poring, Ranau, Sabah dengan sedikit pengubahsuaian. Haji Ghazali berkata, sejumlah 21 unit kolah mandi direkabentuk untuk kegunaan pengunjung lelaki manakala 13 unit untuk pengunjung wanita. Kemudahan-kemudahan lain yang akan dibina termasuk Kemudahan Tandas dan Persalinan yang berasingan, Pusat Pene­rangan Pelancongan, Kawasan Perkelahan dan Tempat Letak Kenderaan. Air panas sulfur dari dua punca utama di dalam kawasan Hutan Simpan disalurkan melalui tangki penyimpanan bermuatan 40,000 gelen yang telah siap dibina.

Tangki air panas sulfur direkabentuk bera­saskan konsep 'Thermorí' dan mampu menyimpan air pada kadar suhu yang sama dengan punca untuk jangka tempoh selama seminggu. Satu saluran paip berpenebat haba (thermal insulation) disalurkan kepada setiap kolah. Satu kolah boleh memuatkan seramai 2 orang dan air mandian akan disalur keluar melalui paip air buang ke hilir Sungai Peng. Menurutnya, kolam mandi sedia ada akan diubahsuai dan disesuaikan dengan kolah baru. Kajian telah dijalankan di mana tiga punca sedia ada berupaya menyalurkan air panas sulfur pada kadar 6,000 gelen sehari. Jumlah ini dapat menampung penggunaannya kepada pengunjung pada masa hari biasa tidak untuk kegunaan pengunjung di hujung minggu. Untuk itu, satu laluan paip 'by pass' direkabentuk. Anggaran kos pembangunan yang dirancang semuanya berjumlah RM1.12 juta. Pada peringkat pertama tahun 1998, pembinaan tangki air penyimpanan telah siap dibina dengan harga pembinaan berjumlah RM99,900.00 (Peruntukan RM100,000.00). Kos adalah melibatkan pembinaan tangki air dan kelengkapan paip. Pada peringkat perancangan awal kemudahan penginapan kepada pengunjung tidak dibuat ianya dimasukkan ke dalam perancangan yang akan datang.

Landskap

Kemudahan kawasan perkhemahan cukup untuk pengunjung menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Satu kawasan telah dikenalpasti untuk cadangan pembinaan chalet. Rekabentuk landskap kawasan telah direkabentuk untuk dilaksanakan. Bagaimanapun, ciri-ciri pengekalan alam semulajadi kawasan adalah dikekalkan. Menurut jurutera itu lagi antara langkah yang akan diambil ialah mengekal rekabentuk muka bumi kawasan sekitar, mengubahsuai dan memperelokkan kawasan, mempastikan saliran mencukupi dan membaikpulih hakisan tebing. Pembinaan Kolam Air Panas secara terancang akan menambahkan lagi bilangan tempat rekreasi di Daerah Besut dan menjadi daya tarikan pengunjung luar datang ke daerah ini. Pengalaman yang diperolehi semasa lawatan ke Poring Hot Spring telah banyak memberi manfaat terutama kepada keperluan kemudahan pengunjung terutamanya sistem perhubungan. Sistem pengurusan kawasan rekreasi yang baik adalah perlu bagi memberi keselesaan kepada pihak pengunjung. Untuk itu JKR telah diberi tanggungjawab merancang, melaksanakannya dan mempastikan pembangunan terbaik di kawasan ini dan menepati objektif jabatan.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com