Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BERITA RINGKAS TERENGGANU

 

Bina pondok polis

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Mutalib Embong, berkata sebuah pondok polis akan dibina berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, bagi memudahkan peniaga membuat aduan polis mengenai kegiatan mencuri di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, dalam perjumpaannya dengan Ketua Polis negeri baru-baru ini, pihak berkuasa itu bersetuju untuk mendirikan pondok polis di situ bagi kemudahan orang ramai melaporkan kegiatan jenayah.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan dialog dengan para peniaga pasar tersebut di dewan Surau Dato' Amar, di sini Selasa lalu.

Kesesakan lalu lintas diatasi

KUALA TERENGGANU: Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) akan mengubahsuai sistem laluan di kawasan bandar ini, jika ia memberi gangguan kepada pengguna jalan raya.

Yang Dipertuanya, Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya akan mengawasi keadaan jalan, terutamanya yang dilakukan pengubahsuaian sebelum ini, bagi memastikan aliran trafik di kawasan bandar berjalan lancar.

Beliau berkata, pengubahsuaian beberapa batang jalan di pusat bandar perlu dilakukan bagi melicinkan arus lalu lintas di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelancong.

"Jika pengubahsuaian ini berjaya mengatasi kesesakan lalu lintas kita akan mengekalkannya, tetapi jika ia menimbulkan gangguan kepada pengguna, kita akan mengkaji semula keadaan di situ," katanya di majlis dialog dengan masyarakat Cina di pejabat Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, di sini Selasa lalu.

Pencerobohan tanah kubur diatasi

KUALA TERENGGANU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berusaha mengatasi masalah pencerobohan tanah perkuburan Cina di Jalan Pusara, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Mutalib Embong, berkata antara langkah yang akan dilakukan bagi tujuan itu ialah menyediakan tapak rumah kepada mereka yang belum memiliki tanah bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan masyarakat Cina berhubung kegiatan pembinaan rumah setinggan di kawasan tanah perkuburan mereka.

Pegawai agama dinaik taraf

KUALA TERENGGANU: Para pegawai agama di negeri ini akan dinaikkan taraf selaras dengan matlamat Kerajaan PAS Terengganu untuk menegakkan syiar Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib berkata, ini menepati manifesto PAS dalam pilihan raya umum lalu untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan al- Quran dan as-Sunnah.

Sehubungan itu, beliau meminta para pegawai agama mengemukakan cadangan dan pandangan dalam bentuk kertas kerja yang kemas dan tersusun termasuk peruntukan perbelanjaan ke arah menaikkan taraf mereka meliputi keperluan pentadbiran untuk dibawa dalam mesyuarat Exco.

"Kalau boleh selesai segera, kita selesai segera," ujarnya ketika berucap pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Katanya, menjadi dasar kerajaan untuk melaksanakan tuntutan agama dalam semua jabatan dengan menjadikan Islam memerintah, bukan diperintah.

Ubah program tidak sesuai

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengubah suai program agensi dan jabatan kerajaan yang tidak sesuai dengan kehendak Islam supaya ia selaras dengan ajaran Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum negeri, Ustaz Awang Dagang Jusoh.

Sehubungan itu, katanya kakitangan kerajaan tidak perlu bimbang untuk melaksanakan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan negeri pada masa depan kerana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Pelabur pindah teknologi

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Haji Mustafa Ali berkata, para pelabur asing yang melabur di negeri ini perlu memindahkan teknologi kepada pekerja tempatan.

Katanya, pekerja tempatan mampu memainkan peranan jika mendapat latihan kemahiran melalui perpindahan teknologi daripada pelabur asing itu.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com