Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

IWK gagal, kerajaan selamatkan

fathi Aris Omar

laporan asal : www.malaysiakini.com

Feb 26 : Sebuah projek penswastaan yang gagal, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, dipunyai oleh sebuah syarikat - pernah dikaitkan dengan tokoh perniagaan Vincent Tan - yang disenaraikan di papan utama BSKL, Prime Utilities, kini diambil alih oleh Kementerian Kewangan. "Perjanjian pengambilalihan itu telah pun diputuskan, ditandatangani dan bayaran sudah pun dibuat," kata Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selepas membentangkan Belanjawan 2000 semalam.

Bagaimanapun, Daim tidak menjelaskan jumlah bayaran tersebut. Akhbar pernigaan di Singapura Business Times semalam memetik sumber-sumber dalam industri itu sebagai berkata jumlah tersebut sekitar RM200 juta.

Pengambilalihan itu menimbulkan persoalan yang serius tentang amalan hubungan baik antara pihak swasta dengan kerajaan dalam projek penswastaan sejak ia dilancarkan tiga tahun selepas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamed berkuasa pada 1981.

Aliran Kesedaran Negara semalam dalam satu kenyataannya mempertikaikan bantuan kerajaan tersebut. "Apa jenis dasar penswastaan ini: apabila pemegang saham memperolehi keuntungan, mereka ketawa menerima wang berjuta-juta ringgit tetapi apabila mereka gagal, mereka menangis meminta bantuan kerajaan," kata ahli jawatankuasa eksekutifnya, Anil Netto, kepada malaysiakini dengan nada berang.

Kerajaan pula, menurut Anil lagi, membantu syarikat tersebut melalui pinjaman berjuta-juta ringgit daripada wang pembayar cukai tetapi apabila bantuan itu tidak memadai, kerajaan mengambil alih syarikat bermasalah itu dengan segala beban hutangnya. "The whole thing stinks," kata Anil, melampiaskan keberangannya.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pengambilalihan itu sebagai "satu faktor yang membimbangkan dalam sesuatu projek yang diswastakan" apabila "terdapat sebarang kerugian, kerajaan akan menyelamatkan syarikat tersebut."

"Apabila kerajaan mengambil alih tanggungan syarikat-syarikat yang rugi, langkah itu menyanggah tujuan asal penswastaan," kata Presiden CAP S. M. Idris kepada malaysiakini hari ini.

IWK yang sering menghadapi masalah sejak diswastakan pada 1994 menanggung hutang sebanyak RM700 juta. Sebahagian besar hutangnya ditanggung kerajaan yang setakat ini menyuntik RM1,000 juta kepada syarikat pengendalian sisa kumbahan tersebut. IWK mendakwa ia mempunyai 7,000 loji rawatan, dan 2000 daripadanya sudah buruk dan RM100 juta diperlukan setiap tahun untuk menyelenggara semua loji itu dan 220 rumah pam.

Menurut satu laporan, 41 peratus daripada 1.2 juta pelanggan IWK masih berhutang sebanyak RM145 juta. Kerajaan mula membantu syarikat itu pada 4 Februari tahun lalu apabila ia menjadi ‘pemegang saham yang istimewa' dengan menyuntik pinjaman sebanyak RM925 juta.

Laporan tahunan Prime Utilities menunjukkan Vincent Tan masih mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung dan tidak, sebanyak 30 peratus dalam Prime Utilities sehingga 30 April 1999, manakala pemegang saham utamanya yang lain ialah Idris Hydraulic, sebuah lagi syarikat yang tersenarai di BSKL.

Satu laporan AFP semalam menyebutkan keputusan belum dibuat sama ada pengambilalihan kerajaan itu bersifat kekal atau ia akan mencari pembeli yang baru. Ia juga menyebutkan sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Umno, Renong, dan seorang ahli perniagaan Kader Sultan menunjukkan minat untuk mendapatkan IWK "tertakluk kepada persetujuan kerajaan."

Renong merupakan syarikat konglomerat yang menjalankan pelbagai projek penswastaan dan menanggung banyak hutang dalam kegawatan ekonomi baru-baru ini. Sementara Kader pula seorang ahli lembaga pengarah Prime Utilities.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com