Selangor Rancang Setinggan Sifar
Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar, mengumumkan bahawa beliau mempunyai pelan tindakan menyeluruh bagi setinggan sifar di Selangor menjelang tahun 2005. Ertinya menjelang tahun itu beliau berharap semua kawasan dan rumah setinggan akan hapus sama sekali.
Memang senang jikalau hendak menjalankan pelan tindakan itu. Hantar penguatkuasa, hantar jentolak, hantar polis dan kemudian robohkan rumah setinggan cara paksa. Lepas itu halau penduduk dari situ. Tak sampai lima tahun memang boleh dibersihkan semua kawasan dan tercapailah pelan setinggan sifar itu.
Tetapi jikalau ini dilakukan, akan timbul masalah lain pula. Penduduk setinggan yang dihalau pasti akan berpindah ke tempat lain dan membuka kawasan setinggan yang baru. Akhirnya yang sifar hanya yang lama, yang baru tumbuh merecup.
Cili Api rasa, orang besar seperti Abu Hassan ini perlu buat pelan tindakan yang baik, supaya manusia yang tinggal di kawasan setinggan itu tidak teraniaya. Sebelum rumah mereka dirobohkan ,hendaklah disediakan tempat untuk mereka berpindah. Janganlah disediakan rumah panjang sahaja. Selalunya mereka dipindahkan ke rumah panjang dengan janji akan diberi rumah murah yang tetap. Tetapi rumah murah tak dapat dan mereka hidup berpanjangan di rumah panjang yang sempit dan usang.
Sebabnya ialah kerana seringkali rumah murah dijual bukannya kepada setinggan yang sudah diroboh rumah mereka, tetapi kepada orang lain yang ada hubungan politik atau macam macam lagi. Ada juga mereka yang ditawar rumah, tetapi tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman bank. Cili Api cadangkan mesti ada rancangan pinjaman untuk membeli rumah murah bagi penduduk setinggan yang susah.
Istana Keadilan Rais
Menteri Rais Yatim, pembakar jambatan yang terkenal itu bertanya: Apakah yang ada pada nama? Pertanyaannya adalah sebagai jawapan kepada Awang Sulung yang mempertikaikan nama yang hendak diberikan kepada kompleks mahkamah yang akan didirikan di Putrajaya di bawah Rancangan Malaysia Ke-8. Rais cadangkan nama "Istana Keadilan" memang sesuai bagi kompleks itu.
Awang Sulung bimbang orang akan sangka perkataan "Istana" itu akan mengambarkan seolah-olah kesemua bangunan mahkamah itu indah-indah dan mewah-mewah belaka. Bagaimana pula jika ada orang yang mengangap perkataan "Keadilan" itu nanti memberikan gambaran seolah-olah mempersenda-sendakan kerajaan yang zalim?
Cili Api memang bersetuju dengan Rais bahawa tiada apa pada nama. Bak kata Shakespeare "Mawar, walau dipanggil dengan apa nama jua pun, tetap harum jua." Jikalau begitulah mengapa tidak mahu gelar rumah kediaman PM Cek Det itu sebagai "Mahligai Perdana" ?
Cek Det kata tempat kediamannya itu kepunyaan rakyat. Jadi boleh juga panggil "Mahligai Rakyat". Tetapi kalau hendak jadi "Mahligai Rakyat" betul-betul, mestilah sentiasa dibuka kepada rakyat dan boleh mereka kunjungi bila-bila masa sahaja.
Apa kata Rais? Tak mahukah anak-anak Yatim pun boleh duduk di sana?
Cili Api
(http://www.prm.tsx.org/)