Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Apabila Musa Hitam Sokong Pak Lah

Cili Api nampak senario semakin menarik apabila tiba-tiba Musa Hitam membuat sokongan terbuka kepada Abdullah Ahmad Badawi untuk jadi Perdana Menteri apabila Mahathir berundur. Sokongan Musa Hitam ini juga membawa makna tersirat bahawa dia menyokong Pak Lah yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Cili Api sudah dapat baca ke mana hala tuju sasaran Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden UMNO. Musa tahu Tengku Razaleigh mungkin tidak akan mencabar Mahathir bagi merebut jawatan Presiden UMNO. Risikonya terlalu besar. Ku Li mungkin lebih berminat kepada kerusi Timbalan Presiden UMNO. Risikonya kurang besar dan kebarangkalian untuk menang juga tinggi. Jadi Musa Hitam nampak strategi Tengku Razaleigh.

Lalu cepat-cepat Musa Hitam umumkan sokongan terbukanya pada Abdullah Badawi. Cili Api faham politik Musa Hitam. Musa Hitam dan Ku Li adalah dua orang pemimpin veteran UMNO seangkatan dengan Mahathir. Kedua-duanya pun pernah berpakat menentang kepimpinan Mahathir pada tahun 1987 dulu. Tetapi semua orang tahu antara Musa dengan Razaleigh memang mereka berseteru politik sejak lama dulu.

Cili Api masih ingat pada tahun 1981 dan 1984 Musa dan Razaleigh dua kali berentap berlawan untuk kerusi Timbalan Presiden UMNO. Kedua-duanya Razaleigh tewas dan Musa Hitam menang. Dalam kedua-dua kali itu Mahathir lebih condong menyokong Musa Hitam. Nampaknya kali ini Musa sekali lagi nak halang pendakian Ku Li untuk jadi Perdana Menteri. Cili Api nampak politik Musa dengan Razaleigh selama ini “macam ketam dalam bakul”. Seekor ketam yang berusaha naik ke atas, maka ketam-ketam yang di bawah akan cuba tarik supaya tak ada yang dapat naik dan keluar dari bakul itu. Agak Cili Api macam itulah antara Musa dengan Razaleigh.

Cili Api senyum saja. Apabila Musa dengan Razaleigh tidak sehaluan, yang selalu untung ialah Mahathir. Musa Hitam kata Abdullah Badawi sesuai untuk jadi Perdana Menteri apabila Mahathir berundur nanti. Soalnya bila Mahathir hendak berundur? Dia hanya berkata bahawa dia akan berundur satu hari nanti. Tetapi tidak pasti.

Cili Api rasa dalam semangat “Malaysia boleh” tentu Mahathir tidak mahu kalah dengan rekod pemerintahan dua orang diktator kecil dan besar di rantau Asia Tenggara ini. Harry Lee Kuan Yew, diktator kecil Pulau Singapura itu memerintah selama 30 tahun. Diktator besar Suharto jadi Presiden Indonesia selama 32 tahun. Tujuh penggal Suharto jadi Presiden menang pilihanraya pemilihan Presiden secara tidak bertanding. Itulah yang Mahathir mahu ikut di Malaysia. Dia jadi Presiden UMNO sejak 1981 dulu dan sekarang mahu terus jadi Presiden parti itu dengan tidak bertanding. MT UMNO sekarang sama taraf macam DPR dan MPR Indonesia pada zaman Suharto.

Cili Api nampak sokongan terbuka Musa Hitam akan mengocakkan cawan kopi parti UMNO. Apabila Musa sokong Pak Lah bermakna selari dengan kehendak Mahathir. Orang yang tak berapa berkenan dengan Musa selama ini yang diketahui rapat dengan Razaleigh tentu tak boleh diam diri. Lalu Cili Api nampak seorang lagi tokoh veteren UMNO di Johor yang tak sebulu dengan Musa tetapi sebulu dengan Razaleigh. Tokoh itu bernama Tan Sri Othman Saat. Mungkin tak lama lagi Otman Saat, bekas Menteri Besar Johor dan Ketua Semangat 46 Johor itu akan buat pengumuman terbuka sokong Razaleigh bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tapi macam mana dengan Rais Yatim. Tokoh yang selalu bakar jambatan ini hendak bakarkah jambatannya dengan Ku Li sebab nak sokong Mahathir dan Pak Lah? Cili Api faham Rais yang anti-bahasa Baku dalam keadaan serba salah.

Cili Api nampak surat-surat khabar berbahasa Melayu sekarang sudah mula sindir-sindir dan hentam Tengku Razaleigh. Biasalah akhbar-akhbar Utusan Melayu yang dikuasai UMNO itu. Siapa yang melawan arus seperti Razaleigh akan dipingirkan atau diburuk-burukkan. Misalnya apabila Ku Li mencadangkan cara pengundian di peringkat bahagian untuk menentukan calon pimpinan Majlis Tertinggi UMNO dilakukan secara undi sulit, maka hari ini ada surat disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia yang membantah cadangan Ku Li itu. “UMNO lebih gawat jika terima syor Ku Li” kata surat itu.

Cili Api fikir orang-orang UMNO patut puji Razaleigh. Jika dia benar-benar turun gelanggang mencabar salah satu jawatan tertinggi dalam UMNO itu maka suasana politik dalam UMNO akan meriah dan bersemangat semula. Kalau tak jadi lawan maka segalanya akan jadi anti-klimaks. Sokongan Musa Hitam kepada Pak Lah pun akan jadi tak relevan. Waktu itu senario dalam UMNO akan menjadi muram semuram-muramnya.

CILI API



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com