Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Enakmen Suruhanjaya Hisbah lulus

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Hisbah kini sudah boleh berfungsi apabila enakmennya dilulus oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sidangnya minggu lalu. Rang Undang-undang Hisbah yang ditunggu sejak setahun lalu dibentangkan oleh Tun Salleh Abas, Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas Negeri Terengganu mengandungi 18 fasal, bertujuan untuk membentuk sebuah pemerintahan yang bersih, telus dan adil.

Enakmen ini memberi peruntukan kepada Kerajaan Negeri membentuk Suruhanjaya Hisbah yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Hisbah. Pesuruhjaya Hisbah pula dilantik oleh Sultan Terengganu atas nasihat Menteri Besar, setelah mendapat persetujuan. Seorang Pesuruhanjaya Hisbah hanya bertanggungjawab terus kepada DUN.

Enakmen ini tidak memberi kuasa kepada Menteri Besar memecatnya. Sebaliknya jika dia didapati tidak layak, Dewan boleh mengemukakan representasi kepada Sultan untuk memecatnya. Sultan dikehendaki melantik suatu jawatankuasa siasatan untuk merujukkan representasi itu sebelum memecatnya. Pesuruhjaya mempunyai kuasa yang luas untuk mengeluarkan perintah menyiasat sesiapa atau mana-mana badan yang diadukan atau yang disyaki dan boleh memanggil sesiapa saja untuk menjadi saksi atau mendapatkan keterangan.

Dia boleh bertindak atas kehendaknya sendiri apabila dirasakannya patut. Dia juga boleh menggunakan budi bicaranya untuk bertindak atas aduan yang diterimanya. Bagaimanapun dia hendaklah memaklumkan kepada pengadu secara bertulis atas keputusannya itu. Untuk tujuan penyiasatan Pesuruhjaya Hisbah atau pegawai-pegawainya boleh memasuki mana-mana premis.

Dia juga diberi kuasa untuk menyiasat mana-mana kes di bawah peruntukan lain yang diputuskan tidak boleh dirayu atau yang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ia tidak boleh campurtangan dalam kes yang ada ruang rayuan atau membantah.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 31 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com