Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

IRAN TERUS KEKAL DI BAWAH MAJLIS SYURA!!

Sila Lawat : Laman Minda Rakyat

RENCANA tulisan Gamal Nassir Mohd Ali bertajuk 'Pelajar gugat dominasi ulama' dan 'Cabaran getir menanti Khatami' melalui Utusan Meloya bertarikh 23 Februari disifatkan penganalisa politik sebagai satu percubaan Utusan Meloya memburuk-burukkan perjuangan Islam negara itu dan memberikan imej buruk kepada mana-mana pemerintahan Islam di dunia.

Rencana itu mendakwa pemerintahan ulama yang lalu yang didokong oleh golongan konservatif sebagai berpendirian keras kerana dakwaan atas kejumudannya. Dan kejayaan Mohammad Khatami menggulingkan kerajaan ulama, yang telah didirikan oleh Ayatullah Ruhollah Khomeini semenjak revolusi rakyat 1979 disifatkan sebagai satu kejayaan besar seolah-olah pemerintahan ulama negara itu selama ini sebagai menindas gerakan pelajarnya.

Kekalahan pemerintahan ulama pada pilihan raya diadakan pada 18 Februari lalu membuktikan bahawa dalam negara Islam, pegangan majoriti masih dilaksanakan. Justeru atas ketelusan pilihanraya negara itu dilihat bahawa golongan lain yang mendapat sokongan majoriti rakyat akan dibenarkan mengambilalih pemerintahan negara.

Di bawah kepimpinan Presiden Iran yang baru, adalah diharapkan negara itu melalui perjuangan pembaharuan politik, sosial dan ekonomi yang dibawa oleh golongan muda dan terpelajar. Amat menyedihkan apa yang berlaku di Iran telah diselewengkan dengan versi yang salah oleh Utusan Meloya yang menggambarkan seolah-olah pemerintahan Islam di Iran sudah berakhir dan golongan ulama telah ditolak ketepi.

Bukti Islam masih terus memerintah dilihat apabila Mahkamah Agung Iran pada 21 Februari lalu mengekalkan hukuman mati ke atas mereka yang murtad. Hukuman itu berlangsung ke atas seorang pelajar yang didapati telah memerangi Islam.

Ketelusan proses pilihanraya pada 18 Februari lalu digambarkan oleh penulis sebagai penolakan ulama oleh penduduk di negara Islam itu. Gamal Nasir terus memburukkan sistem syura (Majlis Syura) yang dikatakannya begitu berpengaruh sehingga dikatakan parlimen Iran tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap angkatan bersenjata, perkhidmatan keselamatan atau sistem imam solat Jumaat yang berpengaruh - semuanya pusat kuasa bebas di bawah telunjuk golongan konservatif.

Pembaharuan yang akan berlaku dalam pemerintahan baru pula dilaporkan akan menjejaskan kedudukan ulama yang telah bersungguh-sungguh mempertahan penguasaan mereka terhadap agama dan politik. Slogan 'Iran Untuk Seluruh Rakyat Iran' dikatakan menjanjikan kebebasan agama, sosial dan politik.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah satu keazaman dalam pembaharuan untuk mewujudkan sebuah masyarakat madani dan melaksanakan peraturan undang-undang dalam lingkungan sistem Islam yang sedia ada. Ia juga menjanjikan kebebasan peribadi yang lebih luas, penghapusan sekatan kerajaan terhadap media serta kesenian, dan pewujudan politik berparti dan demokrasi akar umbi.

Majlis syura pula masih di bawah penelitian 11 orang ulama yang diketuai oleh Ali Kheimeni membuktikan biar apa pun pembaharuan politik yang diamalkan di Iran, mereka masih berpegang teguh kepada sistem pemerintahan Islam yang nyata tidak menolak kebebasan politik sebagaimana gambaran buruk oleh media perdana dan kepimpinan BN di negara ini.

Proses pembaharuan dalam arena pemerintahan kerajaan Islam Iran adalah sesuatu yang biasa berlaku di mana-mana sahaja. Sebuah pemerintahan yang bercorak ketelusan itu hanya mampu bertahan kira-kira dua puloh tahun sebelum tewas di tangan parti pembaharuan yang lebih agresif dan mendakwa akan 'menyegerakan' proses pembangunan dalam sistem lingkungan Islam yang dihormati bersama.

Di Malaysia, proses pembaharuan ini dapat dilihat dalam Parti Islam Semalaysia (PAS) yang dahulunya dikatakan dikuasai oleh ulama dan tokoh ugama, kini beralih arah dan mendapat pimpinan yang baru di bawah kepimpinan Islam yang muda, berani dan berilmu. Tidak sekadar di peringkat kepimpinan, malahan ahli PAS juga sudah terbuka kepada segenap lapisan masyarakat negara ini.

Sesungguhnya pembaharuan yang berlaku dalam aktiviti politik dan pemerintahan Iran menepati kesyumulan sistem pemerintahan Islam sebagai satu sistem yang bersandarkan jaminan dan restu Allah Azzawajalla!!

Polong Cyber



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com