Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Berhemat, berjimat sambut Idulfitri

KUALA TERENGGANU: Seluruh rakyat Terengganu dinasihatkan oleh Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya berhemat dan berjimat membelanjakan wang yang dikurniakan Allah ketika menyambut Idul Fitri.

Nasihat itu dibuat memandangkan saat ini Negeri Terengganu menghadapi kekurangan wang akibat rampasan royalti minyak oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini. Harapan beliau terkandung dalam perutusan hari raya yang diterbitkan minggu lalu. Dalam perutusan itu beliau berjanji tidak akan membiarkan kejadian itu mengganggu perjalanan ekonomi dan pentadbiran negeri. Beliau juga bagi pihak kerajaan mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana memberi sokongan padu kepada Kerajaan meneruskan agenda pentadbiran negeri. Berikut adalah perutusan beliau sepenuhnya:

"Dengan kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan mengucapkan selamat menyambut idul fitri, maaf zahir dan batin.

Ketibaan syawal tahun ini mengingatkan kita bahawa sudah sebulan kita menghadapi ujian di bulan Ramadhan yang sentiasa dirindui ketibaannya oleh orang-orang beriman dan yang beramal soleh kerana kelebihan yang tidak terhingga dikurniakan Allah S.W.T. untuk bulan itu. Bahkan ada yang menangis kerana pemergiannya. Syawal adalah hari kita bergembira setelah kita menunaikan kewajipan berzakat fitrah untuk membantu mereka yag susah supaya dapat menikmati suasana hari raya dengan penuh kegembiraan.

Syawal juga mengajar kita menjadi umat ynag saling bantu membantu, mengeratkan hubungan ukhuwwah Islamiyyah di antara satu sama lain di samping merayakan kemenangan kita menghadapi segala ujian Ramadhan yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menahan diri dari segala perkara yang dilarang demi melayakkan kita menjadi orang-orang yang bertaqwa di sisi Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah: 183) .

Saya bagi pihak Kerajaan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat yang telah memberi sokongan bagi meneruskan agenda pentadbiran di bawah Kerajaan Baru yang genap setahun pemerintahannya 29 November lalu. Kerajaan mengharapkan rakyat berhari raya dengan berjimat dan berhemah membelanjakan kewangan yang dikurniakan Allah di saat kita menghadapi kekurangan kewangan akibat rampasan hak menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus setahun oleh Kerajaan Pusat, baru-baru ini.

Bagaimanapun Kerajaan tidak akan membiarkan kehilangan wang itu mengganggu perjalanan ekonomi dan pentadbiran Negeri. Kerajaan kini terus menerus bekerja keras untuk mendapatkan semula hak itu di samping berusaha bersungguh-sungguh mencari sumber lain bagi menampung kekurangan tersebut.

Rakyat hendaklah mengetahui bahawa pembangunan yang dirancang Kerajaan adalah suatu pembangunan yang lebih menumpukan keperluan rakyat dan semua aspek sama ada spritual mahupun material di samping berusaha memulihkan kepincangan pentadbiran yang ditinggalkan oleh Kerajaan yang lalu. Kerajaan terus mempertahankan dan berusaha melaksanakan dasar yang digariskan dalam manifesto pilihnraya umum yang lalu kerana itulah dasar yang dipilih oleh rakyat dan bertepatan dengan Islam yang dianuti oleh kita semua.

Akhir kata, saya mengharapkan kita semua dapat bertemu kembali di bulan Ramadhan dan bergembira di bulan Syawal akan datang dalam keadaan tenang dan bersabar menghadapi ujian Allah S.W.T.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 28 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com