Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN BERSIDANG SEHARI ISNIN INI

KOTA BAHARU, 22 Feb - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi kali kedua, penggal ke-10 akan diadakan selama sehari Isnin ini.

Setiausaha dewan, Mohammad Yusoff Hassan berkata hari ini sebanyak 30 soalan lisan dan bertulis dikemukakan oleh anggota dewan meliputi antara lain, masalah bekalan air dan perancangan pembangunan dan ekonomi negeri ini.

Persidangan yang lepas pada 30 Dis juga diadakan selama sehari setelah PAS memenangi pilihan raya umum 29 Nov dengan menguasai 41 daripada 43 kerusi DUN Kelantan. Baki dua kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional.

Mohammad Yusoff berkata dua usul akan dikemukakan semasa persidangan itu iaitu bagi pelantikan jawatankuasa terpilih seramai lapan anggota dan pelantikan anggota jawatankuasa kira-kira awam.

Katanya selain itu tiga rang undang-undang akan dibentang termasuk Rang Undang-undang Pinjaman (Pelan Kontingensi Y2K) 2000 mengenai peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat kepada negeri dalam usaha menangani masalah pepijat alaf.

Dua lagi rang undang-undang ialah Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Ketiga (1999) 2000 dan Rang Undang-undang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) (Pindaan) 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com