IPOH, 25 Feb (Hrkh) - PAS Negeri Perak melahirkan rasa dukacita terhadap warga bandaaya Ipoh yang terpaksa menghadapi kesulitan akibat berlakunya gangguan bekalan air.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Lujnah Alam Sekitar dan Perumahan Badan Perhubungan PAS Negeri, Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik, dalam satu kenyataan akhbarnya kepada Harakah.
Menurut beliau, pimpinan PAS Negeri turut melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana dasar pembangunan Barisan Nasional (BN) yang tidak seimbang dan rakus telah menyebabkan berlakunya masalah tersebut.
"Kita difahamkan kira-kira 38 peratus penduduk sekitar Bandaraya Ipoh terpaksa menghadapi kesulitan akibat gangguan bekalan air," katanya.
Beliau turut mempersoalkan projek Lebuhraya Simpang Pulai- Cameron Highland yang dikatakan telah mendapat kelulusan dari pihak EIA boleh membenarkan 4.5 juta meter padu tanah `dimuntahkan' ke dalam kawasan tadahan air di sekitar Ulu Kinta.
Sejumlah tanah yang begitu besar jumlahnya sebahagiannya dialirkan mencemari Sungai Kinta sehingga menyebabkan logi penapis air menjadi logi penapis tanah.
Apa yang berlaku itu merupakan punca menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di kawasan tersebut dan perkara itu perlu diatasi segera serta mereka yang terlibat mesti diberikan perkhidmatan bekalan air melalui lori-lori Lembaga Air Poerak secara sistematik, katanya lagi.
"Pimpinan PAS Negeri Perak menmuntut supaya pimpinan BN khususnya Menteri Kerjaraya, Dato' Samy Vellu dan Menteri Besar Perak, Dato' Sri Tajul Rosli Ghazali, memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negeri ini dan membuat pengakuan supaya peristiwa sebegini tidak aklan berulang lagi," tambahnya.
PAS Negeri Perak turut meminta Kerajaan Negeri memberikan ganti rugi yang berpatutan dan sesuai kepada mereka yang terlibat kerana terpaksa menghadapi masalah gangguan bekalan air.