Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Hisbah akan kerjasama dengan BPR

KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Hrkh) - Jawatankuasa Hisbah yang ditubuhkan Kerajaan PAS Terengganu akan menyerahkan laporan dan hasil siasatannya kepada pihak berkuasa, termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika ada bukti jelas berhubung penyelewengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negeri sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Mutalib Embong, berkata jawatankuasa berkenaan tidak akan bertindak di luar bidang kuasanya, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan kegiatan berunsurkan jenayah.

"Pembentukan Jawatankuasa Hisbah dibuat bagi mewujudkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan kita," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin, bahawa penubuhan Jawatankuasa Hisbah tidak bercanggah dengan peranan BPR kerana ia merupakan badan siasatan dalaman.

Menurut laporan akhbar Selasa lalu, beliau berkata peranan jawatankuasa tersebut tidak berbeza dengan Jawatankuasa Anti Rasuah yang ditubuhkan oleh Jabatan Eksais Diraja sejak tahun 80-an lagi atau unit Tatatertib Polis Diraja Malaysia yang banyak membantu BPR menyelesaikan kes rasuah.

Wan Abdul Mutalib berkata, kini jawatankuasa itu yang dipengerusikan Tun Mohd Salleh Abas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas negeri, sedang dalam proses menyiapkan terma-terma rujukan bagi membolehkan ia berfungsi secepat mungkin.

"Selain itu, kerajaan negeri juga sedang dalam proses melatih pegawai-pegawai bagi menjalankan pelbagai tugas yang akan dikendalikan oleh jawatankuasa tersebut," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan memulakan tugasnya setelah semua keperluannya, termasuk kakitangan yang akan melakukan siasatan, disediakan sepenuhnya.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com