KUALA TERENGGANU, 31 Jan - Kerajaan Pas Terengganu bersedia memberikan geran tanah kekal kepada penduduk negeri ini yang meneroka tanah kerajaan untuk dijadikan tapak kediaman ketika kerajaan dahulu.
Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri akan memproses semula permohonan mereka terlebih dahulu, sebelum tanah itu diberikan kepada rakyat yang benar-benar berhak tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
"Kita akan beri kepada rakyat yang berhak... kalau pada pilihan raya mereka tak sokong kita, itu hal merekalah... tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk menjaga kepentingan semua rakyat," katanya selepas menerima kunjungan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Otch VonFinckenstin di pejabatnya hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian Negeri, Mustafa Ali.
"Kita juga telah menyusun semula pegawai tadbir bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri dan sehingga kini ia mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai berkenaan," katanya.