Pembaca sekalian,
Surat Pembaca di bawah saya ambil dari utusan meloya Online 21/12/2000 untuk tatapan pembaca-pembaca yang sudah lama memboikot UM. Penulis menceritakan mengenai kesan 'MERITOKRASI' yang kononnya diamalkan di Singapura. Kalau dah meritokrasi mengapa perlu ada sistem kuota juga di dalam segala urusan.
Tujuan saya memaparkan surat ini supaya ia menjadi renungan kepada mana-mana insan yang tidak berpijak kepada bumi yang nyata yang selama ini asyik mengembar-gemburkan Di mana bumi dipijak Di situ langit dijunjung. Jikalau ada kelemahan kepada Hak Bumiputra/Melayu (HOM) maka perlulah ia diperbaiki, bukannya dihapuskan. Saya menyokong akan ketetapan Sesetengah Pengendali Laman Reformasi mengenai isu Suqiu yang menyentuh bab HOM. Kita bukannya membuat ketetapan berdasarkan politik parti, tetapi haruslah dilihat dari skop Melayu itu sendiri.
Jika ada yang mengatakan bahawa dengan HOM dan subsidi akan menjadikan sesebuah kaum itu malas, adakah ia merupakan satu justifikasi yang layak untuk dijadikan satu penentuan akan penghapusan HOM itu sendiri. Apa akan jadi kepada mereka yang betul-betul memerlukan pertolongan ?. Orang yang dengki dengan kita akan sentiasa mencari jalan dan alasan yang remeh-temeh untuk merayukan sesuatu isu.
Seperti yang saya katakan tadi, perbaiki ia dan bukan menjahanamkan terus. Saya pun mempunyai ramai kenalan Melayu di Singapura. Mereka yang tergolong di dalam golongan cerdik pandai juga tidak mempunyai banyak peluang untuk memperkembangkan kepintaran mereka. Ini kerana 'Affirmatice Action' kerajaan Singapura yang telah memperuntukkan kuota tertentu untuk masyarakat tertentu. Bagi Melayu yang menyokong langkah Suqiu, saya cadangkan agar mereka sendiri tinggal di Singapura dan sila beritahu orang Melayu di sini akan kesan-kesan meritokrasi tersebut. Dan sila beritahu juga jika anda mempunyai kebijaksanaan anda akan mendapat tempat sebagai Pegawai Tinggi Tentera, Kerajaan dan juga MP di sana.
Sudah menjadi dasar mereka parti yang memerintah iaitu PAP, orang Melayu memang lemah dari segi sikap dan biologi. Saya sendiri merupakan pemegang MSc.IT Management dan pernah bekerja dengan IT dept. satu syarikat Minyak Luar Negara di mana tiada seorang pun bangsa Melayu melainkan saya seorang yang berjaya memegang jawatan tinggi IT Department di syarikat tersebut, dan pada masa tersebut kebolehan dan pengetahuan saya adalah lebih baik daripada bangsa lain, tetapi apabila saya memohon untuk jawatan lebih tinggi sebagai Regional IT Manager dan dipindahkan ke Singapura,hak saya telah dinafikan dengan seribu satu alasan, dan semestinya kerana saya merupakan anak Melayu. Dan akhirnya jawatan tersebut telah disi oleh bangsa tersebut yang memang saya kenal sebagai pembodek dan pengetahuannya adalah setakuk di bawah saya. Tolong jawab............ Akhirnya saya mengambil keputusan menjalankan perniagaan saya sendiri.
Sekian
Anak Watan
** Webmaster tolong siarkan artikel ini. Terima kasih
........................................................................................
Hidup terasing di negara sendiri
SAYA ingin merujuk berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 12 Disember 2000. Apa yang dipaparkan oleh Dr. Lily Zubaidah Rahim melalui bukunya merupakan kenyataan secara terbuka berkenaan nasib orang Melayu di Singapura yang terasing di negara sendiri.
Saya sependapat dengan Lily berdasarkan pengalaman saya serta anak-anak saya sebagai rakyat Singapura yang begitu tertekan kerana sikap diskriminasi pemerintah.
Contohnya anak lelaki saya yang tamat persekolahan di peringkat maktab rendah lulusan 'A' level (SPMR) lima tahun lalu mengalami kesukaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura.
Ini disebabkan ada sistem kuota bagi kaum Melayu yang diperuntukkan sebanyak 15 peratus saja, India 9 peratus, bangsa asing 4 peratus dan 65 peratus bagi kaum Cina, yang berdasarkan majoriti kaum itu sendiri.
Rakan sedarjah anak saya kaum Cina yang markahnya jauh lebih rendah daripada markah anak saya, dengan begitu mudah dapat apa yang diinginkan berdasarkan kuota yang tinggi bagi kaum mereka.
Sekarang beliau sudah pun tamat pengajiannya di Universiti Nasional Singapura. Sedangkan anak saya sudah tiga kali memohon, tetapi setiap tahun malangnya tidak berjaya disebabkan peratus kuota yang begitu terhad.
Anak saya cuba memohon ke universiti luar negara tetapi memerlukan perbelanjaan yang besar sedangkan kami tak mampu. Saya cuba merujuk pada Yayasan Mendaki malangnya tidak berhasil kerana persatuan itu memberi bantuan pada yang kurang berkemampuan tapi merupakan pelajar cemerlang sahaja.
Sebagai ibu saya telah berusaha berjumpa dengan wakil rakyat di kawasan undi tempat tinggal saya di Bedok North. Setelah mereka mendengar aduan saya, mereka berjanji akan menghubungi saya kembali, malangnya sampai bertahun -tahun tidak nampak hidung.
Dengan tajaan sebuah syarikat swasta anak saya melanjutkan pelajarannya di California, Amerika Syarikat.
Kes kedua anak perempuan saya yang memiliki diploma dalam bidang audio dan kejuteraan dalam bidang kesan bunyi. Bertahun -tahun memohon kerja tetapi tidak pernah berhasil, bila membaca iklan kerja di akhbar sering iklan memerlukan pemohon yang boleh bertutur Mandarin.
Ini mustahil bagi kaum Melayu, ada yang tidak memaparkan apa-apa syarat bila menjalani temuduga tetapi terus terang mereka katakan yang syarikatnya tidak mahukan kaum Melayu.
Pernah anak saya bekerja beberapa bulan di sebuah syarikat malangnya tidak serasi disebabkan sering di anaktirikan kerana perbezaan kulit. Sehingga anak saya berputus asa lalu menceburi bidang penghotelan, namun menemui nasib yang sama. Sekarang anak perempuan saya bekerja di Brunei. Kes ketiga ini berdasarkan pengalaman saya yang bertugas selama 28 tahun dengan sebuah syarikat Itali yang berpangkalan di sini. Selain daripada menggunakan tenaga kerja setempat syarikat itu menggunakan tenaga kerja dari Malaysia kira-kira 30 peratus.
Apa yang menghairankan saya, kira-kira 10 tahun dulu syarikat itu mengambil tenaga kerja kaum Melayu, Cina dan India dari Malaysia. Sekarang tidak lagi menerima pekerja Melayu, bila saya mula menyiasat, menurut pengurus sumber manusia syarikat berkenaan, kerajaan Malaysia tidak membenarkan orang Melayu berkerja di syarikat itu kerana peratus bagi kaum Melayu sudah mencukupi.
Sedangkan saya dapati kaum Melayu terlalu berkurangan berbanding Cina. Tidak cukup lagi, kaum Cina dari Malaysia, syarikat itu mengambil ratusan pekerja dari negara China. Menyebabkan kaum Cina sudah melebihi 65 peratus. Bagi keluarga Cina dari Hong Kong dan China yang berhijrah ke sini dengan mudah mendapat taraf penduduk tetap Singapura.
Lagi menghairankan saya mengapa pekerja asing kaum Cina yang berkerja dengan syarikat ini selama lima tahun saja dengan mudah mendapat status penduduk tetap. Begitu juga mereka begitu mudah boleh berkahwin dengan lelaki Singapura tanpa sekatan dan dengan automatik mendapat taraf penduduk tetap.
Ini berbanding dengan bangsa Melayu Malaysia tidak dibenarkan langsung, jika didapati melanggar peraturan permit kerja mereka akan dirampas dan diharamkan untuk seumur hidup berkerja di Singapura.
Tentang sikap pilih bulu di tempat kerja tidak payah cakap lagi, sudah lali saya dengan keadaan begitu kerana hendak hidup terpaksa telan saja.
Saya dapati seperti rasa tertekan orang Melayu di Singapura, maka ramai yang berhijrah ke- Australia dan Malaysia. Apa yang saya bimbangkan kaum Melayu di Singapura akan pupus jika semua mengambil keputusan berhijrah setelah dihambat rasa tertekan.
Yang peliknya orang Melayu dari negara asing sukar untuk mendapat tempat di sini, tetapi bagi orang Melayu Singapura yang hendak berhijrah pula tiada sekatan. Nampaknya lama-kelamaan orang Melayu di Singapura akan pupus. - RUKIAH USMAN, Tampines, Singapura.