UCAPAN YB DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI,
AHLI PARLIMEN PARIT BUNTAR
SEMASA MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG MEMINDA
AKTA INSTITUT TEKNOLOGI MARA 1976
TYDP, terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada TYDP yang telah memberi kesempatan kepada saya untuk sama membahas RANG UNDANG-UNDANG MEMINDA AKTA INSTITUT TEKNOLOGI MARA 1976. Saya juga ingin mengambil kesempatan keemasan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rangkaian manusia yang telah mengabdikan pemikiran, masa dan harta benda untuk meletakkan UiTM dalam kedudukannya sekarang. Kepada Ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor/Rektor/Pengarah, Pengurusan Kanan yang telah memberi khidmat bakti sejak dari awal penubuhan institusi ini pada tahun 1956 hinggalah ke hari ini. Kita ucapkan syabas moga-moga Allah memberkati usaha mereka.
Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya menganggap ITM adalah satu-satunya Institut pemangkin kemajuan kaum Bumiputera. Sebab itu Institut ini begitu hampir dengan kehidupan kita. Sebahagian daripada kita, walaupun tidak mempunyai pertalian langsung dengan Institut ini tetapi tetap mempunyai perasaan yang begitu sentimental terhadap universiti harapan kita ini. Lantaran itu saya perhatikan, berbeza dengan hari-hari sebelumnya, petak-petak kerajaan dan penyokong kerajaan di dewan yang mulia ini sekonyong-konyong dipenuhi oleh sebahagian besar ahli untuk bersama-sama menyertai perbahasan yang penting ini.
TYDP, saya suka memulakan pembentangan ini dengan ingin membentangkan sedikit senario dunia kini dalam mana UiTM dinaiktarafkan. Dunia sedang mengalami perubahan yang dahsyat yang digambarkan melalui pelbagai proses yang kini sedang mencorakkan dunia yang sepanjang masa dilanda perubahan. Globalisasi, liberalisasi, regionalisasi, struktur baru perhubungan antara negara, dunia IT tanpa sempadan, kesedaran tentang nilai intelek, innovasi dan berdaya cipta, kehidupan berteknologi tinggi, proses dehumanisasi, proses sekularisasi yang semakin mengganas adalah merupakan realiti dan cabaran yang secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi sebuah institusi yang namanya UiTM. Persoalan besarnya ialah samada UiTM mampu hidup dan berkembang dalam senario cabaran global dunia kini yang digariskan sebentar tadi.
Pada 26 Ogos 1999 pengumuman telah dibuat menaikkan status ITM menjadi UiTM. Perubahan nama sehingga kepada UiTM paling tidaknya telah berlaku sebanyak 4 kali. Diwaktu penubuhannya 1956, Institut ini diberi nama Dewan Latihan RIDA. Pada tahun 1965, nama barunya ditukar menjadi Maktab MARA. Pada tahun 1967, Maktab MARA bertukar menjadi Institut Teknologi Mara sehingga 26 Ogos 1999 perkataan Universiti menggantikan perkataan Institut. Sebenarnya, pengumuman terakhir yang dibuat di stadium ITM itu hanya merupakan paluan rebana menjelang pilihanraya. ITM telah pun diberi kuasa menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda dan menawarkan program peringkat Sarjana dan PhD melalui pindaan Akta ITM yang dibuat pada 17 Oktober 1996. Kepada sesiapa yang mengetahui, sebenarnya tidak ada keistimewaannya pengumuman di stadium itu.
Namun begitu, pengumuman yang dibuat oleh Presiden UMNO itu setidak-tidaknya mengubah pandangan masyarakat yang selama ini menganggap UiTM hanya mengendalikan pengajian dan menganugerahkan sijil di peringkat Diploma sahaja telah berubah. Di kalangan warga UiTM pula, pengumuman tersebut telah memberi mereka sedikit tolakan psikologi (psychological push) untuk menjadikan mereka lebih bermotivasi kerana kini berkhidmat dalam sebuah institusi pengajian yang bergelar “universiti”. Di kalangan para pelajar pula, anggapan bahawa mereka adalah siswa universiti sekurang-kurangnya meletakkan mereka dalam posisi duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan teman-teman sebaya yang telah dipilih mengikuti pengajian di IPTA atau di IPTS. Perubahan status ITM ini juga menjadikan setiap negeri mempunyai kampus universiti tersendiri disebabkan ITM mempunyai cawangan di kesemua negeri di Malaysia termasuk kampus-kampus kota (town campuses) mereka.
TYDP, rata-ratanya Akta Institut Teknologi Mara (Pindaan) 2000 yang sedang dibahaskan ini sekali imbas merujuk kepada pertukaran nama atau “nomenclature” dan perkara-perkara rutin yang berkaitan dengan perubahan status itu. Namun begitu, kepada mereka yang berminat tentang hal-hal yang terperinci, pertukaran nama ini mempunyai natijah dan implikasi yang tidak kurang hebatnya.
Dari tinjauan yang dibuat, agak jelas bahawa ITM belum begitu bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai institusi bertaraf universiti. Kemudahan-kemudahan asasi seperti ruang kuliah, tempat penginapan pelajar dan ruang kerja pensyarah didapati berada dalam tahap yang mendukacitakan. Pernah disatu ketika, kerana ketiadaan ruang kuliah, Stadium turut digunakan sebagai bilik kuliah. Ini termasuk juga salah satu kompleks membeli-belah di Shah Alam yang dijadiakn bilik kuliah oleh UiTM. Ada juga aduan yang menyebut sehingga koridor bilik kuliah pun dijadikan ruang kuliah. Entah atas pertimbangan apa Bangunan UMNO Shah Alam disewa untuk dijadikan ruang kuliah. Oleh kerana bangunan UMNO ini agak jauh dari Kampus Induk, pelajar-pelajar terpaksa diangkut dengan bas-bas dalam bilangan yang jarang mencukupi sehinggakan kelas-kelas berikutnya yang dijalankan di Kampus Utama terjejas kerana kelewatan pelajar yang berulang-alik itu.
Sehingga 30 September 1999 seramai 74,809 telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di ITM. 54, 528 (72.9%) daripada mereka adalah pelajar sepenuh masa, 7,517 (10%) Pendidikan Jarak Jauh, 4,385 (5.9%) Pengajian Luar Kampus, 444 (0.6 %) Program Pembelajaran Fleksibel, 2,298 (3.1%) Pusat Pendidikan Persediaan, dan 5,637 (7.5%) Kolej Bersekutu. Menjelang tahun ini, arahan telah dikeluarkan supaya UiTM mengambil 100,000 pelajar sekaligus menjadikannya Universiti Mega pertama di Malaysia.
Pengambilan pelajar yang tidak sepadan dengan kemampuan infrastruktur yang ada membuatkan pengurusan atasan UiTM menjadi serba salah . Tempat penginapan pelajar dalam 10 kolej kediaman di kampus yang sejak dulu lagi sesak dan tidak pernah mencukupi, kini bertambah sesak dan padat. Sebuah bilik yang sepatutnya menempatkan 2 orang pelajar kini menjadi seperti susunan sardin kerana bilik yang sama terpaksa menampung 4 hingga 6 orang pelajar. Tidak dapat tergambar di kepala kita, mahasiswa yang memerlukan masa-masa untuk bersendirian menelaah pelajaran terpaksa berkongsi dengan 4 orang siswa yang lain yang masing-masing mempunyai agenda harian tersendiri. Telah sampai ke pengetahuan kita, ada pelajar-pelajar yang memilih hidup sebagai setinggan menumpang belas ihsan teman-teman yang telah sedia tinggal di bilik-bilik asrama yang sememangnya telah sesak dan padat. Telah sampai ke pengetahuan kita juga surau-surau disekitar kampus juga menjadi rumah tumpangan oleh siswa yang terpaksa memilih untuk hidup dalam kkeadaan begini lantaran tidak ada pilihan. Mereka ini seolah-olah seperti petani-petani nomad di kawasan gurun.
Perangkaan terakhir menunjukkan 13,506 (50.5%) pelajar di kampus Shah Alam tinggal di luar asrama. Pelajar-pelajar luar kampus menghadapi masalah yang sama dan dalam banyak hal lebih serius lagi. Kesesakan rumah-rumah dan apartmen-apartmen yang disewa menjadikan kehidupan siswa-siswi sentiasa tidak selesa. Sewaan yang mahal, sistem pengangkutan awam yang lemah, kemudahan yang terhad memparahkan lagi darjah ketidakselesaan ini. Dalam keadaan ketidakselesaan inilah mereka meneruskan pengajian. Mana mungkin mereka mampu meningkatkan prestasi akademik seperti yang pernah dipolemikkan baru-baru ini.
Di kalangan tenaga pengajar pula, kita dapat saksikan ramai di antara mereka yang tidak diperuntukan ruang pejabat pun. Kalau ada yang bernasib baik memperolehi ruang sedemikian, keadaannya sangat menyedihkan. Sebahagian daripada mereka menyatakan malu jika sekiranya dikunjungi rakan sejawat yang mendapati keadaan mereka sedemikian rupa. Ada yang terpaksa menerima tamu di bilik-bilik teman sejawat yang berjawatan kerana bilik-bilik mereka lebih “presentable”(dengan izin).
Ketidakmampuan UiTM memainkan peranan sebagai institusi yang benar-benar bertaraf universiti tergambar melalui staf akademik mengikut kelulusan akademik tertinggi mereka. Mereka yang memiliki ijazah PhD hanya 208 (6.4%) , Ijazah Sarjana 1,773 (54.4%), Ijazah Sarjana Muda 1,077 (33.1%) dan yang selebihnya 200 (6.2%) lain-lain kelulusan. Daripada perangkaan ini, adalah jelas institusi yang kita sayangi ini akan sentiasa dibayangi oleh rasa rendah diri (inferiority complex) bukan saja di kalangan tenaga pengajar UiTM tetapi dalam hubungan dengan rakan-rakan dari 11 universiti awam yang lain di negara ini. Selain daripada itu, bagi tenaga pengajar yang memiliki ijazah pertama yang jumlahnya agak besar selamanya akan merasakan terpinggir dan kehilangan “self-esteem” lantaran dihimpit oleh perkataan “universiti” yang mungkin dipaksakan ke atas mereka. Mana ada Institusi dalam dunia mempunyai nisbah tenaga pengajar memiliki Phd sekecil ini sanggup menerima pakai perkataan “universiti” pada namanya.
Perangkaan ini dijangka tidak banyak berubah buat tahun-tahun terdekat ini. Ini disebabkan mereka yang memiliki Ijazah Sarjana atau yang lebih bawah daripada itu buat sekian lamanya terperangkap dalam zon istirehat (comfort zone). Kegawatan ekonomi yang melanda negara baru-baru ini, telah menjadikan sebahagian daripada tenaga pengajar UiTM melontar jauh hasrat untuk menyambung pelajaran lantaran tawaran ke arah itu tidak memberi keselesaan kepada mereka dan ahli keluarga.
Masyarakat ITM diberitahu, 70% daripada program yang bakal ditawarkan oleh UiTM adalah program bertaraf diploma dan bakinya 30% bertaraf ijazah. Saya tidak tahu model mana yang dijadikan ikutan bagi sesebuah universiti berwibawa yang menawarkan program dengan nisbah diploma dan ijazah sedemikian. Hal ini perlu penelitian yang lebih serius. Biasanya kredibiliti sesebuah universiti antara lain diukur melalui program Ijazah Petama dan Ijazah Lanjutan yang ditawarkan. UiTM yang memilih untuk tidak mengikuti norma ini dikhuatiri akan meminggirkan dirinya sendiri dalam arena pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Arahan supaya ITM mengambil 100,000 pelajar menjelang akhir tahun 2000 ini menjadikan para pensyarah UiTM sentiasa didesak dengan beban tugas menyampaikan kuliah hingga menjadikan mereka tidak tumpah seperti guru-guru di sekolah. Rata-ratanya mereka mempunyai tugas menyampaikan amanah ilmu 18 jam seminggu. Tugas mengajar mengambil sebahagian besar daripada masa bertugas mereka. Ini menyebabkan terabainya kerja-kerja penyelidikan, penulisan kertas-kertas ilmiah, kehadiran dalam sesi-sesi wacana dan sebagainya. Apalah ada kepada sebuah universiti, seandainya roh pusat pengajian tinggi seperti ini yang biasanya tertumpu kepada pelbagai penyelidikan, gerak kerja pencambahan fikiran, penghasilan pelbagai jurnal tidak terjelma daripada sebuah universiti yang dinamakan UiTM. Keadaan ini tidak dapat membantu melahirkan Universiti yang biasanya menjadi pusat pemangkin pembentukan idea baru dan penemuan-penemuan baru berdasarkan penyelidikan dan pengamatan yang dilakukan.
TYDP, UiTM telah menggariskan falsafah penubuhannya dengan nada yang begitu melapangkan dada kita semua. Institusi kesayangan kita ini memilih kenyataan falsafah penubuhannya sebagai, “Kepercayaan bahawa semua manusia mempunyai bakat, minat dan kecenderungan dan jika diasuh dan dilatih dengan sempurna melalui pemindahan ilmu pengetahuan dari mana-mana kebudayaan atau tamadun dunia secara terbuka serta melalui pemindahan dan penerapan nilai-nilai Islam, boleh berperanan dalam membangunkan diri, masyarakat dan negara”, Sementara itu, rakyat Bumiputera khasnya bertambah lebih selesa bila UiTM menggariskan misinya sebagai “Membangun generasi Bumiputera supaya menjadi profesional, berilmu, berinovasi, berdaya saing, bertakwa dan mampu menerajui pembangunan”. Keyakinan terhadap pentingnya nilai agama juga terus dibayangkan melalui 0bjektif Akademik UiTM, iaitu “….pendedahan kepada ilmu pengetahuan dari mana-mana tamadun secara terbuka serta penghayatan terhadap Islam,……”
Apa yang jelas kepada kita ialah Islam sebagai Ad-Deen telah dijadikan landasan meletak halatuju, mengurus dan mengendali, membimbing dan mengasuh siswa-siswi serta seluruh warga kerjanya. Kita berharap kenyataan-kenyataan ini tidak hanya cantik di atas kertas dan sedap di dengar oleh telinga tetapi pada pelaksanaannya niat murni itu tidak kesampaian lantaran input serta pengisian tidak mencerminkan insan bermartabat yang ingin dibentuk.
TYDP, Saya beranggapan falsafah dan misi ini mesti terlebih dahulu difaham dan dihayati oleh pimpinan tertinggi UiTM. Pejabat Canselori dalam sebarang tindakan mesti menunjukkan daya kepimpinan yang mencerminkan komitmen kepada pemahaman, penghayatan dan pelaksanaan yang total mengenai pelaksanaan Islam di kampus UiTM. Bila ini berlaku, tenaga pengajar, tenaga kerja pengurusan termasuk tenaga bantu dan siswa-siswi akan menjadi lebih terarah, terpandu dan terbimbing untuk melahirkan insan profesional bertakwa seperti yang difalsafah dimisi dan diobjektifkan oleh universiti ini.
Selain daripada pimpinan induk, saya merasakan peranan Pusat Pendidikan Islam (PPI) serta Pusat Khidmat Islam Bersepadu (PKIB) sepatutnya menjadi badan utama menggembeling tenaga yang ada untuk menentukan falsafah penerapan nilai-nilai Islam di kampus UiTM benar-benar menjadi kenyataan sehingga mampu melahirkan insan profesional bertakwa di kalangan siswa-siswi dan graduan universiti ini.
Selama ini, Pusat Pendidikan Islam hanya merupakan sebuah pusat kecil yang kian mengecut dan terpinggir. Pusat ini menawarkan program pengajian Islam secara silang fakulti (cross faculty) bagi mata-mata pelajaran Tamadun Islam dan Asia 1 dan 2 serta mata-mata pelajaran Islam yang bersesuaian dengan kehendak program pengajian sesebuah fakulti atau pusat. Selama ini, siswa-siswi diwajibkan mengambil mata pelajaran Islam sebanyak 12 kredit dan pelajar dikehendaki mengikuti mata pelajaran di sepanjang tempoh pengajian biasanya 6 semester. Ada cadangan untuk mengurangkannya menjadi 6 kredit dan diajar hingga ke Semester 3 sahaja.
Matlamat UiTM untuk mengeluarkan seramai mungkin graduan dalam masa yang singkat telah mengakibatkan pihak Universiti terpaksa mengambil langkah-langkah drastik iaitu dengan memendekkan tempoh pengajian menurut model IPTS daripada 4 tahun kepada kurang daripada 3 tahun. Ini dilakukan dengan mengurangkan jumlah kredit yang diambil oleh para pelajar sama seperti yang dilakukan oleh kebanyakan IPTS. Pengurangan jumlah kredit dan pemendekan tempoh pengajian mempunyai mangsanya yang tersendiri. Dalam hal ini, mata-matapelajaran pendidikan Islamlah yang biasanya terpaksa memberi laluan kepada matapelajaran-matapelajaran yang dianggap lebih fundamental atau asasi lagi. Ada cadangan supaya UiTM menggunapakai cadangan yang dibuat oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dalamana IPTS cukup setakat menawarkan 3 kredit matapelajaran Pengajian Islam ini. Soalnya adakah tindakan meminggirkan matapelajaran Islam ini konsisten dengan Falsafah, Misi dan Objektif Akademik UiTM yang disebutkan sebelum ini.
Sementara itu Pusat Khidmat Islam Bersepadu UiTM yang sepatutnya berperanan melahirkan persekitaran ilmu yang menyegarkan komponen kognitif dan affektif pelajar dan memberi rangsangan kepada penghayatan Islam sebagai AD-Deen sehingga ini belum berupaya menunjukkan kehadirannya di kalangan warga Universiti. Program ADASI (Agama dan Asas Sosial Islam) umpamanya buat masa ini tidak menonjol lagi. Program Bina Insan yang satu masa dulu bergerak merentasi siswa-siswi hingga ke peringkat tenaga pengajar dan tenaga kerja pengurusan kini sepi dan hampir berkubur. Program-program wacana dan percambahan minda yang mengupas isu-isu mutakhir dari pendekatan Islam kini tidak lagi kedengaran. Ada pihak yang mengatakan Pusat Khidmat Islam Bersepadu ghairah setakat memungut zakat di kalangan warga kampus sahaja di samping memberi khidmat kaunseling yang begitu terhad.
TYDP, Pada hemat saya, rancangan melahirkan insan profesional bertakwa di kalangan graduan UiTM tidak dapat lari daripada penghayatan ilmu-ilmu Islam. Pendekatan pendidikan bersepadu – jasad, akal dan roh perlu diberi penekanan istimewa seandainya niat murni melahirkan insan bertakwa ini hendak dicapai. Memberikan para siswa-siswi ilmu-ilmu Islam tanpa membina daya kekebalan untuk menghayatinya tidak akan dapat membantu melahirkan insan profesional bersepadu. Insan yang hebat dengan ilmu alat untuk hidup berjaya di dunia pada masa yang sama mempunyai kehebatan dalaman yang dipancarkan melalui gerak hidup harian dengan rasa ketakwaan yang mendalam itu sahajalah yang berupaya menjana insan profesional bertakwa. Insan profesional yang hidupnya berusaha meraih kejayaan demi kejayaan dan pada masa yang sama tidak pernah alpa walau sesaat pun tanggungjawab membawa insan yang lain ke mercu kejayaan demi mendapat keredhaan Allah S.W.T. seperti inilah yang mesti dilahirkan.
Satu masa dahulu, program teras pengislaman ilmu diperkata dan diwacanakan di mana-mana terutama di pusat-pusat pengajian tinggi. UiTM mempunyai tanggungjawab moral untuk mempelopori gerakan ini. Saya merasakan UiTM mempunyai kedudukan yang paling ideal untuk menjadi “lead agency” ke arah pelaksanaan tugas murni yang mempunyai kesan pergandaan (multiplier effect) yang begitu hebat jika dapat diusahakan dengan cara dan gerakerja yang lebih serius. UiTM yang hampir keseluruhannya menawarkan kursus-kursus profesional dan teknikal kepada siswa-siswi Bumiputera semakin memerlukan pendekatan dan gerakerja yang memberi tumpuan kepada “Islamization of knowledge” ini. Pada hemat saya, apa yang kita inginkan supaya terbentuk di kalangan graduan UiTM ialah mereka yang fasih dengan ilmu alat keprofesionalan dan keteknikalan pada masa yang sama fasih mentafsir, mencuba pakai dan mempraktik dalam kerja harian komponen agama dalam kehidupan kerjaya profesional mereka. Jika ini berlaku, graduan UiTM adalah merupakan graduan pelopor yang akan menghidupkan semula tradisi ilmu bersepadu Islam sebagaimana yang tergambar dalam kehidupan pemikir-pemikir besar Islam seperti Al-Kindi , Al-Farabi, Ibnu ‘Arabi, Ibnu Tufail, Ibnu Sina, Al-Mawardi, Ibnu Khaldun dan sebagainya di abad silam.
Saya juga tertarik untuk merenung sejenak tentang kemampuan Pengurusan Kanan UiTM mengurus dan mengendali universiti mega ini. Dengan 14 kampus cawangan termasuk Kampus Induk, 14 Kampus Kota, 23 Kolej Bersekutu, 17 Fakulti, 6 Pusat Akademik , 188 Program Pengajian, 13 Pusat/Biro, 3,258 staf akademik, 3,851 staf pentadbiran, 74,809 pelajar yang mendaftar menjadikan UiTM universiti mega antara yang terbesar di rantau sebelah sini. Saiz yang besar dengan wargakerja yang begitu ramai melebihi 80,000 orang serta bidang tugas yang begitu rencam mungkin menjadi penyebab utama mengapa keputusan tentang sesuatu perkara yang sebahagiannya penting lambat dibuat. Sebagai contoh, urusan kenaikan pangkat tertangguh hingga beberapa tahun dan ini sudah tentu mengakibatkan lunturnya semangat untuk bekerja.
TYDP, siapa juga yang dilantik menjadi peneraju sesungguhnya dia adalah manusia “superhuman”. Pada hemat saya, walau pendekatan pengurusan apa pun yang digunakan, samada yang bercorak “scalar”, “matrix“, “holistic” , “participative”, “delegative” dan sebagainya, tidak mungkin mampu mentadbir dengan secara profesional, efisyen dan efektif oleh manusia biasa seperti kebanyakan kita. Ini disebabkan saiz, fungsi, warga kerja, aktiviti, kelengkapan, sumber, infrastruktur dan sebagainya yang bersaiz dan bertaraf mega itu. Sampailah masanya supaya kedudukan ini benar-benar dimuhasabah semula bagi menentukan UiTM bangun menyerlah sebagai tanda mercu kemegahan kaum Bumiputera. TYDP, saya sangat khuatir UiTM akan menjadi gelanggang percaturan antara pencinta kualiti dan pecinta kuantiti. Sehingga ini, saya menelah bahawa pencinta kuantiti mengatasi pencinta kualiti.
TYDP, sebagai kesimpulannya, saya ingin menyimpulkan ITM belum begitu bersedia untuk terus berkembang sebagai sebuah universiti. Tetapi saya berkeyakinan penuh dengan bimbingan, sokongan, iltizam dan kecintaan kepada melihat wujudnya sebuah institusi bumiputra yang berteraskan kecemerlangan akan berjaya dan mampu menghadapi cabaran di dekad-dekad yang akan datang.
BEBERAPA CADANGAN
- TYDP, sebelum saya mengakhirkan ucapan saya ini, izinkan saya dengan rasa rendah diri, memberikan cadangan awal yang mungkin dapat dipertimbangkan oleh Pihak Yang Berwajib.
- Dalam hal yang berkaitan dengan masalah kesesakan dan kepadatan ruang penginapan yang didapati semakin meruncing terutama di kampus induknya, adalah dicadangkan supaya pihak UiTM diarahkan untuk mengeluarkan rancangan pelan jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang bagi mengatasi keadaan yang semakin gawat ini. Rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera perlu dibekalkan dengan “blue print” perancangan dan pelaksanaan yang menyentuh masalah penginapan pelajar yang merupakan faktor penggenap kepada kejayaan sesebuah pusat pengajian tinggi seperti UiTM.
- Berhubung dengan perkara yang menyentuh tentang menaiktaraf kelulusan tenaga pengajar UiTM yang sebahagian besarnya di bawah paras Sarjana, adalah dicadangkan supaya pihak berkuasa dapat memberi pertimbangan yang serius untuk menawarkan insentif yang lebih menarik kepada mereka yang memiliki Ijazah Pertama dan pemegang Ijazah Sarjana supaya segera menaiktaraf diri sesuai dengan tuntutan kewujudan sebuah universiti. Satu pelan perspektif perancangan sumber tenaga manusia yang menyeluruh khususnya di kalangan pensyarah UiTM hendaklah diadakan.
- Mengenai kedudukan Pusat Pendidikan Islam UiTM, adalah dicadangkan supaya pertimbangan yang serius hendaklah segera diberi untuk menaiktarafkan Pusat ini menjadi sebuah Fakulti Teras. Fakulti ini diminta menawarkan Program Pengajian Islam Profesional dengan cabang-cabang ilmu terkini. Usaha ini dapat membantu memberi gambaran bahawa Islam itu bukanlah berkisar di sekitar Fardhu Ain tetapi mampu menjadi pemangkin dalam urusan manusia dalam dunia moden. Pelan perancangan jangka pendek dan jangka panjang hendaklah dibentangkan untuk merealisasikan cadangan ini.
- Mengenai Pusat Khidmat Islam Bersepadu UiTM, adalah dicadangkan supaya Pusat ini terus menjadi penggerak kepada program ADASI di samping program penghayatan Islam mingguan dan bulanan yang ditakwimkan. Program Bina Insan yang didapati begitu berkesan untuk membentuk sahsiah pelajar dan warga UiTM diteruskan dengan pelan tindakan yang lebih bertenaga dan berwibawa.
- Untuk menjadikan pendekatan pengurusan UiTM supaya lebih munasabah, adalah dicadangkan supaya Kampus Induk dijadikan Pusat Ijazah yang menjadi tulang belakang kepada kewibawaan UiTM. Kampus-kampus cawangan dan kampus kota boleh distruktur semula untuk menjadi kampus-kampus pembina bakal siswa-siswi UiTM (feeder campuses) atau kemungkinan perlu dijalankan pengauditan organisasi (organizational auditing) dalam rangka untuk mencadangkan struktur yang paling ampuh untuk organisasi mega seperti UiTM.
- Untuk menentukan UiTM menjadi salah sebuah universiti yang paling berwibawa di Malaysia perlulah diwujudkan sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk sepanjang masa melakukan penyelidikan empirikal di samping terus mencadangkan gerakerja-gerakerja pembaikan untuk menentukan UiTM benar-benar berkualiti bertaraf dunia.
- Perlunya diadakan satu “master plan” (dengan izin) secara menyeluruh yang menggariskan perancangan segala keperluan dengan agenda kerja di peringkat jangka pendek (5–10 tahun), jangka pertengahan (10-20 tahun) dan jangka panjang (20 tahun ke atas) untuk menjadikan UiTM satu-satunya lambang kebanggaan Bumiputra.