Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

AKHIRNYA ASTORA AKUR……
(Reaksi kepada Debat Utusan Malaysia 18/2/2000)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca,

Telah agak lama saya menyepi diri kerana ada tugas-tugas lain yang lebih penting daripada melayani kerenah Astora. Maka itu, saya tidak membuat ulasan terhadap tulisan beliau yang semata-mata menyentuh perbalahan politik semasa, tetapi apabila ia menyentuh hukum-hakam Islam yang diselewengkan, maka saya tidak terlepas daripada tanggungjawab membetulkannya setakat kemampuan yang saya miliki. Saya bukan orang politik dan tidak berhasrat mencari kedudukan politik, tetapi saya fikir mengasingkan diri daripada senario politik semasa akan merugikan umat Islam, kerana tanpa penglibatan pendakwah Islam dalam senario politik menyebabkan umat Islam akan sentiasa tertindas dan teracu dengan acuan dasar yang asing daripada Islam.

Pembaca Utusan Malaysia (UM) edisi Jumaat bermula 11/2/2000 dihidangkan dengan beberapa ruang baru kendalian Astora Jabat. Menurut Astora, ruang yang dijangka akan hangat ialah ruang Debat.

Buat kali pertama Astora menyiarkan tulisan saya yang telah dihantarkan kepada surat khabar itu sejak Ogos tahun lepas lagi dan pada Jumaat 18/2/2000 Astora menjawab semula kritikan saya yang tersiar seminggu sebelumnya.

Tidak cukup ruang

Atas alasan tidak cukup ruang, rencana sanggahan saya itu tidak pernah disiarkan sebelum ini, namun ruang untuk penulis-penulis yang sehaluan dengannya diberikan walaupun antara pandangan mereka itu ada yang bertentangan dengan hukum Islam dan memaparkan kejahilan yang jelas. Saya tidak pertikaikan ruang yang diberikan kepada Prof. Syed Hussain Alatas umpamanya, kerana beliau merupakan tokoh yang sejak lama mempunyai `nama’ (namun begitu, saya pernah menyanggah pandangan beliau tentang sekularisme tetapi tidak disiarkan juga). Tetapi apa yang membuktikan bahawa UM bukanlah sebuah media yang telus sebelum ini, (sekarang dan akan datang belum tentu) ialah apabila beberapa penulis yang tidak mempunyai `nama’ pun sebelum itu (yang sama kerdil macam saya) diberikan ruang untuk menyatakan pandangan yang jelas nampak jahil di kalangan pengkhusus pengajian Islam. Antara mereka itu sebagai contoh yang membuktikan UM mengamalkan dasar buka pintu hanya kepada idea penyokong ialah penyiaran rencana-rencana oleh Ab. Jalil Aboo Backer, Tuan Ismail Tuan Soh dan beberapa penulis yang seolah-olah satu gerakan untuk memecahkan satu taboo yang mereka namakan sebagai `monopoli ulama terhadap pemikiran Islam umat Melayu’. Sejak itulah munculnya grafiti-grafiti anti-ulama (ULAMA PENIPU dsb.) di merata tempat di tanah air kita ini.

Demikianlah alasan Astora, tidak cukup ruang. Namun setelah cabaran demi cabaran dibuat oleh para pembaca sendiri, akhirnya Astora terpaksa akur, alhamduliLlah. Tentang pemberitahuannya bahawa rencana saya yang mempertikaikan sumpah dengan al-Quran itu telah disiarkan dalam Utusan Melayu (jawi) itu tidaklah cukup sebagai bukti ketelusan UM, kerana akhbar jawi itu –seperti disedari umum- tidaklah melata dan macam akhbar `cicit nyamuk’, lebih-lebih lagi medan pertarungan kita ialah UM, bukannya akhbar jawi itu.

Buruk sangka

Astora menasihati saya supaya menghapuskan mentaliti berburuk sangka kepadanya, yang melengah-lengahkan penyiaran rencana-rencana sanggahan. Terima kasih di atas nasihat dan peringatan itu. Saya juga acap kali menasihati Astora, tetapi setakat ini tiada sambutan langsung. Mungkin beliau rasa tidak perlu dinasihati, hanya beliau yang boleh menasihati.

Tentang mentaliti berburuk sangka yang Astora minta saya buangkan, alangkah baiknya jika beliau sendiri sebelum menulis apa-apa rencana tentang musuh politik pihak yang beliau sokong itu, beliau mengamalkan terlebih dahulu nasihatnya itu. Kerana beliau sendiri telah beberapa kali mendakwa mengaji agama di peringkat tinggi sehingga memperolehi beberapa ijazah dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Tetapi apakah para pembaca tidak perasan manhaj (metodologi) penulisan Astora yang hampir penuh dengan mentaliti buruk sangka dengan mambuat tafsiran sendiri yang negatif terhadap kenyataan-kenyataan musuh politik tuannya, bahkan kadang-kala lebih daripada buruk sangka iaitu mengadu domba dan fitnah. Siapa tidak tahu tentang adu domba beliau lakukan terhadap Dr. Haron Din dan Dato’ Nik Aziz tentang isu carut yang diada-adakan ? Siapa tidak membaca tentang adu domba Astora di antara para pemimpin parti Islam khususnya? Siapa tidak sedar fitnah Astora terhadap Dr. Haron Din dalam isu jampi, dalam keadaan beliau tidak memahami hakikat jenis perkhidmatan perubatan Dr. Haron yang telah banyak memberi sumbangan kepada Islam di Malaysia khususnya? Siapa pula tidak ingat fitnah Astora terhadap Dr. Yusuf al-Qaradawi, (seorang ulama yang amat sederhana pandangannya dan dikenali di seluruh dunia) tentang fatwa berkenaan tuduhan zina/liwat tanpa saksi, fitnah amat berat terhadap Imam al-Awza`ie sebagai pereka hadis murtad, fitnah Saydina `Umar sebagai mengubah hukum hudud potong tangan pencuri dan fitnah paling besar ialah mengatakan Nabi s.a.w. tidak melaksanakan perintah yang terdapat dalam al-Quran berkenaan hukum zina! Para pembaca yang neutral boleh menilai sendiri mana yang lebih berat antara sedikit buruk sangka yang berpunca daripada sikap Astora sendiri yang berlengah menyiarkan rencana sanggahan, dengan adu domba dan fitnah-fitnah berat yang Astora lakukan terhadap beberapa ulama besar Islam sehingga kepada Nabi s.a.w. sendiri. Tetapi Astora seolah-olah menjadi cermin hanya kepada orang lain tidak kepada diri sendiri. Sebab itu beliau tidak nampak kesilapan dirinya yang seperti ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul. Cuba kalau Astora tidak menulis rencana berunsur tafsiran negatif, buruk sangka, adu domba dan fitnah kepada musuh-musuh pemikirannya, apakah beliau akan dikecam atau disanggah oleh pembaca? Astora persis bekerja keras menyuapkan pemikiran terpandunya ke dalam otak pembaca akhbar perdana itu, tetapi tidak bersedia menerima kritikan dan luahan semula pembaca yang bervariasi itu. Maka kritikan yang kurang upaya dijawab dikatakan buruk sangka, hukuman, hasutan dan fitnah. Kalau tidak mahu diburuk sangka, dihukum, dihasut dan difitnah janganlah memburuk sangka, menghukum, menghasut dan menfitnah. Itulah lumrah alam dan sunnatuLlah pada manusia yang mempunyai akal dan nafsu.

Penyebaran e-mel

Astora mendakwa bahawa tulisan-tulisan saya tidak dihantar sendiri oleh saya kepada beliau tetapi melalui pembaca lain. Ini satu dakwaan untuk memutarkan fakta. Saya sendiri menghantarkan rencana sanggahan pertama saya itu kepada UM sekitar Ogos 1999 yang lalu. Selepas itu saya juga menghantar kepada beliau melalui e-mel salinan rencana-rencana sanggahan yang berikutnya selepas ianya disiarkan dalam laman parti-pas.com (yang terbuka kepada pihak yang belum pasti sealiran dengan mereka). Setelah beberapa rencana yang saya hantarkan tidak pernah dijawab secara langsung (kecuali ada sedikit secara tidak langsung dalam Bicara Agama), maka saya rasa tiada faedah lagi saya meneruskan usaha itu. Langkah bijak ialah penyebaran melalui e-mel yang amat terhad itu, namun tidak semestinya saya yang lakukan semuanya. Kalau Astora mendakwa ramai pembaca menyokongnya, tidak kurang juga saya, khususnya mereka yang memiliki internet. Jadi mereka itu tidak berpuas hati dengan sikap Astora yang terlalu bias. Mereka pun ada idea bagaimana hendak melawan ketidakpuasan hati mereka terhadap Astora.

Dari aspek lain, adakah menghantar e-mel kepada orang yang mendedahkan alamatnya kepada umum menjadi satu kesalahan? Kalau mereka itu tidak sudi menerima mesej, kenapa didedahkan alamat mereka? Dalam masa yang sama mereka menyuap pembaca MM dengan idea-idea mereka dengan restu Astora, yang kadang-kadang idea itu amat menghiris hati muslim yang sejati (seperti satu e-mel yang mengatakan tiada nas dalam al-Quran yang menyuruh wanita bertudung).

Agaknya sebagai langkah pencegahan dari pihak Astora daripada penyebaran e-mel tersebut, maka akhir-akhir ini tidak disiarkan lagi alamat e-mel mereka yang hanya berminat ideanya dibaca dan diterima pembaca tetapi pengecut untuk menerima kritikan pembaca. Itulah lambang ketertutupan minda mereka.

Ilmu mantiq

Astora berkata pendusta agama akan masuk neraka. Itu kata Astora, bukan kata saya. Saya cuma kata Astora Pendusta Agama berdasarkan bukti dan hujah yang berpuluh jumlahnya, yang saya kumpulkan dalam beberapa siri yang disiarkan dalam laman parti-pas.com (klik dan lihat arkib berita lepas).

Kalau kita belajar ilmu mantiq, `Astora Pendusta Agama’ itu dipanggil muqaddimah shughra (pembayang), `Pendusta agama masuk neraka’ itu pula dipanggil muqaddimah kubra (pengukur), manakala kalau nak dikatakan `****** masuk neraka’ itulah dinamakan natijah (keputusannya). Semua pembaca memahami bahawa saya tidak pernah datangkan muqaddimah kubra dan natijah itu, tetapi Astora telah pun membawa muqaddimah kubranya. Tentang natijahnya, terpulang kepada beliau, tiada kena mengena dengan saya sebab itu bukan tugas saya. Kalau Astora takutkan natijah itu, janganlah beliau termasuk dalam muqaddimah shughra sejak awal-awal lagi.

Jadi selewengkan fahaman, lalu menuduh saya membuat hukuman. Saya tidak menghukum Astora, tetapi saya membuat kesimpulan yang dijadikan muqaddimah shughra berdasarkan bukti yang semua pembaca tahu. Dari segi prinsip logikal (mantiq) apabila muqaddimah shughra dicampur dengan muqaddimah kubra, ianya melahirkan natijah hasil gabungan dua muqaddimah itu, tetapi ia tidak semestinya betul. Sebab itu kita katakan akal (logik) itu tidak semuanya betul, maka ia perlu dibimbing oleh wahyu Allah. Pendusta agama tidak semestinya masuk neraka jika dia sempat bertaubat sebelum mati, seperti mana manusia tidak semestinya makan rumput oleh hanya kerana manusia itu makan lembu yang telah makan rumput.

Masalah tidak memahami ilmu mantiq inilah yang menyebabkan berlarutannya isu kafir mengkafir. Tiada siapa yang mengesahkan ahli-ahli sebuah parti politik itu sebagai kafir. Cuma dikatakan parti itu tidak menjalankan sebahagian hukum Allah sebagaimana dituntut Islam dan cuba menghalang pihak lain yang hendak memperkanunkannya. Itu hanyalah muqaddimah shughra yang tidak semestinya melahirkan natijah. Kenapa ahli-ahli parti itu yang tidak memahami ilmu mantiq ini bersusah payah untuk mensabitkan natijah itu? Lepas itu menuduh orang lain membuat tuduhan bahawa merekalah natijah itu. Inilah sebenarnya hakikat punca salah faham yang berlarutan itu.

Bermentaliti Khawarij

Seterusnya Astora menyebut, “Tidakkah penulis ada hak untuk tidak peduli kepada orang berpendidikan agama yang bermentaliti seperti Khawarij dan ghairah mahu membuat hukum terhadap orang lain…” Saya akur bahawa Astora ada hak 100% untuk tidak pedulikan saya dan saya tidak boleh ambil apa-apa tindakan terhadapnya. Sebab itu saya tidak berkecil hati sedikit pun walau Astora tidak pedulikan saya. Dalam keadaan saya tidak berkuasa apa-apa pun, akhirnya beliau siarkan dan pedulikan juga. Entah mengapa… tapi saya tetap menyambutnya dengan baik dan ucapkan terima kasih kepada Astora. Semoga muzakarah kita yang sihat akan berterusan dan para pembaca menjadi pengadilnya. Saya tidak mahu berdebat, kerana bukan tujuan saya untuk mencari kemenangan, tetapi saya mencari taufik Allah. Orang berdebat biasanya mahu cari kemenangan walau apa keadaan sekalipun.

Ungkapan “…bermentaliti seperti Khawarij…”itu pada saya satu hukuman juga, sedangkan Astora sebelum ini mengecam orang yang membuat hukuman pada orang lain. Maka di sini kecamannya itu mengena dirinya sendiri.

Dari sudut yang lain, apakah Astora sudah lupa bahawa dalam Bicara Agamanya yang bertajuk `Jangan hukum sembarangan’, beliau bergantung pada satu artikel oleh Muhammad Azam Mohd Adil dalam buku `Hukum Islam Semasa Untuk Masyarakat Islam Malaysia Yang Membangun’ (Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya). Astora amat bersetuju dengan artikel itu, yang mengandungi pendapat puak Khawarij (Azariqah) yang mendakwa hukum rejam ke atas penzina muhsan tiada dalam Islam. Astora bersetuju betul dengan Khawarij ketika itu dan menjadikan artikel itu sebagai hujah bahawa beliau tidak keseorangan dalam memaparkan pemikiran Islam `gaya moden’, bahkan ada pensyarah universiti yang sependapat dengannya. Persoalannya, kenapa dalam menjawab kritikan saya sebelum ini, Astora menggambarkan saya bermentaliti Khawarij, dengan segala sikap yang tidak baik itu? Maka Astora didapati tidak konsisten dalam pendirian, bercelaru dalam pandangan.

Qarinah baca niat

Niat di hati seseorang memang tidak boleh dibaca oleh orang lain, kerana itu termasuk dalam perkara ghaib. Tetapi kadang-kadang niat seseorang itu boleh dibaca berdasarkan qarinah (isyarat) walaupun dia menafikannya. Pengamal undang-undang selalunya tahu hal ini, apatah lagi pengamal undang-undang Islam. Dalam masalah untuk menentukan sama ada sesuatu pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja atau tidak, qarinah ini akan diperhatikan. Alat yang digunakan untuk membunuh menjadi qarinah di sini. Jika alat yang digunakan itu adalah benda keras seperti kayu, besi, peluru atau tajam bermata atau runcing seperti pisau, pedang, lembing dsb, maka pembunuhan itu adalah dengan niat, walaupun dinafikan oleh tertuduh. Jika alatnya tumpul, kecil, lembut dan tidak melukakan seperti pen, sebuah buku, penumbuk (tangan), maka hakim akan bacakan hukuman sebagai membunuh tanpa niat walaupun dipertikaikan oleh pihak mangsa yang tidak berpuas hati. Itulah tatacara qadha’ syar`ie dalam masalah qisas.

Jadi niat Astora tidak boleh dibaca oleh sesiapa, tetapi qarinah amat banyak untuk membuktikan niat beliau seperti didakwa oleh lawannya. Dengan qarinah itu Astora tidak berupaya lagi menafikan dakwaan lawannya sebagaimana si pembunuh dengan alat tajam dan keras tadi tidak boleh lagi menolak keputusan hakim bahawa pembunuhan yang dilakukannya adalah dengan niat. Itulah antara yang dinamakan ilmu fiqah. Sebelum ini pun, dalam membicarakan tentang hudud, Astora banyak sekali menyebutkan pasal qarinah itu, jangan lupa cepat sangat.

Siar tanpa edit

Astora berjanji tidak akan mengedit lagi tulisan saya selepas ini sebelum ianya disiarkan. Kita berpegang kepada janji itu supaya tulisan saya itu tidak disalahfahamkan. Apabila tulisan pertama saya disiarkan, ianya dipotong hampir 20% termasuk nama-nama kitab rujukan dan kritikan saya terhadap hujah Astora yang agak menyimpang dari aspek pengistilahan Arab-Melayu berkenaan kes Majlis Tahkim antara Mu`awiyah dan Saydina Ali. Namun ini saya boleh maafkan kerana masalah ruang seperti kata Astora.

Tetapi tujuan Astora tidak akan memotong tulisan saya pada masa akan datang ialah untuk dipertonton oleh pembaca bahawa tulisan saya itu “… penuh dengan bermacam-macam hukuman, hasutan dan fitnah…” Rupanya niat Astora tidak baik juga di sini, bukan kerana kejujuran maka tulisan saya akan disiarkan tanpa edit, tapi kerana hendak memberitahu kepada pembaca kononnya saya ini tidak baik akhlaknya, suka menghukum, menghasut dan menfitnah. Biarkan pembaca menjadi pengadil.

Topik perbahasan sebenar

Setelah panjang lebar membicarakan soal pinggiran topik perbincangan, dengan bicara yang lebih bersifat sentimen dan perasaan, barulah Astora memasuki topik perbahasan yang sebenar iaitu berkenaan apakah hukum bersumpah dengan al-Quran itu sah atau sebaliknya (tidak sah dan tidak harus).

Mula-mula sekali Astora mengatakan beliau tidak keliru, tapi sayalah yang keliru tentang perbezaan Islam dan pemikiran Islam, juga antara hukum Islam dan hukum ijtihad ulama Islam. Satu perkara yang pasti ialah Astora menamakan kolumnya dalam MM sebagai Bicara Agama. Apabila dikatakan `agama’, sudah tentu difahami umum orang Melayu Islam sebagai `Islam’, kerana agama di sisi Allah hanyalah Islam (Ali `Imran: 19). Jadi Bicara Agama itu umpama Bicara Islam. Kalau Astora bezakan antara Islam dan pemikiran Islam, sepatutnya beliau namakan kolum itu sebagai `Bicara Astora’ umpamanya (kerana Astora sebagai seorang `pemikir’ Islam gaya moden) supaya kekeliruan pada nama kolum itu tidak membabitkan pembaca. Jadi Astoralah yang mula-mula sekali mengelirukan dengan nama kolum Bicara Agamanya itu.

Menoleh ke satu sudut lain, apakah betul Astora membezakan antara Islam dan pemikiran Islam, antara hukum Islam dan hukum ijtihad ulama Islam? Apa yang saya lihat Astora telah mencampuraduk dan mengelirukan antara dua perkara itu sehingga ada hukum Islam yang datang dari Allah melalui wahyu itu pun, dianggap hukum pemikiran ulama Islam. Sebab itu Astora berani mengatakan sah bersumpah dengan al-Quran, walaupun hukum wahyunya jelas mengatakan tidak harus bersumpah dengan selain Allah s.w.t. dalam bentuk larangan yang keras (haram). Hukum wahyu tersebut datang kepada kita melalui mulut Nabi s.a.w. dalam bentuk hadis yang telah dipastikan sahih oleh ahlinya, Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain seperti yang terdapat dalam kitab Riyadhu al-Salihin (Imam al-Nawawi) dan lain-lain. Oleh kerana Astora menganggapnya sebagai hukum pemikiran ulama Islam, maka beliau berani mencabar larangan Nabi s.a.w. itu lalu mengatakan sah bersumpah dengan al-Quran.

Risiko yang ditanggung umat Islam yang membaca kolumnya itu ialah perlanggaran hukum Islam. Hukum Islam (bukan hukum ulama) melarang bersumpah dengan selain Allah, tetapi Astora kata boleh bersumpah dengan selain Allah (al-Quran), maka sesiapa yang mengikut Astora akan melakukan perlanggaran hukum yang mengakibatkan dosa. Bukankah itu kekeliruan namanya? Siapakah yang keliru antara saya dan Astora? Itu baru satu contoh masalah sumpah dengan dengan al-Quran, dalam masalah lain yang juga jelas hukum Islamnya (bukan hukum ijtihad ulama) pun, Astora berani mempertikaikannya atas alasan itu hanyalah hukum ijtihad ulama (pemikiran Islam). Cuba para pembaca kaji semula tulisan-tulisan Astora dalam masalah yang ada nas (hukum Islam/wahyu) yang jelas seperti dalam masalah tudung wanita (aurat rambut), hudud zina, tuduhan zina tanpa saksi, murtad, maka pembaca yang mendalami al-Quran dan hadis akan mengenali siapa Astora. Beliau menganggap hukum dalam masalah itu semua sebagai pemikiran Islam, sebab itu beliau berani melanggar hukum Islam (bukan hukum ulama) dalam masalah-masalah yang tersebut, dengan menyuap khalayak pembaca dengan fahaman (bahkan hukum) yang salah. Maka tidak hairanlah jika muncul selepas itu penulis picis yang jahil tapi berani mendakwa hukum bertudung tidak disebut dalam al-Quran, hukum murtad tiada dalam al-Quran (maka ianya tiada dalam Islam), akhir sekali semua hukum yang tidak menyelerakan mereka tiada dalam al-Quran !

Mungkin Astora merasakan tahap celik al-Quran dan hadis di kalangan orang Malaysia masih rendah, maka dia bebas memperkatakan semua hukum walaupun bercanggah dengan nas al-Quran atau hadis atas alasan hanya mempertikaikan pemikiran ulama Islam, bukannya hukum Islam. Jika itulah strateginya, maka percaturan Astora adalah silap kerana Allah s.w.t. tidak akan membiarkan agama-Nya diubah-ubah walau di mana sekalipun.

Kita boleh terima jika Astora hendak mempertikaikan tentang pengistilahan parti Islam, negara Islam, perubatan Islam umpamanya, kerana hal-hal tersebut tidak diwahyukan dan memang benar ianya adalah produk pemikiran umat Islam. Kalau hendak mempertikaikan aspek pengistilahan itu, kita boleh untuk tidak memakai nama Islam padanya. Biarlah tidak dinamakan parti Islam pun, asalkan kita tahu ianya parti yang jelas hala tujunya untuk mendaulatkan Islam ajaran Nabi s.a.w., biarlah tidak dinamakan negara Islam pun, asalkan negara yang dimaksudkan itu jelas meletakkan al-Quran dan hadis sahih sebagai sumber dalam segala bidang, bukan dalam bidang tertentu sahaja, biarlah tidak dinamakan perubatan Islam pun, asalkan ianya jelas berteraskan ikhtiar manusia yang tidak bercanggah dengan syariat Islam untuk mendapatkan syifa’ (penyembuhan) daripada Allah s.w.t. semata-mata. Biarkan Astora berbicara dengan panjang lebar tentang perkara yang memang tiada hukum Islam (nas) terdahulu itu, atas alasan `pemikiran Islam’nya. Tetapi kita tidak akan membiarkan beliau berbicara sesuka hati dalam masalah-masalah hukum Islam yang asalnya tidak diperselisihkan (ijma’ ulama muktabar dahulu dan sekarang kerana kejelasan nasnya), lalu beliau datang untuk mengatakan ada `perselisihan ulama’. Sekali lagi, siapakah yang mengelirukan antara saya dan Astora?….

Hentam secara hikmah?

Astora seterusnya menulis, “Bukan niat penulis untuk menghentam Nik Aziz atau Dr. Abdul Rahman Ahmad atau sesiapa jua. Hentam orang berdosa apatah lagi ulama. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh penulis hanya menegur keterlanjuran ulama secara hikmah….”

Seperti dinyatakan sebelum ini, niat seseorang tidak boleh dibaca oleh orang lain dan seseorang itu bebas mendakwa sama ada berniat atau tidak, tetapi qarinah tetap membantu dalam pembacaan niat tersebut. Alangkah baiknya jika Astora menyedari lebih awal bahawa perbuatan menghentam orang (terutama ulama) sama ada dengan tangan atau ucapan atau penulisan itu adalah berdosa. Orang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik pun boleh terasa bagaimana hebatnya hentaman Astora yang penuh sinis, menghiris, sindir, putar belit, tafsir negatif, fitnah meluka dalam penulisannya terutama terhadap pemimpin dan ulama sebuah parti yang dimusuhinya. Apakah itu namanya teguran secara hikmah? Namun Astora terus berhak untuk mendakwa tidak berniat menghentam… dan teruskanlah dengan taktik itu. Tetapi kalau sudah sedar ianya berdosa, maka ubahlah taktik lama itu. Jangan bila orang lain terpaksa menghentam kita balik, baru kita sedar betapa berbisanya hentaman itu lalu kita katakan ianya berdosa (bila dilakukan oleh orang lain). Sentiasalah cerminkan diri dulu sebelum menulis berkenaan orang lain.

Hadis sahih ahad

Dari segi topik perbahasan yang asal iaitu tentang hukum sumpah dengan al-Quran, Astora mengakui saya berhak mempertikainya berdasarkan hadis sahih yang ahad, tetapi menyoal semula saya dengan soalan yang tiada kaitan dengan topik perbahasan asal itu, iaitu apakah saya boleh menerima ulama yang `menyeleweng’ (pada pandangan politik celupan agama Astora) dengan isu-isu (carut, jaga babi, syariat dan syiar dsb.) yang hampir semua rakyat Malaysia tahu punca sebenarnya, tetapi diputar belit dan diulang-ulang sebagai peluru untuk membuat hentaman politik. Jadi tidak perlulah saya membuang banyak masa untuk menjawab soalan Astora yang tiada kena mengena dengan tajuk asal itu. Kalau saya hendak layan, saya boleh tanya balik Astora, apakah saudara boleh menerima dan membela orang-orang yang bersepakat membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi kepada saudara Islam mereka yang lain, orang yang membenarkan pesta arak alaf baru, orang yang mengatakan hukum rejam kepada penzina adalah primitif, orang yang mengatakan negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan dan macam-macam orang yang dibela dan disanjung Astora lagi. Saya tidak paksa Astora jawab soalan-soalan di atas, kalau beliau hendak jawab juga pun, kita sudah dapat ramal terlebih dahulu bentuk jawapannya berdasarkan format-format jawapannya yang lepas.

Cuma saya tertarik dengan ungkapan “…hadis sahih yang ahad…” itu, seolah-olah masih ada kelonggaran sama ada hendak terima atau tidak hukum wahyu (haram bersumpah dengan selain Allah). Tergambar seolah-olah hadis yang sahih semata-mata belum cukup sebagai sumber hukum Islam jika belum sampai darjat mutawatir. Maka hadis sahih ahad, pada fahaman Astora, belum cukup kuat untuk menghukumkan sesuatu, walaupun jika dibuat hipotesis ternyata lebih daripada 80% daripada Syariat Islam akan terbuang jika hadis sahih ahad tidak dipakai. Saya akan membahaskan tentang hadis ini di tempat dan masa yang lain secara panjang lebar, insyaAllah.

Berbohong dan berdusta

Walau bagaimanapun Astora belum dapat menerima kata-kata Dr. Abdul Rahman Ahmad (Ketua Unit Halaqah) bahawa bersumpah dengan al-Quran tidak wujud dalam kitab fiqah. Terpulanglah kepada Astora, tetapi bagi saya, kata-kata itu bermakna sumpah dengan al-Quran tidak wujud sebagai satu keharusan dalam ilmu fiqah yang boleh dijadikan amal ibadat. Bukannya susah untuk memahaminya jika Astora tidak bersentimen kepuakan, tetapi Astora nampaknya terus menuduh Dr. Abdul Rahman (yang berada di blok pembangkang) sebagai jahil kerana malas membaca dan mengkaji. “Tidakkah lebih baik orang belajar agama tetapi malas membaca dan mengkaji, senyap saja kerana dalam hal-hal agama jika bercakap tidak betul boleh dianggap berbohong dan berdusta”, Astora mengakhiri jawapan di ruang Debat bahagian pertamanya.

Yang menarik perhatian saya ialah “…dalam hal-hal agama jika bercakap tidak betul boleh dianggap berbohong dan berdusta.” itu. Di sini Astora mengatakan kepada dirinya sendiri secara tidak disedari. Bukankah elok jika Astora tidak tahu ada nas yang melarang bersumpah dengan selain Allah, senyap saja dan jangan berkata sumpah dengan al-Quran itu sah. Bukankah elok jika Astora tidak tahu sangat tentang selok-belok perundangan hudud, senyap saja dan jangan berkata Saydina `Umar ubah hukum potong tangan pencuri yang terdapat dalam al-Quran, jangan berkata Nabi s.a.w. sendiri tidak melaksanakan hukum zina yang terdapat dalam al-Quran. Tidakkah lebih baik jika Astora tidak mengetahui nas tentang hijab (menutup aurat), senyap saja dan jangan berkata ada pendapat ulama yang mengatakan tidak berdosa langsung jika tidak menutup rambut bagi wanita Islam. Memang lebih baik Astora senyap saja, tapi oleh kerana agaknya beliau rasa beliau lebih tahu segalanya, maka beliau selalu bising dan kontroversi. Oleh kerana Astora kata bahawa bercakap dalam hal-hal agama secara tidak betul boleh dianggap berbohong dan berdusta, maka tidak salahlah saya mendakwa `Astora Pendusta Agama’ berdasarkan hujah-hujah saya tentang kejahilan Astora dalam beberapa perkara tetapi berbicara juga dalam perkara itu.

Sebelum saya mengakhiri, sukalah saya mengingatkan Astora supaya berdebat (pada saya bermuzakarah) perkara-perkara yang berkaitan topik asal sahaja. Tidak perlu membuang banyak masa membincangkan hal-hal lain daripada topik atau hal-hal di pinggiran topik itu, kerana ia tidak mawdhu`ie (objektif) dan tidak menyerlahkan natijah yang diharapkan, sebaliknya akan menjadi tidak berkesudahan. Di sinilah pentingnya penggunaan ilmu jidal yang dipelajari dalam bidang fiqah perbandingan, di mana titik perbincangan (perbalahan) dipastikan dan dimurnikan terlebih dahulu, yang dinamakan dalam istilahnya sebagai Tahrir Mahalli al-Niza’.

Jika kita membahaskan titik bengit di pinggiran topik asal, maka perbahasan itu tidak akan meluahkan resolusi yang baik dan jelas, sebaliknya ia akan dipengaruhi oleh sentimen perasaan untuk menang. Mungkin inilah sebabnya Astora tidak atau kurang berjaya bila berhadapan dengan audiens (pelajar IPT), lalu mereka menyifatkan Astora sebagai memutarbelitkan fakta. Malangnya Astora tidak nampak kesilapan dan kelemahan dirinya, sebaliknya mengadu kepada pembaca akhbar Utusan (Jumaat, 18/2/2000) bahawa “kehidupan kampus dalam bahaya”. Dua hari selepas itu (Ahad, 20/2/2000), Astora mengadu lagi kepada pembaca dalam akhbar yang sama tentang kesengsaraannya berhadapan dengan masyarakat kampus UUM, Sintok seumpama “mengharungi lautan yang penuh dengan jerung-jerung yang ganas seorang diri”. Menurut kata Astora golongan yang tidak setuju dengannya hanya minoriti sahaja, tetapi pelik juga bagaimana Astora tidak mampu menangani golongan yang hanya minoriti dan seolah-olah telah semput dada menghadapi mereka sehingga terpaksa mengadu kepada para pembaca Utusan untuk mendapat sokongan baru.

Astora juga mesti ingat bahawa menjadi tugas setiap muslim itu menyeru makruf dan mencegah mungkar tanpa mengira siapa yang melakukannya. Jika kemungkaran itu datang dari pihak yang kita sokong, kita wajib juga menegur dan mencegahnya, jangan kita katakan itu tugas pembangkang. Jawapan Astora kepada penulis e-mel bertajuk `Astora perlu berlaku adil’ (MM, 13/2/2000) membuktikan bahawa Astora menjadi `pendusta agama’ demi semata-mata mencari makan, kerana menyerahkan tugas mencegah kemungkaran di pihak yang beliau sokong kepada pembangkang. Semoga Astora dan kita semua diberi taufik dan hidayat oleh Allah s.w.t. demi sebuah kehidupan yang kekal abadi nanti.

Semoga muzakarah kita pada masa akan datang akan lebih bermakna, lebih objektif, lebih menjurus kepada persoalan asal (bukan pinggiran) demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia khususnya. Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.

alimuda@hotmail.com

# Rencana ini juga akan dihantarkan kepada Astora untuk disiarkan dalam ruang Debat Utusan Malaysia.

# Seorang penulis memaklumkan tidak lama lagi sebuah rencana menyanggah Astora dan sekutunya tentang hukum murtad akan terbit.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com