KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Hrkh) - Para pegawai agama di negeri ini akan dinaikkan taraf selaras dengan matlamat Kerajaan PAS Terengganu untuk menegakkan syariat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Harun Taib berkata, keputusan itu selaras dengan manifesto PAS dalam pilihan raya umum lalu untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan al Quran dan as Sunnah.
Sehubungan itu, beliau meminta para pegawai agama mengemukakan cadangan melalui kertas kerja dalam bentuk yang tersusun termasuk peruntukan perbelanjaan ke arah menaikkan taraf mereka untuk dibincangkan dalam mesyuarat Exco.
"Kalau boleh selesai segera, kita selesai segera," ujarnya pada majlis perjumpaan anjuran Persatuan Pegawai Tadbir Agama negeri di sini, baru-baru ini.
Katanya, menjadi dasar kerajaan negeri untuk melaksanakan agama dalam semua jabatan kerajaan dengan menjadikan Islam memerintah, bukannya Islam yang diperintah sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
"Dalam pelaksanaan syariah, kita mahu ia dihayati oleh semua jabatan dan agensi kerajaan dalam semua aspek," ujarnya.
Katanya, kerajaan PAS negeri akan mengembalikan Islam sebagai pentadbir dalam semua perkara bukannya Islam ditadbir yang diamalkan oleh pemerintah sekular.
"Kalau Islam ditadbir, ikut suka orang yang memerintah, Islam direndah-rendahkan," ujarnya.