Oleh SUHAIMI TAIB
KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan peruntukan belanjawan Tahun 2001 sebanyak RM733.463 juta setelah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbahas selama persidangan diadakan. Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membentangkan belanjawan yang kedua berkata, dari jumlah itu RM673.025 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Bekalan dan RM60.411 juta disediakan untuk Perbelanjaan
Tanggungan, termasuk perbelanjaan diperuntukkan oleh undang-undang dan peruntukkan bayaran balik pinjaman.
Ucapan belanjawannya memfokus kepada beberapa isu termasuk prestasi ekonomi negeri pada tahun depan yang dijangka akan mengalami pertumbuhan yang sederhana, memandangkan kepada pelbagai tekanan dan diskriminasi yang dianjurkan Kerajaan Pusat semata-mata bertujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran negeri. Ucapan belanjawan disambut baik oleh rakyat yang bersimpati dengan tekanan Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Negeri.
DUN Ke-10, mengadakan Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua dari 11 Disember hingga 19 Disember selama lima hari kecuali hujung minggu. Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata, tindakan-tindakan Kerajaan Pusat sama ada disedari atau tidak oleh mereka, ternyata secara langsung mengkhianati dan menganiaya rakyat Negeri Terengganu keseluruhannya. Berdasarkan kepada hakikat tersebut maka jumlah anggaran hasil bagi tahun depan dijangka diperolehi sebanyak RM720.496 juta termasuk sebanyak RM540 juta dari Royalti Petroleum.
Katanya, anggaran hasil ini meningkat sebanyak 4.09 peratus berbanding hasil tahun semasa yang berjumlah RM692.182 juta. (Teks ucapan penuh lihat muka 6, 7, 8, 9 dan 10) Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN PAS) Rhu Rendang berkata, berlandaskan dasar dan kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan balik segala hasil negeri yang telah dirampas secara tidak waras dan buta ihsan oleh pihak yang sebenarnya sedang mengamalkan sikap ‘dictatorship’.
Bagaimanapun atas dasar hak yang telah diperuntukkan dalam undang-undang dan mandat yang telah diberikan, Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa dalam penyediaan belanjawan negeri tahun depan, perolehan hasil dari Royalti Petroleum hendaklah diperakukan sebagai hasil negeri yang sudah semestinya dikreditkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri Terengganu. Ini kerana katanya, tidak ada satu sebabpun sama ada dari sudut perundangan ataupun pentadbiran yang boleh membawa kepada pembatalan atau perampasan hasil tersebut dari Kerajaan Negeri.
Menteri Besar berkata, berdasarkan kepada anggaran yang disediakan adalah didapati bahawa Hasil Cukai akan meningkat kepada RM580.32 juta atau 0.54 peratus, manakala Hasil Bukan Cukai perolehannya meningkat kepada RM96.63 juta atau 24.8 peratus dan Terimaan Bukan Hasil pula dijangka meningkat kepada RM43.54 juta atau 15.70 peratus.