KUALA TERENGGANU, 25 Feb - Jabatan Pertanian Negeri sedang memperkenalkan benih bawang merah dari Indonesia untuk ditanam dalam projek pertanian kelompok di negeri ini.
Pengarahnya Datuk Sofian Mohd Salleh berkata bawang itu kini ditanam oleh kelompok-kelompok petani dan hasilnya dijangka diketahui dua bulan lagi.
Jabatan itu telah menghantar beberapa orang pegawai ke Indonesia untuk mengikuti kursus penanaman bawang merah akhir bulan lepas, katanya.
Sofian berkata usaha menanam bawang merah secara besar-besaran belum dapat dilaksanakan kerana tidak ada benih yang benar-benar sesuai dengan keadaan persekitaran di negeri ini diperolehi sehingga ini.
"Kita pernah mencuba benih dari India tetapi tidak memberi hasil yang memuaskan," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan beberapa kawasan terutamanya di Setiu untuk dimajukan dengan tanaman bawang merah.
Menurut beliau, ketika ini sebuah syarikat dari Taiwan sedang mencuba penanaman bawang besar di Taman Industri Tani, Rhu Tapai, Setiu.
Sofian berkata ia adalah percubaan pertama penanaman bawang besar di Terengganu dan akan diusahakan secara komersil jika mencapai hasil pengeluaran yang memuaskan.