KOTA BAHARU, - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pemimpin PAS tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai ajaran Islam.
Apa yang dilakukan pemimpin PAS selama ini ialah mengeluarkan pendapat dan nasihat kepada umum mengenai sesuatu masalah yang timbul terutamanya daripada segi agama, kata beliau.
"Fatwa hanya boleh dikeluarkan Mufti atau majlis hal ehwal Islam negeri-negeri," kata beliau kepada pemberita selepas menerima kunjungan perwakilan Persatuan Bekas Polis cawangan Kelantan di pejabatnya hari ini.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Hamid Othman berkata PAS akan menghadapi tindakan undang-undang jika siasatan menunjukkan pemimpin parti itu mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Nik Aziz berkata isu tindakan undang-undang terhadap PAS berhubung soal fatwa tidak berbangkit kerana pemimpin PAS tidak mengeluarkan fatwa.
Beliau berkata cara terbaik untuk menyelesaikan masalah antara PAS dan UMNO ialah dengan mengadakan semula pilihan raya.
"Pada pilihan raya itu kedua-dua parti boleh berkempen untuk menerangkan dasar perjuangan masing-masing. Terpulanglah kepada pengundi untuk membuat penentuan," katanya.