Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Berkhidmat secara neutral

Oleh WARTAWAN WARTA

Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan baru ingin melihat suatu perubahan berlaku dalam kehidupan rakyat negeri ini. Dasar yang jelas dibawa oleh parti pemerintah Terengganu yang digariskan dalam manifesto pilihanraya umumnya patut diiktiraf oleh semua pihak sebagai hasrat murni yang tersimpan dalam hati nurani masing-masing. Jika direnungi sebaik-baiknya ia menguntungkan semua pihak termasuk parti pembangkang sendiri kerana dasar kerajaan baru di bawah Menteri Besar Tuan Guru haji Abdul Hadi Awang mahu membela rakyat dalam semua perkara yang selama ini dinafikan hak mereka.Ini termasuk hak memiliki tanah, rumah kediaman, melepasi garis kemiskinan, menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, mengurangkan bebanan cukai dan mendapat banyak peluang pekerjaan dalam negeri dan seumpamanya. Yang lebih penting ialah mereka mahu menikmati satu sistem kehidupan harmoni di bawah pentadbiran telus, adil dan prihatin berlandaskan syariat.

Bagaimanapun semuanya itu bukan mudah untuk dinikmati sepenuhnya kerana setiap usaha murni sudah pasti ada penghalang dan dalang yang sentiasa mencari peluang mengagalkannya. Usaha Kerajaan yang murni itu tidak harus dilihat sebagai usaha politik untuk menarik pengaruh rakyat supaya terus memberi sokongan kepada parti pemerintah tanpa memberi peluang lagi parti pembangkang merebut semula kekuasaan yang diperolehi selama ini. Usaha Kerajaan ini juga tidak harus dihalang oleh kakitangannya sendiri dengan membuat sesuatu tindakan yang menunjukkan mereka sudah tidak setia lagi kepada Kerajaan. Contoh umum yang dapat diberikan ialah ada kakitangan Kerajaan yang cuba mengingkari arahan menghadiri majlis rasmi yang dianjurkan Kerajaan kerana mereka menganggap itu bertujuan politik dan bukan tujuan untuk menjaga kebaikan rakyat dan negeri Terengganu. Ada juga usaha untuk melambat-lambatkan sesuatu permohonan supaya kakitangan Kerajaan yang lain merasa rimas dengan tindakan tersebut.

Ada juga kakitangan yang melaksanakan program yang lari dari garis paduan dasar pentadbiran Kerajaan Negeri. Kita tidak mahu menyebut secara khusus perkara-perkara berkenaan tetapi ia sedikit sebanyak mempunyai buktinya yang sentiasa diberi perhatian oleh pemimpin Kerajaan. Tindakan itu boleh juga disifatkan sebagai suatu serangan psikologi terhadap pemerintah bagi memaparkan kelemahan berlaku dalam Kerajaan. Jika berlaku kelemahan sebenarnya bukan berpunca dari pemimpin peringkat tertinggi Kerajaan tetapi ia berpunca dari kakitangan yang bertindak liar itu sendiri. Tindakan seumpama itu tidak wajar dilakukan oleh pejawat awam yang sudah berikrar di bawah perintah am kerajaan untuk taat setia kepada pemerintah dalam menunaikan tangggungjawab masing-masing. Dalam kerajaan lama, ramai juga kakitangan yang menjadi ahli politik parti pemerintah sekarang. Apakah selama ini mereka membuat tindakan yang menunjukkan keingkaran mereka terhadap arahan-arahan yang diberikan oleh pimpinan kerajaan yang lalu sehingga menjejaskan pentadbiran dan seumpamanya? Kita merasakan bahawa mereka lebih terbuka sikapnya jika dibandingkan dengan kakitangan yang menganut fahaman parti pembangkang Terengganu hari ini yang tidak mahu menerima hakikat bahawa parti mereka tidak lagi memerintah Terengganu.

Soal mereka tidak mahu mengiktiraf sistem demokrasi yang mereka dokong selama ini jelas terbukti apabila kesetiaan mereka tidak diberikan kepada kerajaan pilihan rakyat itu. Teguran Setiauasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Senara Muda Haji Mazlan Hashim sepatutnya diterima dan dipatuhi dengan sebaik-baiknya. Jika tidak berupaya untuk mematuhi arahan dan nasihat Dato’ Senara Muda, mereka boleh bersara awal dan sebenarnya ramai lagi di kalangan rakyat Terengganu yang mempunyai kelulusan tinggi yang ingin menggantikan tempat mereka jika mereka berhenti atau bersara awal. Seorang kakitangan awam negeri berhenti mungkin 1,000 orang akan memohon untuk berkhidmat dengan baik, memegang jawatan yang dilepaskan itu. Soal siapa penganti mereka tidak menjadi masalah kepada Kerajaan untuk menyediakannya, asalkan mereka melepaskan jawatan yang mereka pegang sekarang. Tetapi mungkin menimbulkan sedikit masalah apabila kakitangan yang tidak setia kepada Kerajaan terus memegang jawatan dalam pentadbiran Kerajaan. Melainkan mereka bersifat neutral, ia suatu hal yang sepatutnya berlaku kepada kakitangan bukan dari kalangan penyokong atau ahli parti pemerintah.

Kerajaan sentiasa berterima kasih kepada kakitangan yang bersifat neutral ini kerana kakitangan seumpama itu boleh melahirkan suasana kerja yang harmonis dan bekerjasama menjana negeri seiring dengan matlamat yang ingin dicapai oleh Kerajaan. Kesetiaan dan keneutralan mereka itu akhirnya akan kembali sekurang-kurangnya kepada diri mereka sendiri dan kepada rakyat yang masih menyokong parti pembangkang hari ini di Terengganu. Perkara seumpama inilah sepatutnya difikirkan bersama. Tidak sepatutnya mereka menjadi perancang untuk menjatuhkan Kerajaan dari dalam.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com