Oleh SUHAIMI TAIB
KUALA TERENGGANU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kedua menyerlahkan politik pembangkang yang semakin bercelaru menghentam Kerajaan kononnya untuk memperlihatkan pimpinan Barisan Alternatif (BA) di bawah PAS, tidak pandai memerintah negeri.
Pembangkang membangkitkan isu pemberian balak kepada rakyat sebagai cuba mengkayakan pemimpin PAS dengan bukti yang tidak konkrit sehingga menyebabkan seorang wakil pembangkang terpaksa diminta keluar Dewan di bawah peraturan 51 (2).
Arahan Yang Dipertua Dewan, Haji Hussain Awang supaya disebut identiti secara jelas orang yang diisytiharkan namanya dalam Dewan diingkari dan ia merupakan suatu penghinaan terhadap Dewan itu. Dan selayaknya ADUN berkenaan dihalau keluar dalam tempoh sehari. Pembangkang memang suka membangkitkan isu-isu semacam kontroversi seperti soal ADUN tidak ada tauliah menjadi imam, Ahli Majlis Mesyuarat yang menjadi imam membaca perlahan Surah al-fatihah ketika bersembahyang jumaat dan beberapa isu lain.
Yang memalukan ialah pembangkang seolah-olah tidak menyedari mereka tidak lagi memerintah Terengganu. Dalam soal pemberian balak , Kerajaan berhak memberi konsesi balak kepada sesiapa sahaja yang diyakini berkelayakan dan hasil jualan balak itu dikenakan cukai tertentu bagi menampung pendapatan Negeri yang sedia ada.
Sepatutnya pembangkang mengemukakan kritikan membina dengan bukti yang cukup dan pihak Kerajaan tidak berkeberatan untuk mengkaji balik pemberian balak kepada mereka terbabit agar ketelusan dan keadilan dapat ditegakkan. Pembangkang di Terengganu perlu memberi idea yang baik dan positif dalam Dewan untuk kebaikan rakyat dan Negeri Terengganu bukan dengan cara menimbulkan isu kontroversi yang tidak ada bukti yang kukuh untuk mempamerkan kelemahan Kerajaan Negeri.
Kritikan bukan tidak boleh tetapi biarlah ia bersalut hujah yang waras dan bukan menampakkan ketidak cerdikan pembangkang sendiri dalam perbahasan isu Dewan. Akhirnya mereka sendiri menerima padah akibat kebosanan dan kutukan rakyat terhadap pembangkang di dewan kerana masih berada dalam takuk lama di mana tindakan itu menyukarkan pembangkang untuk terus bertapak di negeri ini dalam tempoh yang panjang.
Pihak pembangkang sengaja menimbulkan pecah belah dalam masyarakat dengan mewujudkan apa yang dipanggil Kerajaan dalam Kerajaan supaya nampak pembangkang masih berkuasa di Terengganu walaupun rakyat menolak mereka dalam pilihanraya. Bukti yang nyata ialah penubuhan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP), menghidupkan semula pertubuhan haram, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan merompak royalti minyak, kemudian mewarwarkannya sebagai wang ihsan kononnya untuk diberi secara direct kepada rakyat.
Pembangkang sebenarnya mahu berbalas dendam terhadap rakyat dan Kerajaan Negeri sekaligus menafikan kedaulatan sistem demokrasi berparlimen untuk Negeri Terengganu. Sikap ini diajar oleh Kerajaan Pusat dan jelas ia anti rakyat serta ia boleh disifatkan sebagai suatu percubaan untuk bermusuh dengan rakyat dengan tindakan-tindakan yang dimarahi mereka.
Kerenah pembangkang yang masih merasakan mereka memerintah Terengganu sebagaimana gelagat di Persidangan DUN baru-baru ini jelas menampakkan mereka tidak menerima hakikat kekalahan dalam pilihanraya. Sepatutnya mereka perlu mengambil pengajaran dari kekalahan itu dan berusaha menjadi pembangkang yang baik bukan cuba membuat kacau untuk menggugat keharmonian rakyat Negeri Terengganu.