KUALA NERUS, (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah menggesa orang ramai mendokong usaha penubuhan pusat pengajian Ilmu Hadis.
Katanya, usaha penubuhan pusat pengajian tersebut merupakan yang pertama di Terengganu, amnya di Malaysia hari ini.
"Ilmu Hadis merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran dalam perundangan Islam," ujarnya di majlis perletakan batu asas bangunan Ma'ahad Darul Hadis di Kampung Tok Por, kilometer 24 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan negeri, Ustaz Abu Bakar Chik menyempurnakan perletakan batu asas Maahad Darul Hadis itu.
Katanya, ilmu Hadis terkenal di zaman kegemilangan Islam sehingga melahirkan ulama' hadis seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan beberapa tokoh yang lain.
Menurutnya, pengajian al-Quran dan ilmu Hadis juga penting terutama di negeri ini yang bergelar Darul Iman sebagai pusat perkembangan ilmu di masa akan datang.
Beliau selaku penasihat Ma'ahad Darul Hadis yakin akan mendapat sokongan masyarakat di seluruh negara bagi penubuhan pusat pengajian tersebut.
Harakah dimaklumkan Ma'ahad Darul Hadis merupakan pusat pengajian Islam ketiga ditubuhkan selepas Institut Berakan dan Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman.