Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

HUBUNGAN BAIK DENGAN THAILAND ?

Semasa di Bangkok Perdana Menteri Dr Mahathir telah merasmikan Kedutaan Malaysia yang baru. Dalam ucapannya, Dr M @ Cek Det memberitahu bahawa hubungan Malaysia dengan Thailand adalah baik dan akan diteruskan begitu. Memanglah perlu persefahaman dan hubungan baik di antara negara-negara berjiran, apatah lagi apabila mereka di dalam pertubuhan yang sama, seperti ASEAN.

Sekarang ini satu dasar yang anggota-anggota ASEAN amalkan untuk menjaga hubungan kejiranan yang baik ialah dengan tidak campur tangan dalam hal ehwal masing-masing. Oleh itu, misalnya, Malaysia tidak mahu campur tangan dalam soal Timor Timur dan Acheh, terutama sekali semasa Suharto berkuasa dulu. Selain itu, Malaysia tidak mahu campur tangan dalam soal perjuangan rakyat Melayu-Islam di Selatan Thai. Dasar ini memang baik dari segi menjaga hubungan. Akan tetapi, yang tidak baiknya ia menyekat sesebuah negara daripada menyuarakan tentang kezaliman dan ketidakadilan yang terus dilakukan ke atas rakyat, terutama golongan minoriti, di satu-satu negara yang lain.

Baru-baru ini Cili Api mendengar bahawa satu pertemuan telah dianjurkan oleh pihak Malaysia sendiri dengan beberpa orang ulamak dan pemimpin Islam dari Selatan Thai. Pertemuan ini telah melibatkan kehadiran Cek Det sendiri dan Menteri Hamid Othman. Khabarnya Cek Det bersetuju dan berjanji untuk memberi apa saja bantuan kepada golongan Melayu-Islam di Selatan Thai itu. Tetapi tidak terdengar pula ini melibatkan bantuan senjata.

Tentu sekali Cek Det tahu apa yang dilakukannya. Tentu beliau sedar akan kemungkinan akibatnya kepada hubungan kejiranan di antara Malaysia dan Thailand. Bukankah ini boleh dituduh sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri? Adakah Cek Det sudah mengubah pendiriannya tentang dasar ini?

Jikalau tidak apa tujuannya?

Apabila Cek Det melakukan sesuatu, beliau biasanya mempunyai muslihat untuk menjaga kepentingan diri sendiri dan kuasanya. Cek Det tahu beliau sudah kehilangan sokongan alim ulamak dan orang Islam di Kelantan dan juga di Kedah. Cili Api ingin bertanya: Adakah Cek Det kini sedang merangka usaha untuk memperalatkan para ulamak dan pemimpin Melayu-Islam Selatan Thai untuk mengimbangi atau mengurangkan pengaruh PAS di negeri-negeri sempadan itu? Habaya! Habaya!

Cili Api
http://prm.tsx.org/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com