Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pemuda PAS anjur solat hajat untuk Chechnya

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menganjurkan majlis solat hajat untuk umat Islam Chechnya selepas solat Jumaat di Masjid Negara, di sini, pada 3 Mac depan.

Naib ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, program itu diadakan bagi mengajak rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam merasa prihatin terhadap penderitaan dan penindasan yang dihadapi oleh rakyat Chechnya.

"Solat hajat itu dilakukan untuk mendoakan kebebasan penduduk Chechnya yang menghadapi serangan hebat dari tentera Rusia," katanya kepada Harakahdaily.com di sini.

Menurutnya, malangnya, perjuangan umat Islam Chechnya semacam tidak diberikan perhatian oleh umat Islam di negara ini yang sepatutnya menonjolkan semangat persaudaraan Islam sejagat.

"DPPP mengharapkan supaya ahli-ahli PAS dan umat Islam keseluruhannya dapat hadir beramai-ramai bagi menyempurnakan solat hajat itu," tambahnya.

Di samping itu juga , DPPP menyeru supaya umat Islam dapat menyalurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan sumbangan boleh dihantar di atas nama DPPP.

Salahuddin menjelaskan, lujnah antarabangsa DPPP menubuhkan Badan Prihatin Umat Islam Antarabangsa (Muslim International Concerned Committe) (MICC) untuk menangani segala masalah dan isu yang berlaku pada umat Islam di peringkat antarabangsa.

Penubuhan majlis itu adalah perlu memandangkan bahwa mutakhir ini permasalahan dan isu yang berlaku pada uimat Islam semakin meningkat dan memerlukan satu badan untuk menggarap dan menanganinya, katanya yang juga pengerusi MICC.

Ketua DPPP, Mahfuz Omar dan ketua pegawai perwakilan, republik Chechen di Malaysia, Kazbek Khadzhiev dijangka turut hadir di majlis solat hajat itu.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com