Perpecahan antara orang Melayu sekarang bukan
berpunca dari Pas tetapi dari dalam UMNO sendiri yang didalangi
anasir-anasir revolusioner yang lebih mengutamakan kuasa dan wang, kata
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Zainuddin Maidin.
Kata beliau, kemenangan Pas dalam pilihan raya umum November tahun lalu,
dibantu oleh 'sokongan daripada perpecahan dalam UMNO.'
''Adalah mustahil Pas tidak tahu orang yang menagih sokongan darinya dan
memberikan bantuan kepadanya adalah mereka yang dari bekas anasir
revolusioner yang berjaya menyusup ke dalam UMNO.
''Dan menjadi kroni UMNO, yang kaya raya di bawah payung UMNO dan
kemarahan mereka kepada kepimpinan UMNO bukan kerana ketidakadilan UMNO
kepada rakyat tetapi kerana kehilangan peluang untuk mendapat kuasa
lebih besar dan kekayaan lebih tinggi.
''Juga kerana mereka terpaksa menanggung hutang berjuta kerana
kehilangan peluang untuk menjadi lebih besar dan mengeksploitasi
kekayaan negara,'' katanya.
Zainuddin berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang
ghairah untuk perpaduan Melayu telah membawa anasir ekstremis agama yang
dikatakan akan melumpuhkan golongan revolusioner tetapi ternyata
perhitungannya salah.
''Maka itu adalah sangat perlu bagi rakyat melihat taktik politik yang
menggunakan demonstrasi demi demonstrasi untuk melahirkan suatu suasana
yang sesuai untuk mencetuskan suatu gerakan revolusi baru,'' katanya.
Katanya, kebangkitan demonstrasi yang tentunya menarik
gerakan revolusi dari luar terutama dari negara Islam tertentu dan tidak
mustahil mereka akan memberikan kerjasama dan membantu.