KUALA TERENGGANU: Langkah Kerajaan Pusat merampas royalti minyak Kerajaan Terengganu mulai September lalu mendapat perhatian majalah Economist, sebuah majalah berwibawa antarabangsa yang diterbitkan di Britain. Majalah mingguan terbitan 18-24 November itu menyebut bahawa sekatan itu semata-mata kerana iri hati dan kecewa Kerajaan Pusat yang memerintah kerana Kerajaan Terengganu disenangi oleh masyarakat Cina.
Mengikut laporan Economist, Kerajaan Terengganu setakat ini mampu mengurus pentadbiran dengan tidak mengecewakan kaum minoriti bukan Islam sekalipun mereka tidak berminat dengan program mendaulatkan Islam. Ia menyebut terhadap layanan dan simpati yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap urusan rumah peribadatan dan sekolah Cina. Orang-orang Cina yang berniaga agak gembira dengan kerajaan itu kerana segala urusan perniagaan dikatakan tidak lagi melibatkan unsur rasuah.
Katanya, Kerajaan Terengganu juga melantik pegawai khas dari kalangan masyarakat bukan Islam sebagai langkah mudah menghubungkan mereka dengan Kerajaan. Penghuni Kampung Cina di Terengganu nampaknya tidak banyak bimbang dengan kerajaan baru, sebaliknya masyarakat Cina begitu lantang mengkritik langkah Kerajaan Pusat merampas royalti minyak. Mengulas perkara itu seorang Cina disebut oleh majalah itu sebagai berkata, Perdana Menteri telah melakukan satu lagi kesilapan dan baginya ia sudah tentu memberi modal kepada Parti Islam Semalaysia (PAS).
Economist menyebut tentang Kerajaan PAS telah menggunakan wang royalti itu untuk memansuhkan tol dan cukai tanah dan perkara-perkara yang menyenangkan pengundi-pengundi. Ia mengira tindakan itu adalah langkah jelas Perdana Menteri untuk memiskin Negeri Terengganu. Sebelumnya majalah itu mengulas tentang pimpinan Menteri Besar Terengganu yang tidak teragak-agak mempersoal kesilapan Kerajaan Persekutuan. Menurutnya, Menteri Besar tidak ragu langsung tentang Kerajaan Persekutuan adalah tidak adil, rasuah dan sekular.