Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jangan menentang Allah

Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya ber­taqwa kepada Allah. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan dan bekalan yang baik ialah dengan bertaqwa.

Muslimin sekalian!
Marilah kita merenung kepada soalan yang dikemukakan oleh Allah S.W.T. kepada seluruh manusia dengan firman Allah yang ber­maksud: “Bagaimanakah kamu boleh kufur kepada Allah sedangkan kamu didahului tidak ada, maka Allah menghidupkan (menjadikan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu (membangkitkan kamu pada hari qiamat), kemudian kamu dikembalikan kepadaNya untuk dibicarakan amalan-amalan kamu.” (Surah al-Baqarah: 28).

Setiap orang hendaklah sedar bahawa mereka tidak terjadi dan wujud di atas muka bumi dengan sendirinya. Kewu­judan mereka bukan kerana sebab hubungan perkahwinan ibu bapa sahaja, bahkan mereka dicipta oleh Allah S.W.T. Maka segala apa yang ada pada diri, nyawa, jantung dan hati mereka, makan dan minum, udara yang mereka sedut, bumi yang mereka pijak dan langit yang mereka berpayung di bawahnya serta semua perkara yang dimilikinya adalah ciptaan dan kurniaan daripada Allah S.W.T kepadanya. Demikian juga, mulut yang mereka makan dan minum dengannya, telinga yang mereka mendengar dengannya, mata yang mereka melihat dengannya dan lain-lain lagi disediakan untuknya oleh Allah S.W.T. Jika mereka tidak dicipta oleh Allah S.W.T. diri mereka tidak ada dan mereka tidak miliki apa-apa.

Muslimin sekalian!
Bagaimanapun ada sebahagian ma­nu­sia ingkar kepada Allah S.W.T, menentang-Nya dan melakukan maksiat serta perkara mungkar, seolah-olah tidak sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah S.W.T. Mereka tidak sedar bahawa mereka hidup di bumi Allah S.W.T, makan dan minum rezeki Allah S.W.T. dan bernaung di bawah langit Allah S.W.T. Apabila manusia diperintah supaya menyembah Allah S.W.T., ada di kalangan mereka di dalam masa yang sama, menyembah Allah S.W.T. dan menyembah sesama makhluk, sama ada secara langsung dengan menjadikan batu dan kayu sebagai Tuhan atau meme­songkan niat di dalam ibadat kepada yang lain daripada Allah S.W.T. tidak ikhlas, ria’ dan meminta supaya dipuji dan dihormati. Ada pula yang tidak mempedulikan hukum halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Pemuda dan pemudi bergaul bebas tanpa ikatan perkahwinan, tidak mengira halal dan haram. Manusia makan dan minum tanpa mengira daripada mana sumber sama ada halal atau haram. Ada di kalangan mereka yang memperolehi harta daripada kegiatan yang haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berjudi dan sebagainya. Ada yang menagih dadah, ganja, minum arak dan lain-lain perkara yang memabukkan, sedangkan di atas muka bumi ini masih banyak lagi makanan dan minuman halal yang disediakan oleh Allah S.W.T.

Ingkar

Allah S.W.T. mengurniakan sumber-sumber untuk manusia membuat pakaian, tetapi apabila mendapat pakaian, mereka ingkar perintah Allah S.W.T. supaya menutup aurat. Bagi lelaki, aurat mereka ialah di antara pusat dan lutut, sementara aurat perempuan ialah seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Apa yang berlaku, wanita pada hari ini berlumba-lumba membuka aurat dan memakai pakaian yang ketat, bukan kerana tidak cukup kain atau tidak cukup benang, tetapi kerana kerja-kerja mahu menentang perintah Allah S.W.T. supaya menutup aurat. Manusia juga tidak mempedulikan hukum dan peraturan Allah S.W.T. Mereka yang berkuasa seperti tidak sedar bahawa di sana ada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan hadith. Masih ada manusia yang berani membuat hukum sendiri di dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah S.W.T. seperti di dalam perkara berkait dengan hukum hudud, qisas dan ta’zir.

Muslimin sekalian!
Mengapakah manusia suka sekali melanggar perintah Allah S.W.T? Walaupun mereka telah melanggar perintah Allah S.W.T., apa yang Allah suruh ditinggalkan dan apa yang dilarang masih dilakukan, mereka masih marah-marah jika dikatakan menentang Allah S.W.T. Sebelum mereka menerima azab di akhirat, di dunia lagi telah dirasakan kepada mereka akibat sebahagian daripada perbuatan buruk mereka. Firman Allah S.W.T. dari Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah nyata kerosakan di darat dan di laut, hasil daripada perbuatan tangan-tangan manusia, supaya dia (ALLAH) merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka usahakan, mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah S.W.T dengan bertaubat dan kembali semula kepada ajaran Allah S.W.T.” Kerana tidak dilaksanakan hukuman ke atas pencuri mengikut hukum Islam, maka pencuri bermaharajalela.

Tidak ada lagi yang selamat daripada pencuri dan penyamun, bermula daripada lembu kerbau, kereta, emas dan perak, sehinggalah emas dan perak yang masih berada di tengkuk dan pergelangan tangan. Kerana tidak dilaksanakan hukuman sebat ke atas mereka yang berzina maka berlakulah pergaulan bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Apabila berlakunya kejadian lahir anak luar nikah, bukan sahaja penzina yang malu, ibu bapa mereka juga yang menanggung malu. Itu semua balasan dan akibat sebahagian daripada perbuatan manusia di atas dunia lagi sebelum menerima azab yang sebenar di akhirat sekiranya belum bertaubat. Marilah kita menghisab iman kita, amalan kita dan memikirkan dahulu setiap tindak tanduk kita sebelum melakukannya. Sebelum makan, hendaklah meneliti adakah ini makanan yang halal dan daripada sumber yang halal.

Menutup aurat

Sebelum memakai pakaian, hendaklah terlebih dahulu meneliti sama ada pakaian tersebut menutup aurat atau tidak. Demikianlah yang wajib dilakukan sebelum melakukan semua perkara kerana semuanya akan disoal di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian kamu akan disoal pada hari itu tentang setiap nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.” (Surah at-Takathur: 8). Begitulah caranya untuk menjadi hamba-hamba yang taat kepada Allah S.W.T, dan untuk selamat di dunia dan di akhirat. Firman dari surah Al-’Adiyaat ayat 7-8 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang melakukan amalan baik walau seberat habuk, maka tetap akan dilihatnya, dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau seberat habuk tetap juga akan melihatnya di hari qiamat.”


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com