KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan kini Kerajaan Negeri merasa wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Pusat kerana merampas royalti minyak. Beliau berkata, Kerajaan Negeri setakat ini memperjuangkan soal rampasan royalti itu untuk dikembalikan kepada Kerajaan Negeri melalui saluran pentadbiran dan politik.
Tetapi Kerajaan Negeri masih menunggu jawapan dari surat yang dihantar dan meminta penjelasan dari PETRONAS dan Jabatan Perdana Menteri mengenai royalti minyak, katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri di sini, 18 Disember lalu. "Selepas menimbang semua perkara ini dan menyemak melalui beberapa saluran, kita kini merasakan masanya sudah tiba untuk mengambil tindakan undang-undang," tambahnya.
Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri telah menghantar dua pucuk surat kepada Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. "Tetapi sehingga tarikh ini Kerajaan Negeri belum menerima sebarang jawapan," katanya. Tambahnya lagi, berasaskan kepada perbincangan antara Kerajaan Negeri dengan pihak pengurusan PETRONAS dan pertemuan tidak rasmi beliau dengan Perdana Menteri semasa sidang raja-raja pada bulan Ogos lepas, beliau yakin Kerajan Negeri mempunyai haknya dalam soal royalti minyak.
Sementara itu di permulaan persidangan DUN, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Mustafa Ali memberitahu Dewan bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan undang-undang atas rampasan wang royalti yang dibuat dengan cara tidak beradab itu. Kenyataan ini dibuat ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Teluk Pasu, Haji Ismail Mamat yang mahu tahu tindakan susulan yang Kerajaan Negeri ambil terhadap rampasan royalti itu.
Haji Mustafa mengulangi kenyataannya di Parlimen bahawa langkah Kerajaan Pusat merampas royalti minyak itu adalah satu tindakan yang tidak beradab. Tiada siapa menjawab tuduhan itu, kata beliau. Mengenai tindakan susulan mencari ganti kehilangan royalti itu Haji Mustafa berkata, Kerajaan sedang mengkaji langkah yang perlu diambil dari tanah, air dan balak. Setakat ini kerajaan sudah pun mengenakan bayaran premium balak lima kali ganda.
Menteri Besar ketika menggulung perbahasan itu juga mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada kakitangan Kerajaan yang akan dibayar sebelum hari raya.