KUALA TERENGGANU: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Hussain Awang memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Ajil, Encik Rosol Wahid meninggalkan Dewan setelah dia gagal membuktikan tohmah terhadap pemimpin negeri dan enggan menarik balik tohmah itu. ADUN Ajil itu meninggalkan Dewan dan seminit kemudian Dewan ditangguhkan hingga 14 Desember.
Tindakan itu dibuat di bawah Peraturan mesyuarat 51(2) yang menghalang seseorang terus berada dalam Dewan pada hari itu saja. Beliau boleh hadir seperti biasa pada keesokannya. Sidang belanjawan hari kedua kecoh seelok-elok saja ADUN Ajil menimbulkan tohmah kononnya pemimpin-pemimpin mengambil balak. Dia membuat tohmahan ketika memulakan ucapan membahas ucapan belanjawan Menteri Besar menjelang tengah hari itu.
Penyokong kerajaan, ADUN Paka Encik Saiful Bahari bin Mamat mencelah meminta Rosol menyebutkan nama pemimpin-pemimpin yang dikatakan mendapat balak itu. Rosol mulanya mengaku mempunyai bukti sambil mengibarkan beberapa kertas yang didakwanya mengandungi nama-nama itu. Bagaimana pun dia enggan menyebut nama itu.
Beberapa penyokong kerajaan menganggapnya bercakap bohong setelah dia gagal membuktikan tuduhan. Beliau kemudiannya menyebut berapa nama yang dikatakan mendapat balak tetapi nama-nama itu tidak termasuk dalam senarai pimpinan PAS negeri.
Dalam ucapannya Rosol menyebut pemimpin PAS mana dan cuba menafikan yang dimaksudkannya itu pimpinan PAS Negeri Terengganu. Tetapi Encik Saiful merojok kepada soalannya kepada Dewan yang tidak sempat dijawab mengenai perkara sama menyebut kalimah ‘pemimpin PAS Negeri Terengganu.’ Rosol cuba menjelaskan bahawa dia tidak memaksudkan pemimpin PAS Negeri Terengganu tetapi yang dimaksudkan ialah kepimpinan PAS.
Kerana dia tidak dapat menamakan sesiapa di kalangan pemimpin PAS negeri dan nama-nama yang disebut tidak tersenarai dalam pimpinan PAS, maka Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Haji Wan Abdul Mutalib Embong memintanya menarik balik tuduhan itu jika tidak tindakan disiplin dikenakan terhadapnya.
Rosol mempertahan tuduhannya, maka Haji Wan Abdul Mutalib mencadangkan tindakan disiplin dikenakan ke atasnya. Dewan ditangguhkan 10 minit untuk Yang Dipertua meneliti usul itu. Bila Dewan disambung, Yang Dipertua, Haji Hussain menasihatkan Rosol menarik balik tuduhannya jika tidak dia akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan mesyuarat 51(2). Rosol enggan menarik balik dan dia diminta meninggalkan dewan.