KUALA LUMPUR : Pihak pengurusan majalah Detik cukup kecewa dengan sikap Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sengaja melengah-lengahkan tindakan bagi menyelesaikan segala masalah berkaitan permit penerbitan majalah itu.
Detik kini digantung tidak bertali apabila permitnya yang telahpun disambung bermula 1 Disember 1999 ditarik balik secara lisan tanpa memaklumkan sebab musabab tindakan itu dilakukan.
Meskipun mendapat surat tunjuk sebab mengapa Detik tidak boleh diharamkan oleh KDN, namun sepatutnya majalah tersebut boleh terus diterbitkan sehingga kata putus dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, sepertimana yang dilakukan terhadap Harakah dan majalah Wasilah.
"Kami sungguh kecewa dengan sikap acuh tak acuh KDN khususnya apabila dimaklumkan surat penjelasan kami belumpun dibincangkan oleh pihak menteri. Apakah KDN sengaja berbuat demikian untuk melemahkan lagi semangat kami dan menambahkan lagi kerugian yang sedia tertanggung," kata pengurus majalah Detik.
Dalam perkembangan yang sama, pengurusan majalah Detik digesa supaya mengambil tindakan undang-undang kepada KDN di atas segala kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan ekoran sikap tidak bertanggungjawab KDN yang menarik balik permit yang telahpun dikeluarkan tanpa memberi alasan munasabah.
"Kami sedia menimbangkan langkah berkenaan jika tindakan lain sudah tidak bermanfaat lagi. Kami tidak dapat terus menanggung kerugian dalam tempoh yang lebih lama," tambah pengurus Detik lagi.
"Kami merasa diperbodohkan dengan sikap tidak bertanggungjawab KDN itu. Kalau nak haramkan pun, berilah hujah yang boleh diterima akal, supaya lebih mudah kami mengatur langkah susulan."
"Kami juga sedia menimbangkan satu tindakan protes besar-besaran di seluruh negara jika benar-benar Detik akan diharamkan. Kami sudah cukup lama bersabar," ujar pengurus berkenaan yang tidak mahu namanya disebut.
Ketua Editor, Ahmad Lutfi Othman tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Khabarnya dia sedang sibuk menulis buku terbarunya selepas menyiapkan sebuah makalah politik tidak berkala bertajuk "DEBAT: Petaka Menunggu Umno". Makalah berkenaan sudahpun berada di pasaran, antara lain memuatkan interbiu khas dengan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS, Lim Kit Siang, Dr Syed Azman (MP K Terengganu), Ustaz Hashim Jasin, Dr Shafie Abu Bakar (ADUN Kajang), Abdul Malek Yusuf (Setiausaha Perhubungan PAS Pahang)dan lain-lain lagi.