ALOR SETAR, 25 Feb (Hrkh) - Bekas Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Aziz Hanafi telah dilantik sebagai Pengarah Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), di Kompleks Pendidikan Islam Muassasah Darul Ulum dekat sini.
Pendaftar Kidu, Abdul Aziz Hassan berkata, Dr Abdul Aziz yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Brunei memulakan tugasnya di situ bermula pada 2 Februari lalu.
Dr Abdul Aziz juga adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis dan telah menerima amanah kepimpinan PAS sebagai wakil parti untuk bertanding menentang calun BN di Parlimen Arau, Perlis.
Kidu menawarkan Diploma Pengajian Islam adalah lanjutan kepada sistem pendidikan yang disediakan oleh PAS bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (Sridu) dan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (Smidu).
Aziz juga berkata, setelah kemasukan pelajar baru seramai 30 orang baru-baru ini telah menjadikan jumlah siswa/i di Kidu yang telah berusia tiga tahun itu kini seramai 88 orang.
Menurutnya, antara tenaga pengajar Kidu yang seramai 10 orang itu adalah Dr Abdul Aziz sendiri, AJK Dewan Ulama' PAS Kedah, Ustaz Niamat Yusoff dan Ustaz Ahmad Abdullah.
Pada pertengahan Februari lalu, Kidu telah mengadakan Minggu Suai Kenal yang perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Kidu yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Haji Muslim Haji Osman.